suria

Ramadan Detik Awal Addaem Chandran Dalami Islam

Addaem sering mendapatkan pandangan mentuanya, Prof Muhaya untuk meneruskan kehidupan sebagai muslimin.
RAMADAN membawa erti yang cukup besar buat saudara baharu, Addaem Chandran, kerana bulan mulia inilah menjadi titik permulaan beliau mendalami dan akhirnya memeluk Islam pada 2009.

Mengimbas kembali saat indah ketika mendapat hidayah daripada Allah s.w.t, Addaem yang juga menantu kepada pakar motivasi terkenal, Prof Dr Muhaya Mohamad berkata, beliau pernah bermimpi sedang sujud di kawasan lapang dengan memakai jubah putih.


"Saya seperti tersedar daripada mimpi. Apa yang berlaku benar-benar membuka mata saya untuk mendalami Islam selepas itu.

"Kali pertama saya mengucap dua kalimah syahadah melalui perbualan telefon dengan seorang rakan muslim dari Singapura. Saya nekad dan tiga minggu selepas itu terus memeluk Islam secara rasmi di pejabat Majlis Agama Islam Selangor pada 10 Oktober 2009, " katanya kepada mStar Online dalam satu temubual di Country Heights Kajang baru-baru ini.



Addaem tidak pernah jemu untuk menambah ilmu mengenai Islam.


Apa yang menariknya kata Addaem, selepas itu semua urusannya dipermudahkan Allah s.w.t hinggakan majikannya faham dan menghormati masa beliau untuk bersolat  biarpun dia bekerja di sebuah syarikat mutlinasional, Procter & Gamble (P&G).

"Sebagai Pengurus Kumpulan P&G, saya banyak berurusan menerusi 'teleconferencing' di luar negara dan pada bulan puasa saya akan beritahu mereka supaya percepatkan urusan kerana saya akan balik pada pukul 5 petang.

"Saya beritahu mereka, waktu solat saya amat penting dan saya tidak ingin diganggu terutamanya pada waktu solat jumaat. Alhamdulillah akhirnya mereka faham dan hormat pada Islam hinggakan mereka pernah bertanya sama ada tahun ini saya pergi menunaikan umrah atau tidak," katanya yang mendirikan rumah tangga dengan Dr Noor Aniah Azmi, pada 27 Januari 2013.

Ternyata tanah suci Mekah cukup mengusik jiwa lelaki kacukan Cina-India ini, kerana di sanalah beliau  mendapat hidayah untuk mendirikan rumah tangga.

"Saya menunaikan Umrah pada kali pertama pada tahun 2010 setelah 4 bulan memeluk Islam dan setelah itu, saya mengantikan cuti tahunan saya yang kebiasaannya ke luar negara untuk bercuti untuk menunaikan Umrah. 

"Pada satu Jumaat, ketika solat isyak di tempat saie saya didatangi sebuah keluarga Arab. Ada seorang anak kecil datang dan peluk saya seolah-olah tak mahu melepaskan saya. Itulah jadi titik permulaan yang membuatkan saya nekad untuk berumahtangga," katanya.

Pada tahun 2012 saya sekali lagi  menunaikan umrah dan kali ini pada Ramadan, cabarannya cukup besar kerana cuaca agak panas di sana. Inilah saat yang sangat membuka mata untuk betul betul mendirikan rumah tangga. 

Biarpun tidak pernah 'berdating' dengan anak sulung figura motivasi ini, Addaem berkata, beliau memang mahu mengikut syariat Islam yang mahu menjaga batas pergaulan antara lelaki dan wanita bukan mahram.

"Saya sentiasa berdoa supaya dipertemukan dengan seorang wanita yang akan bersama saya  ke jalan yang benar dalam mencari keredhaan Allah. Saya sentiasa mendoakan wanita yang sangat baik, sopan dan sangat menghormati ibu saya," katanya.

"Alhamdulillah tanpa disangka Allah pertemukan saya dengan Aniah melalui seorang rakan. Kami tak pernah bercinta. Selepas diperkenalkan saya terus buat solat istikharah dan tiga hari lepas kahwin kami terus pergi ke Mekah untuk menunaikan umrah sebagai hadiah bulan madu," katanya yang dikurniakan seorang cahaya mata perempuan berusia tujuh bulan.

Selepas berkahwin akhirnya Addaem meletakkan jawatan untuk  meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga dan kini bergelar Pengarah Urusan Pusat Rawatan Mata dan Penglihatan:  LASIK Prof Dr Muhaya di Kajang.

Bercerita mengenai masa depannya,lelaki berusia 36 tahun ini berhasrat untuk menyampaikan dakwah Islam kepada keluarga dan rakan-rakan yang bukan beragama Islam.

"Islam sangat indah. Saya hendak beritahu kepada mereka tentang keindahan Islam namun pada masa sama saya bangga menjadi seorang India beragama Islam," katanya mengakihiri perbualan.

Prof Muhaya, Addaem Chandran

Artikel Lain