suria

Bai'ah PAS Perjudikan Perkahwinan, Melampaui Batas

KUALA LUMPUR: Kebelakangan ini kerap kedengaran rungutan dan persoalan berhubung sumpah baiah parti PAS berikutan penubuhan parti Gerakan Harapan Baru yang mana kebanyakannya diisi oleh anggota PAS.

Ini kerana, anggota-anggota PAS dikatakan pernah bersumpah baiah talak tiga yang mencagarkan institusi keluarga masing-masing.

Ketaksuban politik di dalam parti PAS di Kelantan misalnya, yang menyaksikan sumpah bai'ah talak tiga ke atas isteri masing-masing sekiranya seseorang wakil rakyat keluar dari parti itu, adalah tidak diterima akal.

Hakikatnya, parti-parti politik tidak sepatutnya mengikat kesetiaan ahlinya dengan sumpah bai'ah yang melampaui batas, hinggakan memperjudikan elemen kekeluargaan yang murni.

Di dalam Islam, bai'ah adalah janji untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab, justeru jelas bahawa sumpah bai'ah dalam kalangan anggota PAS adalah menjurus kepada ketaksuban politik parti itu semata-mata.

Meskipun kepimpinan PAS pada tahun 2009 pernah menafikan wujudnya sumpah bai'ah yang membawa kepada penceraian dengan isteri, namun Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yaakob baru-baru ini mengesahkan sumpah tersebut sememangnya wujud.

Ahmad berkata lafaz bai'ah telah lama diamalkan di Kelantan iaitu sejak 2004, terhadap mana-mana wakil rakyat negeri itu yang mahu meninggalkan atau melompat ke parti lain dengan sukarela.

LAFAZ TALAK SAH

Isu bai'ah timbul apabila dibangkitkan kepimpinan PAS itu selepas kumpulan progresif di dalam parti tersebut termasuk anggota Parlimen Shah Alam, Khalid Samad giat mempromosikan Gerakan Harapan Baru; parti Islam baharu bagi menggantikan PAS.

Namun, Khalid berkata beliau tidak akan menceraikan isterinya kerana anggota PAS Selangor tidak pernah mengangkat sumpah bai'ah sedemikian.

Katanya, kemungkinan ada wakil rakyat PAS di Kelantan dan Terengganu yang berbuat demikian.

Menurut Ketua Hakim Syarie Mahkamah Syariah Kelantan Datuk Daud Muhammad, mana-mana individu yang melafazkan sumpah tetapi melanggarnya perlu membuat pengesahan di Mahkamah Syariah kerana lafaz talak itu adalah sah.

Katanya, talak yang dilafaz secara bersumpah, bergurau atau berikrar adalah sah dan hakiki. Mana-mana individu tidak boleh sewenang-wenang mempermainkan lafaz talak atau cerai atas apa jua alasan sekalipun.

Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria pula berkata sumpah bai'ah talak tiga PAS itu adalah haram kerana cuba membatalkan perkahwinan yang dianggap sunnah disebabkan perjuangan politik.

"Baiah itu sendiri tidak betul tetapi oleh kerana mereka sudah bersumpah di khayalak ramai, maka talak telah jatuh," katanya dipetik media.

SUMPAH MEMAKAN DIRI

Setiausaha Agung Pertubuhan Ilmuan Malaysia Ustaz Ahmad Fazrin Yahaya berkata sumpah bai'ah sememangnya wujud di dalam Islam, yang merupakan pertautan janji daripada kepimpinan untuk mematuhi amanah dan memikul tanggungjawab yang diberikan.

Namun katanya, apa yang menyedihkan, bai'ah yang diamalkan oleh PAS dan juga banyak lagi pertubuhan jemaah Islam yang lain adalah melampaui batas yang digariskan syarak.

Katanya, misi PAS untuk memperjuangkan Islam sememangnya dihormati, namun dalam masa sama parti itu juga menggolok-gadaikan sesuatu yang dipelihara oleh Islam sendiri.

"Di dalam Islam, institusi kekeluargaan adalah sesuatu yang suci, justeru mana-mana parti sekalipun tidak sepatutnya mengamalkan bai'ah yang berunsur terlalu mengongkong dan menggadaikan elemen kekeluargaan.

"Takkanlah kerana isu parti, keluarga yang harmoni digadai dan menjadi mangsa?... Ini bukan contoh yang baik," katanya.

BAI'AH MIRIP ZAMAN GABENOR KEJAM

Beliau berkata banyak cara lain yang boleh dilaksanakan PAS untuk memastikan wakil rakyatnya setia dengan parti, tanpa melibatkan institusi kekeluargaan.

Katanya, sumpah bai'ah yang diamalkan PAS itu mirip dengan bai'ah yang diperkenalkan oleh Al-Hajjaj ibn Yusuf, seorang gabenor Iraq yang terkenal kerana kezalimannya, termasuk membunuh pada zaman itu, kira-kira 1,300 tahun dahulu.

"Bai'ah yang diperkenalkan pada zaman itu lebih kurang sama dengan yang diamalkan PAS, di mana jatuh talak jika tidak setia... sedangkan banyak cara lain boleh dilakukan untuk mengikat kesetiaan.

"Sepatutnya parti yang menjenamakan diri dengan jenama Islam hendaklah mengikut landasan yang waras... yang perlu dibai'ahkan adalah ketaatan kepada Allah dan Rasulnya," katanya.

Beliau berkata individu yang telah melafaz bai'ah hanya mempunyai dua pilihan sama ada melanggar bai'ah tersebut dan berhadapan dengan kesannya, atau setia kepada parti sekiranya sayangkan keluarga.

"Saya seru kepimpinan PAS declare bai'ah ini sebagai tidak valid, mungkin ini sahaja cara untuk selamatkan," katanya.

TERLALU EKTREM BERPOLITIK

Penganalisis politik Prof Madya Dr Ismail Sualman pula berkata lafaz bai'ah itu menggambarkan PAS sebagai parti yang terlalu ekstrem dalam berpolitik hinggakan sanggup mengambil pendekatan terlampau taksub yang menjadikan wanita sebagai mangsa.

Beliau yang juga pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam berkata lafaz bai'ah yang diamalkan PAS itu adalah kesilapan besar parti itu, yang tidak sepatutnya wujud sama sekali.

"Saya fikir pada masa bai'ah ini dibuat, mereka ini tidak berfikir panjang... mereka sanggup memperjudikan wanita sebagai galang ganti untuk kelangsungan politik, asalkan wakil rakyat mereka setia dengan parti itu.

"Mereka tidak melihat apa yang dilakukan mereka ini sebenarnya salah dari segi moral, etika dan juga undang-undang di dalam Islam... dan jelas menunjukkan tiada demokrasi di dalam PAS," katanya.

ISTERI JANGAN DIAM DIRI

Beliau berkata ketaksuban PAS hinggakan sanggup memperkenalkan bai'ah yang sebegitu dahsyat hendaklah dijadikan iktibar, bahawa di dalam politik seharusnya wasatiyah dan kesederhanaan yang ditekankan.

"Sekiranya ada yang jatuh talak, maka parti ini menjadi sejarah di dalam dunia yang sanggup menceraikan isteri demi politik... tidak seharusnya sejarah zaman ribu tahun dahulu berulang," katanya.

Beliau berkata isteri-isteri kepada anggota PAS juga tidak seharusnya berdiam diri dengan merelakan suami mereka mengikat sumpah yang memperjudikan perkahwinan mereka.

"Wanita islam perlu 'fight', jangan hanya diam dengan nafsu politik suami kerana kesannya itu bukan sahaja kepada si isteri tetapi juga anak-anak... ia memberi tamparan hebat kepada wanita dan keluarga.

"Persoalan lain juga wujud, bagaimana dengan wakil rakyat wanita? Adakah mereka juga ada melafazkan sumpah bai'ah? Jika ya, ini kelakar," katanya.


bai'ah PAS, Gerakan Harapan Baru

Artikel Lain