KUCHING: Di Bumi Kenyalang ini tidak kurang 40 sub-etnik bernaung dengan mereka menjunjung bahasa, warisan budaya, nilai serta cara hidup masing-masing. Lebih 60 peratus daripada penduduk bumi kenyalang itu adalah daripada masyarakat Dayak, yang turut mewakili kumpulan etnik seperti Iban, Bidayuh, Kayan, Kenyah, Kelabit, Orang Ulu dan yang lain. Di sebalik perbezaan yang wujud, kesemua mereka sepakat dalam meraikan Gawai Dayak pada 1 Jun setiap tahun. SEJARAH Menyingkap sejarah sambutan Gawai, pada tahun 1962 British yang enggan mengiktiraf satu hari perayaan khusus buat kaum Dayak sebaliknya mengambil ketetapan menjadikan 1 Jun sebagai Hari Sarawak untuk diraikan oleh seluruh penduduknya. Namun pasca pembentukan Malaysia 1965, tarikh sambutan hari Sarawak itu diisytihar sebagai Hari Gawai khusus untuk diraikan oleh kaum Dayak. Secara sambutan umumnya, Gawai adalah waktu untuk anak-anak Sarawak yang merantau jauh terutama dari rumah-rumah panjang, kediaman unik yang menjadi warisan Dayak, yang berselerak di pedalaman. Hari gawai memberikan mereka peluang untuk pulang menghidupkan kembali nostalgia silam sambutan pesta musim menuai. RUMAH-RUMAH PANJANG Arthur C.Bangki, 35, pekerja telaga minyak di pesisir pantai Sarawak berkata setiap kali tiba sambutan Gawai, beliau akan kembali ke kampung halamannya di Nanga Machan, Kanowit, kira-kira 420 km dari sini. "Saya dari kaum Iban, bangga dengan etnik saya. Gawai satu-satunya pesta yang dikongsi bersama oleh banyak etnik. Walaupun daripada segi amalan sambutan yang diwarisi mungkin berbeza antara satu sama lain, namun semua etnik ini bersepakat untuk meraikan 1 Jun sebagai hari istimewa dalam menghayati perpaduan Dayak di Sarawak," katanya. Hari Gawai diraikan meriah dengan penuh warna warni di setiap rumah panjang. Arthur berkata, Gawai bermaksud sambutan atau pesta yang secara umumnya disambut bagi menandakan musim menuai sudah sampai ke penghujung dan bermulanya musim baru. Selain Gawai Dayak yang diketahui ramai sebagai Pesta Menuai, terdapat pelbagai rencam upacara kebudayaan dan tradisional yang menjadi sebahagian daripada adat resam kaum Iban, seperti Gawai Kenyalang, Gawai Batu, Gawai Antu, Gawai Bersimpan, Gawai Padi dan banyak lagi. Pesta menuai melabuhkan tirainya dengan acara "Ngiling bidai" (gulung tikar) menjelang minggu kedua atau ketiga bulan Jun dan Arthur sentiasa bersedia untuk menceritakan upacara-upacara gawai itu satu persatu kepada mereka yang berminat. Sambutan gawai sentiasa dipenuhi dengan nilai-nilai tradisional dan adat resam yang diwarisi dari generasi ke generasi, disulami dengan unsur-unsur mistikal dan pastinya paling meriah ia disambut di rumah-rumah panjang, semasa semua sanak saudara jauh dan dekat berhimpun. Biasanya sambutan perayaan tidak pernah terhenti sehingga keesokkan harinya, apa lagi apabila ada sesetengah rumah panjang itu menempatkan sehingga 30 keluarga. PELAWAT Bagi pelawat asing pula inilah masa paling sesuai untuk menjejakkan kaki ke Sarawak semasa semua pejabat ditutup, kemeriahan terasa di setiap sudut dari kawasan pedalaman sehingga ke ke kota. Malah ada beberapa syarikat pelancongan menawarkan pakej pelancongan yang memberikan akses kepada para pelawat merasai sendiri pengalaman menyambut Gawai di rumah-rumah panjang, berhampiran dengan bandar. Dalam tempoh ini terminal-terminal bot di Sibu, Kanowit, Song dan Kapit, di bahagian tengah Sarawak menyaksikan kesesakan kerana orangramai pulang ke kampung halaman menaiki pelbagai jenis bot, dari bot laju, bot ekspress bot panjang, yang menghiasi lagi suasana gawai. Setiap tahun menjelang ketibaan minggu sambutan Gawai, dianggarkan 15,000 orang menggunakan perkhidmatan bot ekspress untuk pulang ke kampung memandangkan ia kaedah pengangkutan penting di Sungai Rajang ini. Hakikatnya tidak semua penduduk peribumi Sarawak yang masih tinggal di rumah-rumah panjang, atau sentiasa memakai pakaian tradisional serta perhiasan tradisi atau dilengkapi dengan parang ilang setiap kali tiba sambutan Gawai. Ada juga ramai di kalangan kaum Dayak ini yang memilih untuk berpindah, bekerja dan tinggal di bandar-bandar besar. Mereka inilah yang menjadi wargakota yang menghidupkan bandar-bandar semasa sambutan Gawai. Golongan bandar ini biasanya membanjiri kawasan Tebingan Sungai Kuching misalnya, atau beramai-ramai ke Kampung Budaya Sarawak untuk menyaksikan persembahan eksklusif sambutan Gawai dan sebagainya. Tuai rumah (ketua rumah) John Lalong berkata rumah panjangnya di Jalan Teku di Sibu sentiasa terbuka kepada orang ramai semasa sambutan Gawai, tanpa mengira kaum atau agama. SENSITIVITI Pastinya dalam menjaga sensitiviti ramai, beliau dan "anak biaknya" (pengikutnya) tidak pernah lupa untuk menyediakan makanan yang dijamin halal buat tetamu. Salah satu acara sambutan yang turut melibatkan anak muda pelbagai kaum yang menyambut Hari Gawai Dayak. "Sesetengah kami ada menantu daripada kaum Muslim atau Cina, dan ada yang mempunyai pertalian saudara dengan mereka. Kami faham, dan sejujurnya menghormati sensitiviti mereka," katanya. Bagi sesetengah Dayak Kristian pula, mereka berhimpun di gereja-gereja, saling mengunjungi sanak saudara dan yang penting mengambil peluang di waktu cuti ini untuk bersama dengan keluarga. Ucapan penting di waktu ini, biar siapa sahaja yang ditemui di bumi Kenyalang ketika sambutan ini ialah "Gayu Guru Gerai Nyamai" - bahasa Iban yang bermaksud "Selamat sejahtera, semoga panjang umur, dan sihat selalu". -- Bernama