APABILA Amanda Sabri mencipta TrupCotel, sebuah syarikat yang menawarkan penginapan jangka pendek dengan harga agak berpatutan di tengah-tengah bandaraya, dalam fikirannya hanya ada satu; untuk membantu eksekutif muda menyelesaikan masalah sewa rumah mereka. "Kebanyakan eksekutif muda kini berada pada skala gaji rendah di mana sebahagian besar dari gaji mereka digunakan untuk membayar sewa rumah. Dan ramai graduan muda terpaksa pulang ke kampung kerana tidak mampu membayar tempat tinggal sendiri. Inilah sebabnya mengapa TrupCotel dicipta," kata beliau. Trupcotel, yang mula beroperasi pada Jun tahun lepas menawarkan unit-unit apartmen di lokasi utama, termasuk KLCC, dengan kadar sewa dari RM1,000 hingga RM1,500 sebulan, membolehkan pelanggan mereka berjalan kaki ke tempat kerja dan menjimatkan kos ulang-alik, dan paling penting mampu mengelakkan kesesakan lalu lintas. Selain hotel, orang ramai juga boleh menggunakan TrupCotel untuk penginapan setiap malam atau setiap minggu dengan kadar harian bermula dari RM200 untuk satu unit apartmen yang boleh memuatkan sehingga lima orang. Syarikat ini juga sentiasa menjaga setiap unit yang mereka tawarkan dalam segenap aspek, dengan masing-masing dilengkapi dengan hiasan (langsir gelap, pinggan mangkuk, peralatan memasak), utiliti dan internet berkelajuan tinggi di mana kesemuanya sudah termasuk dalam kadar sewa. "Apa yang mereka perlu lakukan adalah mengemas beg mereka dan datang ke sini," Kata Ketua Pegawai Eksekutif Trupcotel ini. Walaupun Amanda belajar undang-undang, baginya perniagaan adalah perkara yang paling diminatinya. "Pada umur 14 tahun, saya sudah seronok berniaga. Saya menjual hotdog bersama rakan-rakan di kantin sekolah kami selama enam bulan. Kami akan ke sekolah pada pukul 7 pagi untuk membuat persediaan seperti kerja-kerja mencuci dan mengira inventori sebelum menerima pelanggan semasa waktu rehat jam 10 pagi. Saya tak sabar untuk keluar dari kelas, bergegas keluar ke kantin untuk menawarkan hotdog yang lazat. "Kami telah menetapkan sasaran kewangan yang tinggi setiap hari dan mahu menjualnya lebih banyak lagi. "Kami benarkan tempahan dibuat awal supaya rakan-rakan dapat datang mengambilnya dan tak perlu beratur panjang," imbas Amanda. Perniagaan itulah yang membuatkan Amanda sedar apa yang dimahukannya dalam kehidupan. Walaupun telah dihantar ke London untuk belajar undang-undang dan akhirnya menghabiskan masa selama enam tahun di sana, beliau sedar perniagaan adalah minat sebenarnya. Semasa di London, Amanda dan suaminya, Saify Akhtar, melakukan pelbagai kerja dan membuat simpanan seberapa banyak yang mereka mampu. "Kami tahu bahawa kami mahu pulang ke tanah air dan memulakan perniagaan. Kami tidak tahu apa sebenarnya yang kami mahu lakukan, tetapi kami tahu KL akan menjadi tempat yang sesuai untuk memulakannya," kata beliau. Idea mewujudkan TrupCotel tercetus selepas Amanda berpindah ke apartmen baharu yang mempunyai 80 unit dan mendapati hanya 30 peratus daripadanya yang telah disewa. "Menandatangani perjanjian sewaan bagi apartmen satu bilik di KLCC akan menelan kos RM3,000 sebulan, gaji biasa yang diperolehi graduan muda. Untuk mula menyewa, mereka juga perlu bayar deposit, bersamaan dengan tiga bulan sewa bulanan. Dan kebanyakan mereka tak ada wang sebanyak itu," kata beliau. Terdapat begitu banyak unit apartment yang tidak dihuni di sekitar bandar. Ramai tidak mempunyai pilihan menyebabkan mereka terpaksa tinggal jauh dari bandar, menghabiskan sehingga tiga jam untuk sampai ke tempat kerja setiap hari. Amanda sedar beliau perlu melakukan sesuatu terhadap masalah ini. "Kesemua pembaharuan ini telah dibuat dengan penyewa yang difikirkan betul - eksekutif muda, ekspatriat dan pelancong. Tetapi tiada siapa yang berpindah masuk," beliau mendedahkan. Amanda mencadangkan idea ini kepada tuan rumah pertama, dengan memberi jaminan pulangan sewa yang lebih baik berbanding kadar pasaran. Tuan rumah itu bersetuju dan sejak itu beliau tidak menoleh ke belakang lagi. "Kami sendiri telah membersihkan dan menyediakan apartmen itu dari awal, menghabiskan dua hari bagi mendapatkan sebuah apartmen yang menepati standard kami sebelum bersedia menerima masuk pelanggan pertama," dedahkan Amanda yang kini dibantu oleh tenaga kerja yang terdiri daripada pembantu peribadi, penyambut tetamu dan beberapa tukang cuci. "Kami terus berkembang. Setiap apartment yang kami letakkan di pasaran untuk jangka pendek mencapai purata penghunian 80 peratus setiap bulan. Hari ini kami hanya menguruskan enam pangsapuri sekitar KLCC. Tidak lama kemudian ia akan menjadi 20. Tetapi dengan minat daripada pelabur baru-baru ini, kami sedang merancang untuk memperluaskan perkhidmatan kami kepada 120 unit menjelang akhir tahun 2016," kata beliau. Sewa untuk setiap unit bermula dari RM200 sehari. TrupCotel memberikan perhatian khusus terhadap hiasan dan kemasan setiap pangsapuri individu. "Ia soal mewujudkan satu pengalaman hidup dengan standard yang tinggi di lokasi yang baik di sekitar bandar. Kami menguji penyaman udara, kelajuan internet, mesin basuh, malah katil dan bantal untuk memastikan apabila seseorang tinggal di TrupCotel, ia tak ubah seperti berada di rumah sendiri," janji beliau. Menurut Amanda, tidak mudah untuk meyakinkan pemilik kediaman untuk turut serta. Ramai yang masih tidak mahu berganjak dengan cara lama mereka dan lebih suka pajakan panjang. Bagi mereka yang mempunyai kuasa pegangan yang kuat, ia membolehkan mereka membiarkan pangsapuri mereka tidak disewakan tetapi ada juga yang memasuki pasaran hartanah dengan tujuan untuk melihat pulangan. "Kami telah bekerja keras untuk menyediakan pakej untuk pemilik-pemilik ini, untuk menunjukkan kepada mereka bahawa meletakkan pangsapuri mereka di bawah TrupCotel bukan sahaja boleh menghasilkan pulangan segera. Ia berpotensi menjadi 10 peratus lebih tinggi dari kadar pasaran semasa musim puncak. "Jenama kami mempunyai laman web khusus untuk pemilik-pemilik yang dipanggil Tenanted (www.tenanted.my) di mana mereka boleh mendaftar dan menyenaraikan pangsapuri mereka dengan kami." Amanda mahu meningkatkan penggunaan pangsapuri perdana di sekitar KLCC. "Hari ini, ramai yang memandu ke bandar setiap hari hanya untuk duduk di meja pejabat mereka dan kemudian meninggalkannya tanpa mempunyai peluang untuk menikmati apa yang ditawarkan di bandar ini. "Ia adalah masa untuk kita rakyat Malaysia menikmati apa yang bandar kita ada. Semuanya bermula apabila anda mampu ke tempat tidur, bangun pada keesokan harinya dan berjalan ke pejabat atau kedai kopi kegemaran anda dalam jarak yang dekat," kata Amanda. Hari ini, TrupCotel mempunyai 20 pangsapuri dalam senarai mereka dan telah menjadi tuan rumah kepada beratus-ratus penyewa. "Kami berhasrat untuk menambah 20 buah pangsapuri dalam sistem kami setiap bulan. Ini seterusnya akan membolehkan sekurang-kurangnya 600 orang eksekutif berpindah ke bandar dan mengubah gaya hidup mereka dalam jangka masa enam bulan. Dan kita bukan sahaja menyasarkan Lembah Klang. "Kami mempunyai impian yang lebih besar dan ingin melakukan perkara yang sama bagi kawasan seperti Shah Alam, Damansara Heights, Pulau Pinang, Melaka dan Johor Bahru," kata beliau. Amanda berkata, beliau menganggap matlamatnya tercapai apabila hartanah perdana di sekitar KLCC digunakan semaksimum mungkin. "Kami anggap ianya selesai apabila kita tidak lagi mendengar aduan mengenai keadaan hidup, tentang kerugian masa dalam sehari kerana sekatan geografi. Kami di sini untuk mencipta perubahan. "Kami mahu melihat lebih ramai usahawan melakukan perkara yang sama di bandar-bandar sendiri. Malaysia sebenarnya mempunyai bandar-bandar yang indah yang mana manfaatnya boleh diperolehi daripada TrupCotel. "Dalam lima tahun, kami berharap untuk model perniagaan TrupCotel digunakan di negara-negara serantau dan negara-negara Asean selain menggalakkan keusahawanan," kata Amanda. Untuk Amanda, ia bukan hanya mengenai perniagaan semata-mata tetapi dia mahu menjadi seseorang yang boleh mencipta penyelesaian bagi masalah dalam kehidupan seharian.