PETALING JAYA: Apa ada dengan sekeping resit? Mungkin ramai berpendapat ia untuk semakan pengecualian cukai pendapatan bagi pembelian buku. Kedai buku yang terkenal dengan harga buku termurah di Malaysia, BookXcess dan penerbit tempatan dengan fokus kepada novel urban kontemporari, Buku Fixi ada jawapannya untuk anda. Kolaborasi dua pemain hebat dalam industri buku ini menjadikan resit berkenaan lebih bermakna menerusi kempen Cerita Resit. Kempen ini membuka penyertaan kepada orang ramai untuk berkongsi bakat mereka menulis cerita menarik dengan maksimum 100 perkataan dan cerita yang terpilih akan diterbitkan pada resit pembelian buku di BookXcess. Pengarah Urusan BookXcess Sdn Bhd, Andrew Yap berkata, ia merupakan penganjuran kedua kempen Cerita Resit selepas kejayaan pertama bermula pada 2011 yang mendapat sambutan amat menggalakkan. Menurut Andrew, penyertaan bagi cerita dalam bahasa Inggeris menyaksikan lebih 10,000 penyertaan dan mendapat pengiktirafan tempatan dan antarabangsa seperti Anugerah Kancil dan Anugerah Antarabangsa Young Guns. Bagaimanapun katanya, kempen kali ini membuka penyertaan untuk cerita menarik dan kreatif dalam bahasa Melayu. "Kita mahu menggalakkan orang ramai menulis dan menjadi kreatif. Hari ini ramai yang lebih banyak menulis walaupun sekadar menulis emel atau mesej menerusi aplikasi Whatsapp. "Sesiapa sahaja sebenarnya boleh menulis maka Cerita Resit membuka peluang untuk orang ramai menulis dan tulisan yang terpilih akan diterbitkan pada resit dan dibaca oleh orang lain," katanya kepada mStar Online baru-baru ini. Andrew berkata, platform yang diperkenalkan itu melengkapi antara penulis dan pembaca serta menggalakkan bacaan dalam bahasa Melayu. "Semua buku di BookXcess dan kebanyakan buku di pesta jualannya iaitu Big Bad Wolf dalam bahasa Inggeris, maka kempen ini turut menggalakkan pembaca bagi bahan bacaan berbahasa Inggeris untuk membaca karya bahasa Melayu," katanya. Mengenai penyertaan, Andrew menjelaskan bahawa Cerita Resit merupakan kempen yang berterusan dan orang ramai boleh menghantar seberapa banyak karya mereka. Andrew Yap (kiri) dan Amir Muhammad menunjukkan resit pembelian buku yang dicetak dengan cerita terpilih. "Kempen Cerita Resit ini adalah sebahagian daripada inisiatif kami untuk berkhidmat kepada masyarakat dengan harapan dapat menggalakkan lebih ramai menulis dan membaca," katanya. Sementara itu, Penerbit Buku Fixi, Amir Muhammad berkata, konsep karya terpulang kepada kreativiti selagi penceritaannya segar, menarik, tidak tergantung dan maksimum 100 perkataan. "Sebelum ini, ramai yang ingat kempen Cerita Resit ini hanya perlu menulis cerita tentang resit. Jadi, banyak cerita yang kami terima mengenai resit, buku dan pembelian buku. "Sebenarnya konsepnya bervariasi dan kita membuat pemilihan dengan menilai setiap cerita yang menarik dan berkualiti. Anda boleh hantarnya dalam bentuk cerita, puisi atau apa sahaja," katanya. Menurut Amir, bakal pemilik resit dengan cetakan cerpen kontot atau 'certot' itu terdiri daripada pelbagai latar belakang dan umur maka cerita itu seharusnya bersesuaian dengan semua golongan. "Hal ini adalah subjektif tetapi kita mahu seramai mungkin yang faham dan suka. Jadi, saya berharap cerita mereka tidak tergantung atau mempunyai slanga yang sukar untuk difahami," katanya. Beliau berkata, satu cerita akan dipilih setiap dua minggu dan akan dicetak pada resit pembelian buku di BookXcess sepanjang tempoh itu. Bagaimanapun Amir berkata, satu cerita yang terpilih akan dicetak pada 200,000 resit sepanjang pesta jualan Big Bad Wolf yang bakal berlangsung di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC) di Seri Kembangan pada 4 sehingga 14 Disember ini. "Sekali lagi, kempen Cerita Resit berterusan dan cerita yang tidak terpilih untuk dicetak pada resit masih berpeluang disiarkan di laman web BookXcess. "Malah, mungkin pada masa akan datang terdapat rancangan untuk Buku Fixi dan BookXcess bekerjasama bagi menerbitkan buku himpunan cerita yang terpilih," katanya. Orang ramai yang berminat untuk menghantar karya mereka boleh melayari laman web www.bookxcess.com/receipt-stories.