SEJAUH manakah benarnya peribahasa “hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri"? Barangkali jika mengambil kira peristiwa bot pancung karam yang mengorbankan 70 warga Indonesia di perairan Sabak Bernam pada 3 September lalu dan beberapa peristiwa lain sebelum itu, peribahasa ini sudah tidak relevan lagi. Terbukti orang asing sedia bertarung nyawa datang ke negara ini demi mencari emas di negeri orang kerana hujan batu di negeri sendiri bagai sudah tidak ada nilainya. Bukan sekali peristiwa bot karam mengorbankan pendatang ini menjadi hiasan akhbar-akhbar kita. Sebelum ini pun sudah beberapa kali berlaku. Namun kejadian itu tidak menakutkan mereka untuk mencuba nasib di bumi asing. Mereka sedia dibadai ombak dalam misi mencari emas atau padang yang lebih hijau. Impian mereka mahu mengubah nasib hidup. Seringkali pula impian ini terpadam bersama mereka yang lemas di dada lautan. Namun yang pasti, `hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri’ sudah tidak boleh diterima. Realitinya, dengan mengambil Malaysia sebagai perbandingan, cukup untuk menyerlahkan hakikat ini. Jelas, ramai warga asing dari pelbagai negara berpusu-pusu ke negara ini untuk mencari kehidupan yang lebih bahagia. Ramai antaranya berkelana dengan meninggalkan mereka yang tersayang di kampung halaman. Sayangnya dalam usaha mengejar kebahagiaan hidup yang sempurna, ramai pula di antara mereka memilih untuk merentas sempadan negara secara haram. Maka jadilah mereka ini Pendatang Asing Tanpa Izin (Pati). Sesungguhnya matlamat tidak menghalalkan cara. Datang sebagai Pati risikonya sangat tinggi. Tiada jaminan keselamatan untuk sampai ke negara ini. Jika tertangkap risiko ditanggung sendiri dan dihantar pulang. Impian untuk bahagia hanya tinggal menjadi harapan hampa. Andai kata bot tenggelam, nyawa hanyut bersama-sama arus yang deras dan ganas. Yang datang secara sah pula mengambil kesempatan tinggal melepasi batas waktu yang dibenarkan. Akhirnya mereka juga bertukar status menjadi Pati. Setiap yang datang menaruh harapan tinggi untuk menimba rezeki. Mereka sedar banyak peluang dan ruang untuk mengumpul wang sebanyak yang mungkin untuk dibawa pulang atau dikirim pulang ke negara asal. Buktinya banyak wang negara mengalir keluar apabila mereka mengirimkan wang kepada kaum keluarga di negara asal. Kita sebenarnya yang membuka ruang seluas-luasnya kepada pendatang asing ini untuk datang berbondong-bondong kerana kita tidak lagi berminat untuk bekerja dalam sektor-sektor tertentu. Misalnya sektor pembinaan dan pertanian. Akhirnya, kekosongan ini perlu diisi oleh warga asing yang rela melakukan apa yang kita sendiri sudah tidak rela. Kerana itulah pendatang sanggup bergolok bergandai malah sehingga bersabung nyawa untuk menempuh pelbagai liku dan cabaran asalkan dapat sampai ke bumi ini. Impian mereka hanya satu - mahu mengubah hidup dan mengumpul wang selagi boleh. Kerana kesanggupan itu jugalah, sindiket haram yang mendalangi kedatangan haram Pati ini tumbuh makmur bagaikan satu industri halal. Mereka tidak memberi jaminan keselamatan, juga tiada jaminan pekerjaan apabila sampai ke sini. Jika terjadi apa-apa dalam perjalanan semua risiko tanggung sendiri. Dalang biasanya akan terlepas begitu sahaja, malah memperoleh banyak wang. Tapi jalan haram ini juga lah yang dipilih untuk masuk dan keluar ke negara ini. Adakah berbaloi jika setelah membelanjakan banyak wang untuk masuk ke negara ini akhirnya tumpas di tengah lautan? Apa ertinya jika sampai pun tiada jaminan pekerjaan menunggu? Malah bekerja dalam ketakutan kerana status Pati dan berakhir dengan tragedi sepertimana yang berlaku baru-baru ini.