suria

Memansuhkan Hukuman Mati Mandatori Perlu Renungan Mendalam

ADAKAH hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 sudah tidak relevan? Apakah kesannya jika ia dimansuhkan?

Isu ini menarik diperkatakan berikutan hasrat kerajaan mahu memansuhkan hukuman mati mandatori di bawah Seksyen 39B itu. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Meneri, Nancy Shukri, rang undang-undang memansuhkan hukuman tersebut dijangka dibentangkan pada persidangan Parlimen Mac ini.

Pindaan ini tidak memansuhkan hukuman mati tetapi hukuman mati itu bukan lagi mandatori.

Menurut beliau, pindaan ini bertujuan memberi lebih kuasa budi bicara kepada mahkamah menentukan hukuman kepada pesalah tanpa tertakluk kepada hukuman mati mandatori. Mahkamah boleh menjatuhkan hukuman mati atau penjara dan sebatan. Ketika ini mahkamah tiada pilihan.

Nancy juga membayangkan, pemansuhan hukuman mati mandatori bagi kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ini kemudiannya bakal diperluaskan bagi hukuman mati mandatori melibatkan kesalahan-kesalahan jenayah berat lain.

Antara alasan diberikan oleh Nancy bagi memansuhkan hukuman mati mandatori dalam kes dadah ialah hukuman itu tidak dapat membantu mengekang kegiatan mengedar dadah. Ini dibuktikan  dengan angka tahanan yang makin meningkat tiap tahun. Tetapi adakah alasan ini cukup kuat?

Ini kerana tiada akta atau hukuman tertentu yang mampu mengekang perlakuan jenayah secara sepenuhnya, termasuk dalam kes dadah. Bagaimanapun, hukuman mati mandatori dilihat sebagai faktor pencegahan yang menakutkan yang mampu mengekang jenayah ini.

Namun begitu, tetap ada yang berani mengambil risiko melakukan jenayah tersebut walaupun mengetahui tali gantung menanti mereka jika tertangkap.

Akta Dadah Berbahaya bertujuan mengekang dan membanteras pengedaran dadah yang menjadi ancaman kepada negara dan rakyat, khususnya golongan muda. Dadah adalah musuh utama negara. Seksyen 39B akta ini yang memperuntukkan hukuman mati mandatori adalah gambaran jelas tiada kompromi dengan mereka yang mengedar dadah. Lalu wajarkah hukuman mati ke atas pesalah ini dimansuh?



Memang benar, jumlah tahanan di bawah Akta Dadah Berbahaya meningkat. Pada tahun 2012 sejumlah 116,74 suspek ditahan. Pada tahun 2013, jumlahnya meningkat kepada 129,250 orang. Namun seperti yang ditegaskan, apa pun undang-undang yang dikuatkuasakan, tidak mungkin ia mampu mengekang jenayah ini 100 peratus.   

Mungkin dari satu sudut, peningkatan jumlah tahanan ini mengecewakan dan sekaligus memberi indikasi yang hukuman mati mandatori juga tidak menakutkan pesalah. Namun dari sudut positif, ia juga menggambarkan kejayaan pihak berkuasa mengekang gejala pengedaran dadah dengan lebih ramai masuk ke dalam perangkap. 

Bukan sahaja rakyat tempatan, malah ramai pengedar dadah rakyat asing masuk ke dalam perangkap pihak berkuasa. Pastinya kita tidak mahu negara kita dijadikan tempat mengedar dadah atau transit pengedaran dadah. Tanpa hukuman mati mandatori, baik rakyat tempatan atau rakyat asing akan lebih berani menjalankan aktiviti haram mereka.

Jika jumlah tahanan hendak diambil kira, ia menunjukkan dengan adanya hukuman mati mandatori pun, jumlah yang ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya meningkat. Apakah kemungkinan yang akan berlaku jika hukuman mati mandatori dimansuhkan?

Kita bimbang, angka tahanan mungkin melonjak lebih tinggi kerana kini rasa takut di kalangan pengedar sudah luput. Jika tertangkap dan didakwa pun tidak semestinya mereka ke tali gantung.

Dapatkah ini membantu mengekang dan membanteras pengedaran dadah seperti yang diingini?

Dalam skop yang lebih luas, jika pemansuhan hukuman mati mandatori ni diperluaskan kepada kesalahan jenayah berat lain selain dadah, ia akan melibatkan dua kategori kesalahan, iaitu:

i). Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Kesiksanaan (Membunuh dengan niat);
ii). Kesalahan di bawah Seksyen 3 dan 3A Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Seperti juga dengan kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, kesalahan bagi dua kategori tersebut membawa khukuman mati mandatori di tali gantung jika sabit kesalahan. Hakim terikat dengan peruntukan ini.

Selain itu, terdapat satu lagi kesalahan yang boleh membawa hukuman mati iaitu di bawah Seksyen 3(1) Akta Culik 1961. Bagaimanapun hukuman mati dalam kes ini bukan mandatori. Hakim boleh menggunakan budi bicara sama ada menjatuhkan hukuman mati atau penjara dan sebatan.

Ertinya, jika pemansuhan hukuman mati mandatori diperluaskan bagi merangkumi Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen3 dan 3A Akta Senjata Api, hakim boleh menggunakan budi bicara menjatuhkan hukuman yang sama seperti dalam Seksyen 3(1) Akta Culik.

Hukuman mati mandatori kerana membunuh dengan niat merupakan hukuman balas kepada mereka yang telah mengambil nyawa orang lain. Hukuman mati mandatori bagi kesalahan menggunakan senjata api secara haram pula demi kepentingan negara dan keselamatan serta ketenteraman awam.  

Sekalipun wujud hukuman yang menggerunkan ini, pembunuhan, pengedaran dadah dan penggunaan senjata api secara haram tetap berlaku juga. Namun tidak seharusnya ini dianggap sebagai kegagalan hukuman mati mandatori untuk mengekang gejala tersebut, lantas menjadikannya alasan hukuman itu dimansuhkan.

Sekurang-kurangnya, negara sudah mempunyai undang-undang dan hukuman yang sangat berat sebagai usaha pencegahan. Benar, hukuman mati masih kekal tetapi adakah hukuman mati mandatori wajar dimansuhkan?

> AHMAD ABD HAMID PERNAH BERTUGAS SEBAGAI WARTAWAN DAN PENGARANG KANAN AKHBAR TEMPATAN. BELIAU ADALAH LULUSAN KEWARTAWANAN DARI UITM DAN UNIVERSITI BOSTON, AMERIKA SYARIKAT.

Artikel Sebelum

Mengatasi Plagiarisme

Artikel Lain