suria

Dilema Dalam Isu Bawa Masuk Pekerja Asing

CADANGAN membawa masuk 1.5 juta lagi warga Bangladesh secara berperingkat bagi memenuhi keperluan tenaga kerja di negara ini kini menjadi topik hangat.

Bukan sahaja jumlahnya dianggap terlalu ramai tetapi juga dibimbangi boleh menjejaskan peluang pekerjaaan di kalangan rakyat tempatan.

Justifikasi kerajaan ialah, kehadiran mereka untuk menampung kekosongan tenaga kerja dalam sektor ‘kolar biru’ yang rakyat tempatan sendiri tidak berminat untuk mengisinya. Ini termasuk sektor pembinaan, perladangan, pertanian dan sektor perburuhan lain.

Adakah rakyat Malaysia kini semakin malas dan memilih pekerjaan sehingga lebih ramai pekerja  asing perlu dibawa masuk untuk mengisi ruang kosong pekerjaan yang tidak diisi oleh warga tempatan? Adakah tahap kemalasan ini, jika benar, sudah mencapai satu tahap sangat serius?

Sekali imbas, cadangan membawa masuk 1.5 juta lagi rakyat Bangladesh ini memang menampakkan betapa seriusnya fenomena kekurangan tenaga kerja, khususnya dalam sektor `kolar biru’. 

BANGUNKAN NEGARA

Beberapa dekad lalu, khususnya sehingga tahun 1970-an, sektor `kolar biru’ diisi oleh warga kerja tempatan. Mereka bertungkus lumus bukan setakat mencari rezeki untuk diri sendiri tetapi untuk sama-sama memaju dan membangunkan negara. Merekalah yang membina bangunan atau kemudahan infrastruktur atau menjadi tulang belakang sektor pembinaan, perladangan, pertanian dan perburuhan lain.

Namun ketika negara semakin bergerak maju dan kini di atas landasan menuju Wawasan 2020,  sedikit demi sedikit penyertaan pekerja tempatan ini menyusut dan digantikan oleh pekerja asing, khususnya dari Indonesia dan Bangladesh.

Daripada sekadar tenaga kerja tambahan, warga asing kini hampir memonopoli pekerjaan dalam sektor `kolar biru’. Rakyat tempatan bagai tersisih dan dikatakan tidak lagi berminat dalam sektor kerja tersebut, sebaliknya memilih untuk bekerja di sektor lain. Akibatnya pekerja asing kini menguasai sektor tersebut. Proses ini akan berterusan. Ertinya jumlah pekerja asing akan terus bertambah dari tahun ke tahun.

Menurut Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abd Mutalib, kini terdapat lebih dua juta pekerja warga asing berdaftar di seluruh negara sehingga 30 Oktober 2015. Sektor perkilangan mencatat angka tertinggi dengan menampung 750,104 orang pekerja. Ini diikuti sektor pembinaan seramai 440,339 orang;  perladangan 305,404 serta pertanian 194,603 orang.

CECAH 3.5 JUTA ORANG


Ini bermakna jika jumlah pekerja asing berdaftar sedia ada dicampur dengan 1.5 juta lagi pekerja Bangladesh, jumlah tenaga kerja asing bakal mencecah 3.5 juta. Ini belum diambil kira jumlah pendatang asing tanpa izin yang sedia memenuhi seluruh pelusuk rantau tanah air kita. Memang sangat ramai.  

Kehadiran mereka yang tidak berdaftar ini sukar dikesan. Kerap kali ia hanya diketahui apabila ada pemeriksaan bersepadu pihak penguatkuasa atau apabila timbul masalah mereka ditipu majikan seperti tidak dibayar gaji atau tidak diberi kemudahan seperti yang dijanjikan dalam tawaran.

Pekerja asing ini bukan sahaja bertumpu ke kawasan bandar atau pekan, malah hingga ke kawasan pedalaman, misalnya bekerja di kebun kelapa. Bayangkan jika dahulu kerja mengait dan mengopek kelapa adalah pekerjaan tradisi masyarakat Melayu tempatan, kini `Mat Bangla’ juga sudah jadi tukang kopek kelapa!

Dalam banyak sektor lain seperti kedai makanan, perniagaan, runcit, berniaga pasar malam dan banyak lagi yang dahulunya dikuasai rakyat tempatan, kini lebih ramai kelihatan wajah-wajah asing mengendalikannya. Malah sudah ada kawasan yang bagai menjadi `kampung halaman’ kepada warga asing ini di mana kawasan tersebut merupakan kawasan kediaman dan aktiviti seharian mereka.

Begitu hebat kesan kemasukan pekerja asing ini yang jika dibiarkan bukan sahaja boleh menghakis peluang kerja rakyat tempatan tetapi juga boleh mandatangkan pelbagai masalah sampingan. Banyak sudah berlaku gejala sosial dan jenayah berpunca daripada warga asing ini. Ia tidak harus dibiarkan berterusan.

PERLU KAJIAN MENDALAM

Satu langkah mengatasinya ialah rakyat tempatan perlu kembali bersungguh-sungguh menceburi sektor `kolar biru’ dan pada masa yang sama kemasukan pekerja asing mesti diteliti dan dipantau. Pastikan mereka berdaftar. Setiap permohonan daripada majikan untuk mengambil pekerja asing mestilah diteliti kesahihannya sebelum diberi pertimbangan. 

Sehubungan itu, kerajaan perlu membuat kajian mendalam kenapakah sebenarnya rakyat tempatan kurang berminat dengan kerja `kolar biru’  sedangkan mencari kerja sekarang agak sukar. Jangan berpuas hati jika majikan sekadar mendakwa rakyat tempatan hanya mahu bekerja di sektor yang lebih glamor.

Sebaliknya teliti sama faktor seperti gaji dan ganjaran. Ini kerana wujud dakwaan majikan lebih mengutamakan pekerja asing kerana tidak perlu membayar gaji tinggi seperti yang dituntut oleh pekerja tempatan, selain lebih mudah `mengendalikan’ pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

Jika pekerja tempatan memerlukan kemahiran, beri latihan secukupnya agar mereka mampu melaksanakan tugas dengan baik yang akhirnya menguntungkan majikan dan negara. Majikan jangan diberi jalan mudah memohon pekerja asing sedangkan mereka tidak berusaha secukupnya menarik tenaga kerja tempatan.

Pekerja tempatan juga tidak seharusnya terlalu memilih kerja. Ia mungkin sesuatu yang mudah pada tahun 60-an dan awal 70-an. Malah ketika itu, bagi lulusan universiti, ada kerja yang datang mencari mereka. Permintaan lebih tinggi daripada penawaran. Tambahan ketika itu institusi pengajian tinggi tidak banyak seperti mana sekarang.

Namun sekarang dengan semakin ramai lulusan institusi pengajian tinggi, tawaran kerja semakin mengecil. Ramai lulusan pengajian tinggi yang menerima kerja walaupun berlainan daripada bidang yang dipelajari. Ada lulusan universiti rela hati membuat kerja rencam sehingga mendapat jawatan yang sesuai dengan kelayakan mereka, termasuk kerja-kerja `kolar biru’.  Ini lebih baik daripada menganggur.

PELUANG LAWAN MINAT
 
Jika begini senarionya, haruskah rakyat negara ini membiarkan peluang yang terbuka  terlepas ke tangan orang lain? Negara menyediakan banyak peluang pekerjaan dalam sektor `kolar biru’  tetapi rakyat tempatan tidak menunjukkan minat. Sebenarnya, bukan tidak ada yang kini membuat kerja-kerja `kolar biru’, yang penting menambah penyertaan mereka.

Warga tempatan diakui mampu melaksanakan kerja dengan baik. Menurut Ismail Mutalib lagi,  secara keseluruhannya, warga kerja tempatan berjumlah 14.2 juta orang. Jumlah ini berpotensi menggantikan buruh asing. Menurut beliau, sehingga Oktober lalu seramai 13.8 juta rakyat negara ini bekerja di sektor pertanian, perhutanan, ternakan, perkhidmatan dan pembinaan.

Ini menunjukkan, pekerja tempatan mampu memenuhi keperluan jika majikan mengambil mereka bekerja, sekali gus mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing. Majikan perlu berusaha mendapatkan tenaga kerja tempatan terlebih dahulu tanpa terus mengambil jalan mudah memohon pekerja asing. Ruang secukupnya mesti diberi kepada warga tempatan terlebih dahulu.

Justeru, cadangan kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta lagi pekerja Bangladesh perlu dilaksanakan dengan teliti dan berdasarkan keperluan agar tidak sampai menjejaskan peluang anak-anak tempatan. 

Ramai agak keliru kerana dikatakan tujuan membawa masuk pekerja ini untuk memenuhi keperluan industri. Tetapi menurut Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, industri tidak ada membuat permintaan sedemikian, khususnya dalam keadaan eknomi yang kurang memberangsangkan sekarang.

Apa yang kita harapkan ialah keutamaan tetap diberikan kepada tenaga kerja tempatan dan tambahan kemasukan pekerja asing tidak dibuat sewenang-wenangnya. Kehadiran mereka juga seharusnya sebagai pelengkap, bukan mengambil alih tenaga kerja tempatan.

Pada masa yang sama, pekerja tempatan mestilah sentiasa proaktif merebut peluang yang ada di hadapan mereka. Janganlah nanti menyalahkan kehadiran pekerja asing jika mereka sendiri membiarkan peluang yang ada direbut oleh orang lain.
Bangladesh, kolar biru, Wawasan 2020

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Pentingnya Memelihara Warisan

Artikel Lain