suria

Gunung Kinabalu: Impian Yang Belum Pasti Jadi Realiti

Penulis di puncak Gunung Kinabalu pada 2011.

HARI itu, perasaan ku bercampur. Antara geram, sedih, marah dan jauh disudut hati tentunya bersyukur kerana masih diberi peluang bernafas didunia yang hanya pinjaman ini.

Nyata berita kejadian gempa bumi yang melanda Sabah, atau lebih tepat lagi di Ranau menggusarkan ku. Hari itu serba serbi tak kena -  tanggalnya 5 Jun 2015.

Mana tidaknya, bencana itu telah memusnahkan bangunan Gunting Lagadan yang bakal dikunjungi bersama lima rakan lain dalam masa dua hari saja lagi. 

Lebih teruk hampir 200 pendaki terkandas, termasuk di puncak ikon negeri di bawah bayu itu dan tambah tragis apabila hampir 50 pendaki yang menggunakan laluan Ferrata dikatakan hilang. Pada hari sama juga dimaklumkan adanya pendaki dan malim yang maut akibat bencana itu.

Penulis (dua, kiri) dan Nazura (dua, kanan) bersama teman-teman di puncak Gunung Kinabalu.

Tika artikel ini disiarkan, sepatutnya aku, Nazura Ngah, adiknya Lutfi, Nurhayati Abllah dan pasangan Khirul Bahri Basaruddin serta Siti Nurbaiyah Nadzmi sudah sampai ke Mesilau, di kaki gunung itu. Ikut jadual, kami akan mula mendaki sekitar 8.30 pagi, bermalam di Gunting Lagadan dan seterusnya kira-kira pukul 2 pagi akan mula mendaki untuk sampai ke puncak bagi menyaksikan keindahan terbitnya matahari.

Itu rancangan yang diatur berbulan-bulan lamanya, tapi kuasa Tuhan tiada siapa dapat mengatasinya. Benar dan sebab itulah timbul perasaan bercampur itu.

Memang ku terima ujian ini, tetapi pada masa sama kerinduan untuk sekali lagi menikmati suasana nyaman, tenang dan mengagumi kebesaran Yang Esa ketika berada di puncak setinggi 4,095 meter itu sukar diluahkan. Subhanallah....

Sebab itu jugalah perasaan bercampur itu berkunjung dalam diriku pada hari itu. Berkali-kali meja di pejabat mStar Online ini ku hentak bagi melepaskan perasaan yang terbuku.

Bayangkan latihan demi latihan yang dilalui untuk membina stamina berakhir begitu saja. Masih terasa pendakian setinggi 1,035 meter ke Bukit Kutu di Kuala Kubu Baru, berkali-kali ke Bukit Broga, Gunung Tok Wan dan mana lagi kalau bukan Batu Caves untuk menapak 272 anak tangganya - bukan sekali tapi paling kurang tiga set, naik dan turun, diulangi - itu paling kurang!

Penulis semasa mendaki Gunung Tok Wan.

Dalam kesibukan bekerja dan diselang seli dengan panggilan dan Whatapps dengan grup KinabaluJun2015 pada hari itu, tiba-tiba perhatian tertumpu dan terpaut pada gambar kumpulan pendaki yang terkandas di puncak Kinabalu."Bestnya kalau dapat dok lama kat puncak. Kalau tidak kejap je kat atas tu, dah kena turun," kata ku ketika dihubungi Nazura.

Mendengarnya, secara spontan Nazura bersuara dengan nada agak tinggi: "Laa Kak Tim ni....kita syukur sebab tak daki lagi, yang dia pulak nak dok kat puncak masa gempa tu jadi.".  

Kata-katanya itu ku balas: "Kalau ada kat puncak boleh la buat story, lagi pun once in a life time la."

Lalu Nazura terus memberi reaksi spontan: "Hmmmm...tak pa la kak, apa pun saya lega kita selamat sebab tak naik lagi." 

Gara-gara bencana itu juga, kami berenam perlu membuat keputusan segera, sama ada meneruskan rancangan untuk bercuti di Sabah dengan tempahan penginapan dan pengangkutan sebagai kos tambahan atau membatalkan tiket penerbangan.

Latihan mendaki Bukit Kutu bersama Khirul Bahri (topi, depan) dan Nurbaiyah minggu lalu.

Mulanya hasrat hati nak teruskan juga perjalanan ke Kundasang untuk meninjau situasi di sana, sekurang-kurangnya terubat rasa rindu tetapi malangnya dikhabarkan laluan ke sana juga berhadapan masalah keretakan akibat gempa dan dinasihatkan supaya tidak ke sana sehingga situasi pulih.

Ketika berkongsi rasa tak keruannya, Nazura yang mendapat berita bencana itu ketika membuat liputan Muktamar Tahunan PAS di Kuala Selangor ternyata berhadapan masalah untuk fokus terhadap tugasnya hari itu.

"Entahla kak, tak boleh fikir dah ni, buat kerja pun tak boleh fokus. Pakej naik Kinabalu tu boleh la kita tunda or dapat duit balik, tapi kalau tak ke KK rugi pulak la tiket flight tu. Nak cancel atau ubah jadi open ticket pun kena penalty. Apa pun kena buat keputusan cepat, lagi pun memang dah tak boleh daki Isnin ni," katanya menghubungiku ketika persidangan itu berhenti rehat untuk solat Jumaat.

Selepas berbincang, diconggak, akhirnya, aktiviti mendaki bertukar kepada percutian mengenali bandar KK dan kawasan sekitar buat Nazura, Lutfi dah Norhayati, manakala Khirul Bahri, Siti Nurbaiyah dan aku sendiri memutuskan untuk menghabiskan masa bersama keluarga. 

Nazura (kanan) bersama Nurhayati (tengah) dan Lutfi di Lagoon Park Karambunai.

Keesokannya dengan berat hati ke pejabat Penerbangan Malaysia untuk proses pembatalan tiket dan lega semuanya dipermudahkan walaupun refund tak dapat sepenuhnya.

Sekurang-kurangnya kejadian itu mengajar untuk lebih menghargai kebesaranMu Yang Esa dan bahawa perancangan manusia itu walau disangka sempurna, ia tetap tidak dapat menandingi catatan perjalanan hidup manusia yang digarap lebih awal sebelum dilahirkan ke dunia ini.

Bak kata Nazura, hanya Allah saja tahu betapa kecewanya kerana persiapan dibuat sejak sekian lama tetapi tetap reda kerana yakin dengan perancanganNya adalah yang terbaik.

"Saya bersyukur tragedi itu tidak menimpa grup kita," katanya yang pernah menjejakkan kaki ke puncak Kinabalu bersama ku empat tahun lalu.

Nazura di puncak Gunung Kinabalu pada 2011.

Anak kelahiran Terengganu ini juga gigih ke gym, naik turun tangga Memorial Tun Razak di Taman Tasik Perdana dan Batu Caves, malah tangga pejabat di Bangsar juga menjadi antara lokasi untuk memastikan stamina bersedia untuk menghadapi cabaran Gunung Kinabalu.

Bagi adiknya yang berusia 29 tahun dan menetap di Kuala Terengganu itu, dia juga kecewa kerana hasrat untuk mendaki puncak tertinggi Asia ini tersimpan sejak di bangku sekolah, tetapi reda kerana yakin ada hikmah disebaliknya.

"Impian saya pun didorong kakak saya yang sudah berjaya menawan puncak Kinabalu pada 2011.

"Apabila diajak, tanpa berfikir panjang saya terus terima pelawaan kakak dan persiapan mula dibuat sejak tahun lalu," katanya yang menjadikan cuti hujung minggu dengan mendaki Bukit Besar di Kuala Terengganu sebagai lokasi memantapkan stamina selain menyertai bermain futsal pada sebelah malam.

Kerinduan untuk sekali lagi menikmati suasana nyaman, tenang dan mengagumi kebesaran Yang Esa ketika berada di puncak setinggi 4,095 meter itu sukar diluahkan.

Walau apa juga alasan dan pengalaman yang dilalui susulan tragedi ini, yang pasti ia suatu takdir yang tersusun indah sebagaimana indahnya Gunung Kinabalu itu.

Antara lambat atau cepat, kami berenam akan sekali lagi merancang ke Kundasang dan bencana ini tidak akan mematahkan semangat, sebaliknya membuatkan masing-masing bermuhasabah diri.

Bagi yang terkorban, takziah diucapkan buat ahli keluarga kerana kehilangan insan tersayang, terutama malim yang disifatkan sebagai wira yang tak didendang itu.

Gunung Kinabalu

Artikel Lain