suria

Mencari Lagu Lama...

Lagu-lagu dendangan penyanyi lama sememangnya mempunyai peminat tersendiri hingga ke hari ini.
Walau pun jauh beribu batu
Namun hatiku tetap padamu
Senyuman mesra bingkisan rindu
Dalam kenangan utus selalu...

BAGI peminat tegar irama 60-an atau lebih dikenali sebagai pop yeh-yeh, meneliti lirik lagu di atas sudah pasti tahu ia adalah lagu evergreen 'Kenangan Mengusik Jiwa', nyanyian A.Ramlie dengan kugiran pengiringnya, The Rythmn Boys.

Lagu ciptaan Allahyarham Salamah Basiron ini terkandung dalam piring hitam EP pertama rakaman A.Ramlie pada pertengahan 1960-an, bersama tiga buah lagu lain iaitu  'Oh Fatimah', 'Seruanku' dan 'Ingat Padaku'. Lagu ini masih segar menjadi siulan di kalangan peminat pop yeh-yeh.

A Ramlie mempunyai peminat tersendiri.

Begitulah hebatnya penangan pop yeh-yeh. Walau pun irama ini sudah lima dekad berlalu sejak kegemilangannya pada tahun 60-an,  ia tidak pernah pudar. Bukan hanya golongan lama, malah golongan muda juga ramai yang meminati irama tersebut walaupun mereka belum lahir ketika irama tersebut berada di kemuncaknya. Nyata pop yeh-yeh segar sepanjang zaman.

Walaupun ramai penyanyi pop yeh-yeh ini sudah tidak aktif dan ramai yang sudah kembali ke alam baqa, begitu juga dengan anggota kugiran yang mengiringi mereka, tetapi lagu-lagu mereka terus berkumandang, khususnya melalui Radio Klasik RTM yang menjadi wadah utama penyiaran lagu-lagu tersebut.

Radio Klasik menyediakan satu slot khas 'Masihkah Kau Ingat' pada setiap hari dari pukul 2 hingga 5 petang bagi memenuhi citarasa peminat tegar genre ini. Mendengar lagu-lagu yang disiarkan telah menimbulkan nostalgia bagaikan mereka berada dalam zaman pop yeh-yeh!

M.Osman diakui sebagai pelopor lagu pop yeh-yeh yang diilhamkan daripada kebangkitan era pop The Beatles ketika itu. Selepas itu ramailah penyanyi dan kugiran muncul baik di Singapura mahupun Malaysia. A.Ramlie bersama The Rythmn Boys dan Jefridin bersama The Siglap Five, dianggap penyanyi top pada era tersebut.

Pelbagai kaset dan CD lagu pop yeh-yeh.

Tetapi A.Rahman Hassan, A.Halim, Orkid Adullah, Fatimah M.Amin, J.Kamisah, Kassim Selamat,  S.Jibeng, A.Karim Jais, Jaafar O, Siti Zaitun, Husein Ismail, M.Ishak, Halim Yatim, Ahmad Z, Azizah Mohamad, S.Mariam,  S.Roha, A.rahman Onn (sekadar menyebut beberapa nama) dan ramai lagi, juga tidak kurang hebatnya. 

Malah pengaruh mereka menular sehingga ke Brunei dengan kemunculan Dayangku Aminah, Norsiah A.Hamid dan Awangku Tajuddin. Mereka merakamkan lagu bersama kugiran The Sandblues dari Singapura.

KONSERT

Penulis masih ingat, satu konsert besar-besaran mengimbau kehebatan pop yeh-yeh iaitu Konsert "Masih Ada Yang  Sayang", pernah diadakan di Stadium Negara pada 1985. Konsert yang menggabungkan ramai penyanyi pop dari Singapura dan Malaysia itu merupakan persembahan mega yang tidak mungkin dapat dilupakan oleh peminat pop yeh-yeh. Stadium Negara penuh dibanjiri peminat. 

Konsert tersebut digerakkan atas inisiatif Allahyarham M.Shariff yang juga pemimpin kugiran The Zurah. Pengacara jemputan khas pada malam itu ialah Mohamad Ismail Abdullah (MIA), iaitu deejay Radio Singapura yang terkenal pada tahun 60-an mengendalikan slot 'Penyanyi Pujaan Minggu Ini' dan 'Sudut Pop'.

Itulah nostalgia paling manis mengimbau zaman pop yeh-yeh. Sayangnya sekarang sudah tidak ada konsert mega seperti itu lagi, barangkali kerana tiada penggerak seperti M. Shariff. Namun pujian juga wajar diberi kepada Istana Budaya yang pernah menganjurkan konsert 60-an di panggung berprestij itu. Masih ada juga konsert-konsert dalam skala kecil di merata tempat yang turut menampilkan penyanyi 60-an.

Lagu pop yeh-yeh adalah khazanah lama. Mungkin ramai peminat yang ingin memilikinya tetapi tidak tahu di mana hendak mendapatkannya. Bagi anda yang ingin mendapatkan koleksi lagu-lagu tersebut, khususnya di Lembah Klang, Amcorp Mall, Petaling Jaya adalah salah satu tempat yang boleh diterokai pada setiap Ahad dari jam 10 pagi hingga ke petang.

PASAR BARANG LAMA

Di sini, anda boleh membeli koleksi lagu-lagu tersebut dalam bentuk cakera padat (CD) yang merupakan rakaman semula versi asal (original) daripada piring hitam. Piring hitam dan alat pemain piring hitam sendiri kini sudah dianggap antik. Namun masih ada yang menyimpannya sebagai kenang-kenangan.

Sekeping CD yang mengandungi 20 hingga 24 lagu harganya sekitar RM10. Jika jumlah lagu lebih daripada biasa, harga juga lebih sedikit. Anda boleh memilih dan membeli CD pelbagai penyanyi dan kugiran pop yeh-yeh yang hebat suatu ketika dahulu.   

Rakaman semula dalam bentuk CD ini lebih baik kualiti bunyinya daripada piring hitam asal. Bunyinya ‘bersih’, tiada bunyi gemersik seperti yang biasa didengar ketika jarum piring hitam bergeseran dengan jalur-jalur piring hitam. Sungguh hebat kemampuan mereka yang memindahkan rakaman daripada piring hitam kepada CD ini.

Sebelum ini, ada juga lagu-lagu asal daripada piring hitam yang dirakam semula dalam bentuk kaset. Namun kualiti rakaman kaset ini kurang baik kerana ada juga bunyi geseran terakam sekali.

Hasil rakaman semula dalam bentuk CD memang sangat enak didengar. Suara penyanyi jelas. Bunyi gitar utama bagai meletup-letup, juga gitar irama yang bergetar menurut tempo. Semua jelas didengar. Begitu juga bunyi organ dan drum. Mungkin ia dirakam semula secara digital.

Kaset dan CD lagu Inggeris juga dijual dan menjadi tumpuan ramai.

Di zaman pop yeh-yeh dahulu, lagu dirakamkan dalam bentuk EP (piring hitam kecil) yang hanya memuatkan empat lagu. Namun keistimewaan dan kehebatan penyanyi dan kugiran dahulu ialah mereka membuat rakaman secara terus (live). Jika melakukan kesilapan semasa rakaman, semua proses diulang semula hingga selesai. Mereka tiada bantuan peralatan canggih atau pemuzik luar untuk 'menutup' segala kesilapan yang berlaku.

Kerana jumlah lagu yang sedikit bagi setiap rakaman EP, rakaman semula lagu pop yeh-yeh dalam bentuk CD ini kebanyakannya dalam bentuk kompilasi, misalnya beberapa penyanyi dan kugiran digabung dalam satu CD. Ada juga CD kompilasi yang hanya memuatkan lagu-lagu daripada seorang penyanyi dan kugiran tertentu, jika penyanyi dan kugiran itu mempunyai banyak album. 

PELBAGAI

Malah bagi mereka yang masih meminati piring hitam, Amcorp Mall juga adalah tempatnya untuk mencari pirim hitam lama ini. Sama ada membelinya untuk dimainkan atau sekadar untuk simpanan sebagai khazanah seni lama, anda boleh memilih sama ada piring hitam EP atau LP (long play) menurut cita rasa anda.

Perlu juga disebut, bukan sahaja lagu-lagu pop yeh-yeh ada dijual, lagu-lagu penyanyi popular tahun 70-an dan 80-an serta 90-an pun ada.

Seorang peminat, Shakmi Othman, 64, dari Ipoh memberitahu, beliau memang peminat tegar irama 60-an. Sejak dahulu hingga sekarang minat beliau tidak berubah dan sentiasa mengikuti lagu-lagu tersebut melalui radio atau bersantai mendengar melalui cakera padat.

Malah, kata beliau, jika ada konsert atau pertunjukan melibatkan penyanyi 60-an beliau akan sedaya upaya turut menghadirkan diri walau pun agak jauh dari tempat tinggalnya. Bagi Shakmi, amat seronok bersama dengan kelompok yang sealiran, sehati sejiwa sambil mengimbau kenangan lalu.

Kepada Shakmi, walau pun era muzik sudah berubah dan irama pop yeh-yeh sudah lama melampaui zaman, beliau yakin irama tersebut akan terus segar. Ini kerana peminat irama ini bukan sahaja terdiri daripada golongan lama tetapi juga generasi masa kini yang diyakini akan meneruskan kesinambungan irama tersebut. Beliau percaya irama ini akan terus bertahan.

Sebenarnya di Amcorp Mall ini bukan sahaja menjual lagu-lagu Melayu, tetapi juga memenuhi cita rasa peminat lagu-lagu lama berbahasa Inggeris yang sezaman dengan pop yeh-yeh. Pilihlah penyanyi atau lagu kegemaran anda. Kemungkinan besar anda akan menjumpainya daripada gerai-gerai yang ada di situ, termasuk piring hitam lagu-lagu tersebut.

Inilah salah satu daya tarikan utama Amcorp Mall. Malah pengunjung bukan sahaja boleh membeli CD atau piring hitam lagu lama,  mereka juga boleh mencari pelbagai barang-barang lama di sini. Misalnya kereta mainan lama, komik-komik lama Batman atau Superman, lencana–lencana lama, hiasan atau peralatan rumah lama dan pelbagai lagi.

Justeru tempat jualan ini memang boleh juga dikategorikan sebagai `pasar barang lama’. Apa juga pilihan anda, sama ada lagu atau barang-barang koleksi lama, anda mungkin boleh mendapatkannya di sini.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan