suria

Nostalgia Ramadan: Hilang Sudah Gema Beduk Ketika Sahur

MENJELANG puasa, pasti ada yang tersenyum sendiri apabila terkenangkan bunyi paluan beduk atau gendang yang suatu masa dahulu pernah menjadi 'penggera utama' untuk mengejutkan seluruh penduduk kampung untuk bangun sahur.


Namun, teknologi dan zaman terus melenyapkan amalan sedemikian yang akhirnya hanya layak disimpan sebagai nostalgia Ramadan bagi generasi yang pernah melalui zaman itu.

Nyata, telefon pintar beraneka irama kini telah mengambil alih tempat beduk atau gendang yang pernah berjasa kepada 'orang-orang lama' suatu ketika dulu.

Mengakui perubahan yang tidak lagi dapat disekat ini ialah Presiden Persatuan Sejarah Malaysia, Datuk Omar Mohd Hashim.

Tidak terkecuali menjadi empunya sebuah telefon pintar, beliau bagaimanapun masih menyemat erat kisah sahur ketika zaman mudanya.

"Dulu orang pukul gendang, beduk dan sejenis alat diperbuat daripada kayu yang dipanggil tuk tuk. Tuk tuk dipukul di atas kayu berlubang yang mana bunyi dan gemanya lebih kuat. Ada juga yang ketuk alat tembaga yang dipanggil cembul.

"Saya masih ingat di kampung saya, suatu ketika dua tiga anak muda melaungkan "sahur...sahur..." untuk mengejutkan jiran terdekat, selain mengetuk pintu atau tingkap jiran. Sama ada cara laungan atau pukul alat-alatan, kedua-duanya berjaya mengejutkan orang lain untuk bangun sahur," katanya kepada mStar Online.

Ketika usianya mencecah 77 tahun, Omar tidak pernah membayangkan sebuah alat yang canggih seperti telefon pintar lengkap dengan alat penggera dan bunyi-bunyian akan wujud pada zaman itu, di mana waktu mudanya dipenuhi lampu minyak tanah sebagai sumber cahaya.

Omar juga dengan bangganya menceritakan bagaimana sahur pada zaman dahulu begitu meriah sekampung berbanding amalan bersahur pada masa kini.

"Semua itu hanya tinggal memori. Tak mungkin dapat diulang kembali.

"Terlalu banyak perubahan yang berlaku. Masyarakat, budaya, gaya hidup, semuanya berubah," katanya dengan nada sedikit kesal, namun berbangga kerana sekurang-kurangnya beliau pernah menjadi sebahagian daripada zaman yang sudah berlalu itu.

Sementara itu,  Pensyarah di Jabatan Sains Kemasyarakatan dan Pembangunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Profesor Madya Dr Asnarulkhadi Abu Samah mengakui secara amnya amalan memukul beduk di surau atau masjid untuk mengejutkan penduduk kampung bangun sahur telah lenyap.

"Saya tak pasti sejak bila ia lenyap. Tapi secara amnya budaya ini memang sudah tiada dan kalau ada pun mungkin hanya di kampung kecil dan kawasan pedalaman.

"Ya...tanpa disedari, secara perlahan-lahan ia meninggalkan kita," katanya.

Namun dalam konteks ini beliau masih optimis dan percaya amalan yang seakan-akan lenyap itu tidak akan terus terbenam ditelan zaman kerana sebagai pembina budaya, manusia juga yang melenyapkannya.

"Siapa tahu suatu hari ia akan menonjol semula dalam masyarakat," katanya sambil menambah, arus perubahan zaman dan perkembangan teknologi sebagai antara puncanya.

Malahan, katanya, definasi sahur juga berbeza di kalangan masyarakat kini, di mana budaya sahur dianggap 'supper' hinggakan ia bagai tidak memberi erti kerana budaya makan di luar atau di restoran yang dibuka 24 jam dicipta manusia.

beduk, sahur, Datuk Omar Mohd Hashim

Artikel Sebelum

Artikel Lain