suria

Kedai Buku Fixi Merealisasikan Impian Amir Muhammad

Kedai Buku Fixi merealisasikan impian Amir Muhammad.

PENGASAS syarikat penerbitan 'indie' Buku Fixi, Amir Muhammad sentiasa berhasrat untuk membuka sebuah kedai buku. Itu adalah cita-cita peribadinya.

Dan tahun ini, dia berjaya melakukan apa yang diimpikannya itu apabila Kedai Buku Fixi dibuka secara rasmi di pusat membeli-belah Jaya di Petaling Jaya, minggu lepas.

"Saya sentiasa berhasrat untuk membuka sebuah kedai buku malah sebelum saya menjadi seorang penerbit lagi.

"Saya bukan sahaja mahukan sebuah kedai buku malah sebuah kedai kopi serta 'sinematek' dan saya menjadikan bandar-bandar yang saya lihat terutamanya di Manila sebagai sumber inspirasi," kata Amir dalam satu temu bual dengan akhbar The Star di kedainya, minggu lepas.

Untuk permulaan, ini adalah langkah praktikal yang pertama ke arah itu.

Walaupun kedai idamannya tiga-dalam-satu itu masih seperti dalam mimpi, tetapi para pencinta buku akan tetap berasa girang dengan pembukaan Kedai Fixi.

Mereka akan disediakan dengan buku-buku daripada Buku Fixi dan cetakan Fixi Novo (buku bahasa Inggeris Malaysia), Fixi Mono (bukan fiksyen), Fixi Retro (cetakan semula buku klasik bahasa melayu) dan Fixi Verso (buku jualan paling laris antarabangsa diterjemahkan ke dalam bahasa melayu).

"Dengan Kedai Fixi ini kami berpeluang untuk menempatkan lebih banyak buku dengan pelbagai tajuk dan genre yang merupakan satu petanda baik kepada pencinta buku kerana kami menyediakan kesemuanya di bawah satu bumbung," kata Amir lagi.

Menurutnya, Buku Fixi tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada kedai buku lain kerana mereka hanya mengutamakan penjualan buku yang popular sahaja malah mempunya ruang rak buku yang amat terhad.

"Jadi, saya merasakan lebih banyak perkara menarik yang kami boleh lakukan dengan adanya tempat sendiri," katanya.

Pelancaran kedai Buku Fixi telah dilakukan pada 11 April yang lalu dihadiri oleh pengarang Buku Fixi yang berjudul 'Brazil', 'Lari' dan 'Pentas' iaitu Ridhwan Saidi, Mim Jamil dan Anuar Shah.

Sesuatu yang menarik dan unik mengenai buku-buku terbitan Fixi ialah judulnya. Kesemua judul buku Fixi hanya muncul dengan satu patah perkataan sahaja.

Pelancaran kedai buku ini adalah satu lagi kejayaan besar untuk Buku Fixi yang ditubuhkan pada tahun 2011 itu. Dari sebuah syarikat penerbitan buku, Fixi kini melangkah setapak ke hadapan dengan kedai buku pula.

Amir sendiri terdorong untuk menghasilkan Buku Fixi selepas mendapati buku fiksyen bahasa melayu yang tercalon dalam satu majlis anugerah buku tempatan hanya dipenuhi dengan judul-judul yang berlatar belakangkan seperti 'rindu', 'kasih' atau 'cinta'.

Kesimpulannya, buku penerbitan bahasa melayu yang mendominasi pasaran kebanyakkannya adalah novel-novel romantis dan cinta.

"Saya tidak mahu dipetik sebagai berkata yang lambakan novel cinta itu adalah sesuatu yang buruk atau apa tetapi saya cuma mahu memberikan sedikit kelainan kerana kebanyakan buku yang diterbitkan itu ditujukan untuk wanita muda Melayu sahaja. Bagaimana pula dengan pembaca atau pencinta buku yang lain?" katanya.

Ketika Buku Fixi mula beroperasi, ia menerbitkan buku-buku untuk sasaran pembaca Melayu bandar dengan novel-novel kontemporari disamping buku fiksyen 'pulp', 'noir', seram dan jenayah.

Hari ini, Buku Fixi mengungguli carta buku terlaris di pasaran malah turut memenangi beberapa anugerah utama sastera tempatan.

Buku Fixi turut menerima Anugerah Penerbit Buku Perdagangan Dewasa Antarabangsa di Festival Buku London pada April tahun lepas.

"Permintaan semakin tinggi setiap tahun. Ia akan sampai ke kemuncaknya satu hari nanti, harap-harap begitulah tetapi ini juga bermakna, kami harus mempelbagaikan lagi tajuk dan perlu sentiasa mencuba sesuatu yang baharu," kata Amir.

Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi yang tidak stabil sejak kebelakangan ini, apakah dengan menerokai bidang baru khususnya dalam sektor buku merupakan satu idea yang baik, khususnya bisnes seperti ini yang berhadapan dengan permintaan yang tidak menentu.

Bagi Amir, dia telah bersedia untuk menyahut cabaran ini.

Dan baginya, cabaran yang paling besar ialah untuk menarik orang datang ke kedai bukunya ini.

"Menarik perhatian orang ramai untuk datang ke kedai adalah satu perkara yang sukar, jadi, kita tunggu dan lihat bagaimana sambutan dalam beberapa minggu ini dan dari situ barulah kita akan tentukan apa langkah seterusnya," jawab Amir ketika ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapinya.

Menurut Amir, dia mula merancang untuk membuka Kedai Buku Fixi sejak tahun lepas lagi dengan cabaran terbesar untuk mencari lokasi perniagaan yang sesuai dan strategik.

Amir kemudiannya membuat keputusan untuk memilih lokasi ini selepas didatangi oleh pengurusan pusat membeli-belah Jaya (Jaya Shopping Centre) yang baru sahaja dibuka selepas dibina semula.

"Saya dapat merasakan yang lokasi ini adalah lokasi yang sesuai. Saya yakin ia mempunyai jumlah pengunjung yang akan berkembang malah saya mempunyai memori nostalgia dengan pusat membeli-belah ini dan kini selepas diberi nafas baharu dengan pembinaan semula, saya amat menyukainya," jelas Amir.

Disebabkan konsep kedainya yang menjual buku-buku kontemporari dewasa, Amir mahukan kedainya kelihatan seperti kedai 'perindustrian urban'.

Ruang yang disediakan di kedai bukunya ini mampu memuatkan sehingga 1,000 buah buku pada satu-satu masa dan menjual 92 judul buku terbitan Fixi melainkan buku-buku yang sudah tidak dicetakkan lagi.

Selain buku-buku Fixi, Amir memberitahu bahawa kedainya turut menjual buku dari pelbagai penerbit indie lain seperti Lejen Press, Selut Press, Dubook Press, Terfaktab Media, Maple Comics dan juga Moka Mocha Ink.

Kedai Buku Fixi tidak akan menjual alat-alat tulis sebaliknya akan menjual barangan lain seperti baju-T.

Kepada satu soalan, Amir mendedahkan bahawa dia telah menerima tawaran daripada beberapa buah pusat membeli-belah yang lain untuk membukakan kedai buku, bagaimanapun dia lebih cenderung untuk melihat bagaimana kedai buku pertamanya ini berkembang sebelum memikirlan langkah mengembangkan sayap ke tempat lain.

Apa yang diharapkan Amir ialah setiap pengunjung akan berasa teruja sebaik sahaja mereka melangkah masuk ke Kedai Buku Fixi.

"Sebab itulah orang pergi ke kedai buku, bukan?

"Kalau mereka datang ke kedai dan mendapati terdapatnya buku yang dihasilkan oleh seorang pengarang baru yang mereka tidak kenali atau melihat satu karya yang belum mereka ketahui, maka itu adalah satu bonus," ujarnya sambil ketawa.

Amir Muhammad, Kedai Buku Fixi, indie

Artikel Berikut

Artikel Lain