suria

Francis Catat Sejarah Dilantik Pesuruhjaya OKU Pertama Suhakam

Francis Johen. - Foto ONG SOON HIN/THESTAR.
USAH pandang rendah kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) kerana mereka juga mampu bersaing dengan orang normal, selain menjawat jawatan tertinggi dalam agensi kerajaan mahupun syarikat korporat.

Memegang prinsip tidak mudah patah semangat dengan kekurangan diri, Francis Johen anak Adam yang berasal dari Sarawak ini pernah memegang jawatan Timbalan Peguam Besar Negeri Sarawak sebelum dilantik menjadi Pesuruhjaya Suhakam mulai tahun lalu.


"Usah jadikan kekurangan diri sebagai halangan untuk berjaya. Saya akui pada mulanya memang sukar untuk mencari kerja walaupun mempunyai kelulusan akademik yang baik. Namun selepas beberapa kali mencuba akhirnya saya mendapat kerja yang setaraf dengan kelayakan saya.

"Kita perlu belajar cara hidup dengan kekangan sedia ada," katanya kepada mStar Online dalam temubual khas di pejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) baru-baru ini.

Francis berkata, masih banyak perkara yang perlu diberi perhatian terutama dalam menaiktaraf infrastruktur seperti kemudahan tandas OKU, bas, kereta yang perlu diubahsuai bagi memudahkan mereka bergerak.

"Ada tandas OKU tidak sesuai untuk mereka yang menggunakan kerusi roda. Justeru, sudah tiba masanya kerajaan memberi tumpuan kepada usaha menaiktaraf kemudahan bagi golongan seperti saya," katanya.

Menyoroti kisahnya sebelum beliau menjadi Pesuruhjaya Suhakam, bapa kepada seorang cahaya mata ini berkata, selepas tamat pengajian pada 1978 beliau cuba berdikari dengan mencari pekerjaan di negeri kelahirannya.

"Pekerjaan pertama yang saya mohon ialah pegawai tadbir, dengan kelayakan yang ditetap adalah ijazah. Namun ketika temu duga mereka memaklumkan calon yang diperlukan adalah pemegang ijazah dalam bidang ekonomi.

"Bagi saya ini satu bentuk diskriminasi. Selepas itu sekali lagi saya memohon untuk jawatan majistret. Namun keputusan temu duga langsung tidak dimaklumkan sehingga hari ini. Dalam kebanyakan temu duga yang saya pergi, adalah jelas peluang kepada OKU sangat terhad," katanya. 

Francis bersyukur kerana dikurniakan rakan seperti Philip Koh.

Oleh kerana beliau tidak mendapat pekerjaan mengikut kelayakan akademikanya, pensyarah Francis di Universiti Malaya (UM) menawarkan supaya beliau menjadi tutor selama dua tahun di universiti berkenaan.  

Disebalik kepayahan yang dihadapinya, Francis yang berasal daripada suku kaum Bidayuh ini bersyukur kerana mendapat rakan sebilik yang cukup banyak membantunya ketika menuntut di universiti. 

"Philip Koh merupakan teman sebilik yang sangat baik hati ketika saya menuntut di UM. Dia tidak jemu-jemu menghantar saya ke kuliah setiap hari. Saya sangat berterima kasih dengannya. 

"Philip juga memberikan inspirasi agar saya berjaya menghabiskan pegajian dalam jurusan undang-undang," katanya. 

Graduan undang-undang ini percaya, jika negara dan dunia ini dipenuhi dengan individu seperti Philip, sudah tentu golongan OKU tidak akan terus dipinggirkan, malahan akan mendapat tempat setimpal di kalangan masyarakat.

Baginya, apa yang lebih penting adalah masyarakat memberi ruang serta peluang kepada golongan OKU untuk meneruskan kehidupan seperti orang normal.


Francis Johen, Suhakam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain