suria

Bersara: Sutinah Ikrar Terus Didik Masyarakat Mengenai Rasuah

Majlis Paluan Berundur yang diadakan sempena persaraan Sutinah di Maca, Jalan Duta pada 15 Jun lalu.

MENJENGUK sejarah usaha pembanterasan rasuah di Malaysia, jarang sekali nama seorang wanita dikaitkan. Malah sejak kewujudan entiti pembanterasan rasuah di negara ini pada akhir 1950-an, umum melihat imej lelaki lebih dominan menerajui unit pencegahan rasuah di negara ini.

Bagaimanapun, sejak lima tahun lalu, wanita dilihat sebagai salah satu persona penting dalam menerajui usaha pencegahan rasuah di Malaysia.

Ini jelas diperlihatkan melalui perlantikan Datuk Sutinah Sutan sebagai salah seorang Timbalan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menerajui sektor pencegahan khusus dalam menangani permasalahan rasuah.

Peranan dan usaha wanita besi ini dalam usaha pencegahan rasuah tidak perlu dipertikaikan lagi sementelah beliau sering terlibat dan menjadi tulang belakang dalam pembentukan setiap inisiatif anti-rasuah di negara ini.

Menjadi pegawai wanita pertama yang dilantik memegang portfolio kedua tertinggi di SPRM pada 2010, Sutinah sangat dominan dilihat sebagai ikon dalam program pendidikan dan kempen pencegahan yang di anjurkan oleh SPRM.



Menamatkan pengajian Ijazah Pertama dalam bidang Komunikasi Massa di Universiti  Sains Malaysia (USM) pada 1978, di awal kerjaya beliau berkhidmat sebagai pendidik secara sementara di sekolah lamanya, Sekolah Menengah Kebangsaan Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur.

Perkhidmatan bersama SPRM bermula pada 1980 sebagai Pegawai Siasatan yang ketika itu dikenali sebagai Biro Siasatan Negara (BSN), kerana minatnya yang mendalam terhadap pasukan beruniform.

Menurutnya, beliau bertuah kerana ketika itu BSN mencari graduan komunikasi bagi tujuan kempen berterusan melalui pendidikan pencegahan rasuah untuk masyarakat, dan beliau melihat peluang yang cerah untuknya mengaplikasikan apa yang dipelajarinya.

“Saya  masih ingat tugas pertama yang diberi adalah menyediakan satu kertas kerja berkaitan kempen yang boleh mendidik masyarakat,” katanya.

Memulakan karier bersama SPRM pada June 1980, tujuh tahun dalam bidang siasatan, 11 tahun dalam pencegahan rasuah dan seterusnya 13 tahun dalam pendidikan masyarakat termasuk mempromosikan integriti baik di dalam mahupun luar negara.

Sutinah, 60 yang baharu sahaja mengakhiri perkhidmatannya lebih tiga dekad bersama SPRM pada 15 Jun lalu mengakui banyak cabaran yang dilaluinya sepanjang berkhidmat.


Menurutnya, dalam aspek pencegahan rasuah, cabaran yang besar dihadapi ialah untuk mengubah persepsi kerana ia membabitkan masyarakat.

“Ini kerana rasuah ini wujud dalam masyarakat, dan untuk menggalakkan masyarakat membudayakan nilai-nilai anti rasuah kami perlu mengubdah cara pemikiran.

“Ada segelintir yang memikirkan rasuah akan menghalang perolehan, ada yang berfikiran faedah yang akan diterima.

“Cara pemikiran begini perlu ditukar supaya ianya tidak menjadi budaya,” katanya.

Tambahnya, satu lagi perkara yang dianggap sebagai cabaran ialah dalam usaha mendapatkan sokongan bukan sahaja daripada orang ramai tetapi juga organisasi.

“Sepanjang perkhidmatan saya, banyak program-program yang dijalankan menggalakkan penyertaan orang ramai pada tahun 80 dan 90-an.

“Kini kita galakkan pula orang ramai mengambil inisiatif bagi menganjurkan program-program anti rasuah.

“Ini kerana saya melihat usaha memerangi rasuah ini adalah sebagai suatu jihad yang tidak perlukan upah atau ganjaran untuk melaksanakannya,”katanya.

Dikenali sebagai seorang yang lantang dan tegas dalam menyuara pendapat, Sutinah sentiasa  berani mengeluarkan pandangan yang sesuai dengan keadaan semasa.

Pernah mengejutkan umum dengan kenyataan bahawa ‘curi tulang adalah rasuah’ merujuk kepada situasi penjawat awam yang asyik melayani laman sosial ketika bekerja.

Walaupun ada kalangan pihak yang tertawa dan menanggap ia sebagai tidak berkaitan rasuah, namun ada yang melihat kenyataan itu sebagai suatu yang ikhlas dan realistik dengan ledakan media sosial ketika ini.

Sutinah lebih sinonim dan sering diperlihatkan sebagai wakil SPRM dalam setiap kempen dan program pencegahan anti rasuah yang  dijalankan.

Sejak Ikrar Integriti Korporat (CIP) diperkenalkan pada 2010 beliau menjadi antara individu yang memainkan peranan penting dalam mempromosi inisiatif yang dirangka khusus dalam meraih komitmen agensi kerajaan dan sector swasta.

Boleh dikatakan Sutinah merupakan antara orang penting dalam mewujudkan Sistem Integriti Korporat Malaysia (CISM), iaitu satu konsep rangka kerja inisiatif integrity yang dianggotai beberapa agensi termasuk SPRM.

Sehingga mula dilancarkan pada Mac 2011,  kini terdapat lebih 434 agensi kerajaan, badan bebas danswasta yang telah menandatangani Ikrar Integriti Korporat.

Walaupun bersara wajib dan dinobatkan Tokoh Srikandi Terbilang SPRM yang pertama, namum jiwa wanita ini masih terus tegar memperjuangkan anti-rasuah melalui pendidikan.

“Saya tidak akan terus berhenti mendidik masyarakat, kerana tugas mendidik masyarakat supaya membenci rasuah ini masih perlu diteruskan.

“Dengan masa yang ada, saya akan melakukan penyelidikan bagi  menghasilkan karya yang berguna mengenai pencegahan rasuah.

“Semoga melalui buku yang bakal terhasil nanti dapat terus membantu usaha mendidik masyarakat terhadap rasuah dan boleh dijadikan rujukan generasi akan datang,” katanya.


Datuk Sutinah Sutan, SPRM, pencegahan

Artikel Lain