SEMUANYA boleh dikatakan serba sederhana. Kawasan seluas 'sekangkang kera' yang terletak di kawasan terbiar serta tidak rata. Asalnya ia sekadar dipenuhi pokok-pokok liar dan menjadi habitat kegemaran nyamuk. Namun ia mula berubah perlahan-lahan tahun lalu. Perlahan-lahan dan menggunakan bahan terpakai pula. Apabila Kuantan dilanda banjir baru-baru ini, Taman Cenderawasih juga tidak terkecuali. Bencana dan dugaan kepada ramai, tetapi terselit di celah-celahnya 'rahmat' untuk pelukis yang bergabung di bawah label Studio Rajawali. Laluan masuk ke galeri yang pasti menarik perhatian. Sedikit demi sedikit kayu-kayu yang terbuang di tepi jalan dikumpul, dipilih dan digabungkan menjadi binaan dengan bentuk tersendiri. Selepasnya adalah sejarah. Pelbagai 'galeri' kemudian muncul secara sederhana, spontan dan nakal. Laluan di Lorong 13, Taman Cenderawasih itu memisahkan dua bahagian penting di situ. Di kanan ialah rumah teres dua tingkat yang menjadi galeri asal sekali gus pejabat Rajawali, manakala di kanan ialah kawasan 'galeri' bikinan terkemudian. Juga dibina pentas khusus untuk kegiatan seni termasuk deklamasi sajak, nyanyian dan santai mendengar alunan muzik anak muda tempatan. Di laluan masuk ke tanah berbukit di bahagian kiri dibina papan tanda bertulis: "Cadangan membina 5 unit Balai Seni Lukis di tanah milik JPS Kuantan." Di sebelahnya pula ada papan tanda kedua: "Balai Wrong Seri" yang menjadi bengkel pelukis bertukang menyiapkan bahan asas untuk berkarya. Papan tanda menunjukkan lokasi bengkel pelukis bertukang. Itu baru permulaan. Berjalan lebih ke dalam ada 'pentas' di bahagian kanan, siap dengan tempat duduk bertingkat yang menjadi ruang kepada beberapa program perasmian lukisan atau majlis lain sebelum ini. Di bahagian tengah dan kiri ada dua 'galeri' yang sudah siap masing-masing dimiliki Osman Limat dan Nazri Chot. Keistimewaan 'Balai Seni Lukis' itu tidak terhenti di situ saja. Di beberapa batang pokok diletakkan beberapa kenyataan yang pernah dibuat pelawat dan dirakam - dalam diam-diam - oleh pelukis sebelum dicatat pada kayu. Memelihara alam sekitar antara mesej utama galeri unik ini. Sesetengah penutur terpilih malah jarang menyedari kewujudan kata-katanya pada pokok berkenaan sehinggalah ia diberitahu atau dimuat naik di Facebook. Itu cerita ‘galeri di dalam belukar.’ Di galeri sebenar, Rajawali kerap mengadakan pameran untuk artis sendiri atau luar yang berminat. Boleh dikatakan saban bulan ada saja pameran dilangsungkan di situ. Terbaru pelukis berasal dari Kanada, memilih galeri berkenaan untuk menjayakan pameran solonya berjudul Being Anatomy.