suria

Wajib Lulus BI: Belum Sedia Atau Polisi Berubah?

PENANGGUHAN pelaksanaan wajib lulus subjek Bahasa Inggeris  (BI) dalam peperiksaaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  yang dijadual berkuatkuasa mulai 2016 mengundang persoalan adakah benar  guru dan pelajar  serta pihak berkaitan belum cukup bersedia  ke arah pelaksanaannya?

Lembaga Peperiksaan Malaysia  (LPM) telah mengumumkan penangguhannya dalam pekeliling bertarikh 19 Ogos 2015.

Cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris  dalam SPM diumumkan oleh bekas Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 2013, seiring dengan pelaksanaan gelombang kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia.

Di bawah cadangan ini Bahasa Inggeris  dijadikan subjek wajib lulus, sekurang-kurangnya Gred E untuk melayakkan calon mendapat sijil SPM mulai 2016. Syarat ini adalah tambahan kepada syarat wajib lulus bagi subjek  Bahasa Melayu dan Sejarah.  Subjek  Bahasa Inggeris  juga dicadang akan mula diperkenalkan dalam Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan (SPMU) mulai 2017.

Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) menekankan penangguhan ini adalah untuk memberi ruang secukupnya kepada guru dan murid, khususnya di sekolah-sekolah luar bandar, membuat persediaan.  Ertinya belum ada persiapan rapi walaupun tempoh tiga tahun diberikan daripada tarikh pengumuman pada 2013 dan tarikh kuatkuasa pada 2016.

Tetapi adakah itu alasan sebenarnya kerana sebelum ini tidak timbul isu mengenai persiapan, khususnya bagi guru dan pelajar luar bandar? Pekeliling telah dikeluarkan melalui Surat Pekeliling Lembaga Peperiksaan Bil. 2 Tahun 2014 pada 18 Disember 2014 dan pihak kementerian dan LPM kelihatan tidak ada masalah bagi melaksanakan cadangan tersebut.

Justeru ada pihak yang menyifatkan penangguhan ini sebagai satu perubahan polisi, walaupun mungkin untuk sementara. Ini kerana penangguhan ini diumumkan setelah berlaku rombakan kabinet di mana Muhyiddin Yassin digugurkan sebagai anggota kabinet.

Polisi tidak sewajarnya berubah sekalipun berlaku perubahan kepimpinan. Dengan penangguhan ini tidak pasti bila cadangan tersebut akan mula dilaksanakan.  Jika alasannya untuk memberi persediaan secukupnya kepada guru dan pelajar di luar bandar, berapa lamakah tempoh masa yang diperlukan untuk guru dan pelajar  ini mempunyai persediaan secukupnya?

Mungkin pelajar luar bandar sedikit ketinggalan dibandingkan dengan rakan-rakan mereka di bandar, termasuk kemahiran dalam Bahasa Inggeris. Tetapi untuk menjadikan pelajar luar bandar sebagai alasan penangguhan sesuatu polisi adalah tidak wajar.  Seolah-olah pelajar luar bandar ini terlalu ke belakang dan  menjadi penghalang bagi pelaksanaan sesuatu polisi tertentu.

Sebelum ini pengajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris dimansuhkan atas alasan wujud jurang pencapaian yang luas di antara murid luar bandar dengan bandar apabila pengajaran dan pembelajaran (P&P) kedua-dua subjek tersebut dibuat dalam Bahasa Inggeris.

Kini sekali lagi pelajar luar bandar dijadikan alasan menangguhkan cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris dalam SPM. Pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris bertujuan meningkatkan penguasaan Bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

Syarat wajib lulus Bahasa Inggeris  dalam SPM juga bermatlamat sama untuk memastikan calon SPM mempunyai penguasaan bahasa tersebut yang sangat penting sebagai bahasa antarabangsa.

Pelajar luar bandar bukanlah teruk sangat penguasaan Bahasa Inggeris mereka. Juga Bahasa Inggeris bukan subjek baru.   Ia adalah subjek yang diajar berterusan di sekolah sejak sebelum merdeka lagi. Oleh itu pengetahuan dalam bahasa ini sewajarnya sudah menjadi lebih baik dan maju. Bezanya, kini ia  dicadang dijadikan subjek wajib lulus dalam SPM.

Jika pihak berwajib merasakan guru dan pelajar luar bandar wajar diberi persediaan secukupnya sebelum cadangan wajib lulus Bahasa Inggeris itu dilaksanakan, kaedah terbaik ialah bukan menangguhkan untuk tempoh tertentu, tetapi berusaha segera memperbaiki penguasaan Bahasa Inggeris  guru dan pelajar luar bandar.

Guru-guru Bahasa Inggeris  yang dihantar ke luar bandar mestilah benar-benar mahir dalam bahasa tersebut. Amat merisaukan kerana kerap kali kita didedahkan dengan rungutan adanya guru-guru Bahasa Inggeris ,  baik di bandar atau luar bandar,  tidak begitu menguasai bahasa itu dengan baik. Bagaimana mungkin mereka menyampaikan ilmu dengan berkesan jika mereka sendiri tidak mahir.

Untuk membantu penguasaan Bahasa Inggeris di kawasan luar bandar khususnya, antara langkah yang boleh diambil ialah memperbanyakkan bahan-bahan bacaan dalam Bahasa Inggeris . Galakkan mereka membaca bahan-bahan ini di samping membaca akhbar-akhbar berbahasa Inggeris.   Selain itu, pendidikan berkesan juga boleh dilakukan menerusi alat pandang dengar (audio visual).

Juga penting bagi pihak berwajib seperti Pejabat Pendidikan Daerah (PPD),  Pejabat Pendidikan Negeri (PPN) dan Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa membuat audit pencapaian dan prestasi pelajar dan guru-guru yang mengajar. Daripada situ boleh dibuat geraf pencapaian dan boleh disimpulkan sejauh mana prestasi pelajar pada satu-satu jangka masa tertentu.

Pepatah Inggeris sudah berkata; `Practice makes perfect’. Pelajar luar bandar jangan malu-malu untuk bertutur sesama mereka dalam Bahasa Inggeris.  Ini adalah cara pembelajaran  dan penguasaan bahasa yang berkesan. Biarlah dalam `broken english’ atau ada kesilapan tidak mengapa. Itu permulaan untuk belajar  yang akhirnya boleh memberikan kesan positif.

Pelajar luar bandar dan pelajar Melayu selalunya malu-malu hendak bertutur dalam Bahasa Inggeris  kerana bimbang sebutan salah atau ditertawakan. Hentikan sifat rendah diri ini jika mahu bersaing dan maju. Orang yang pandai dan bijak juga bermula dengan membuat kesilapan dan berusaha memperbaiki kesilapan itu sehingga berjaya.

> AHMAD ABDUL HAMID adalah seorang  wartawan veteran dan pernah berkhidmat sebagai penolong ketua pengarang Kumpulan Utusan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain