KUALA LUMPUR:"Di mana pesawat Malaysia Airlines Penerbangan MH370 berada dan apa yang sebenarnya telah berlaku?" Genap dua tahun (8 Mac) pesawat malang itu hilang daripada imbasan radar, dunia masih diselubungi soalan yang sama berulang kali, justeru dianggap sebagai insiden paling misteri dalam industri penerbangan antarabangsa selepas kehilangan juruterbang legenda, Amelia Earhart pada 1937. Selepas menjejaki selama dua tahun, bayangkan, daripada hampir 3,000 komponen dalam pesawat, hanya serpihan flaperon ditemui di pulau La Reunion, wilayah kecil Perancis di Lautan Hindi pada 29 Julai tahun lepas dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 6 Ogos kemudian mengesahkan bahawa flaperon itu ialah daripada pesawat MH370. Yang lain masih menjadi misteri dan bukan daripada pesawat itu termasuk serpihan yang ditemui di selatan Thailand pada 26 Januari yang tidak sepadan dengan ciri-ciri pesawat Boeing 777 atau MH370. Tiada petunjuk secara langsung dan keberadaan 239 penumpang dan anak kapal, bagasi ataupun jaket keselamatan yang sepatutnya telah terapung. Satu lagi soalan yang timbul, ialah adakah pasukan mencari menjalankan misi pencarian di lokasi yang betul selepas dua tahun cuba merungkai misteri kehilangannya dan tidak berhasil? Atau adakah telah terlepas pandang sesuatu?Apakah MH370 mengalami nasib yang sama seperti pesawat Air France 447, yang terhempas di Lautan Atlantik dekat pantai Brazil ketika dalam penerbangan dari Rio de Janeiro ke Paris pada 1 Jun 2009, mengorbankan kesemua 228 penumpang dan krew dan hanya ditemui dua tahun kemudian? Pada masa berita ditulis, pasukan penyiasat dalam proses memeriksa beberapa serpihan yang dijumpai di pesisiran pantai Mouzambique sama ada ia mempunyai kaitan dengan penerbangan MH370. Jika disahkan milik MH370, serpihan tersebut cuma menjadi bukti fizikal yang kedua ditemui dalam misteri paling besar yang belum dapat dirungkai dalam industri penerbangan. Mengulas mengenai kemungkinan ini, juruterbang tempatan, Wan Arief Imran Wan M Razali memberitahu Bernama bahawa diharapkan penemuan itu akan memberi beberapa petunjuk mengenai lokasi MH370 dan menyemak semula kawasan pencarian jika perlu. Martin Dolan, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, dilaporkan berkata tanpa apa-apa petunjuk baharu, misi pencarian perlu berakhir pada kira-kira Jun, lebih kurang tiga bulan dari sekarang apabila empat buah kapal: Go Phoenix, Fugro Equator, Fugro Discovery dan Fugro Supporter dijangka selesai menjalankan pencarian di perairan dekat barat Australia. Mengulas tentang kemungkinan itu, Prof Dr Mohd Harridon Mohamed Suffian, Ketua Penyelidikan dan inovasi Universiti Kuala Lumpur, berkata kemungkinan itu tidak sepatutnya menyebabkan operasi yang menelan belanja hampir RM300 juta berakhir. "Pasukan mencari akan cuba berkumpul semula dan mengkaji teori-teori berkaitan punca kemalangan. Selepas itu, mereka akan cuba membuat andaian mengenai kawasan yang perlu diberi keutamaan dalam operasi untuk menjejaki pesawat. Mereka juga akan menilai sejauh mana keberkesanan proses pemetaan yang digunakan dan sama ada metodologi baharu perlu diperkenalkan untuk meningkatkan dan menambah ketepatan dalam proses pemetaan. "Pada pandangan saya, operasi mencari perlu diteruskan kerana terdapat beberapa saluran dan cara yang boleh digunakan. Sebagai contoh, imej proses penstrukturan semula daripada dua data akustik dimensi boleh diperbaiki supaya objek yang dipantau di dasar laut boleh dikesan dengan lebih jelas," katanya. Dr Mohd Harridon berkata jika benar operasi mencari akan dihentikan, Malaysia boleh membuka tender kepada syarikat dan organisasi untuk meneruskan pencarian. Pertubuhan akademik seperti universiti contohnya mempunyai pakar dalam beberapa bidang dan boleh dimanfaat untuk memantapkan lagi misi mencari."Ada kemungkinan bahawa kaedah ini juga memungkinkan beberapa metodologi baharu (Metodologi matematik dan lain-lain) yang dibangunkan dan digunakan oleh ahli akademik dimanfaatkan dalam pencarian," katanya. Tetapi seorang lagi pakar penerbangan, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff berpendapat ini harus menjadi nokhtah dalam misi pencarian dan menjejaki pesawat. "Malahan, lebih 80 pesawat komersil telah hilang sejak 60 tahun yang lalu dan masih belum ditemui. Tiada pilihan lain bagi Jabatan Penerbangan Awam (DCA) dan Malaysia kecuali untuk belajar daripada tragedi ini, dan mengelakkannya daripada berulang. Malah, langkah-langkah telah diambil untuk menambahbaik prosedur sedia ada," kata bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia itu. Martin Dolan, Ketua Biro Keselamatan Pengangkutan Australia, dilaporkan berkata, jika tidak ada petunjuk baharu ditemui semasa pencarian menggunakan teori auto pilot, penyiasat akan kembali kepada teori "pilot penyangak" dan mengenepikan teori sebelumnya. Menurut teori "pilot penyangak", seseorang yang mengawal MH370 boleh menerbangkan pesawat tersebut sehingga seratus batu apabila pesawat kehabisan minyak, di luar zon kawasan pencarian sekarang. Teori pilot penyangak juga termasuk kemungkinan bahawa individu ketiga mengambil alih kawalan pesawat tersebut tetapi tidak mengubah laluan yang pegawai-pegawai percaya dilalui oleh MH370 yang disokong oleh data satelit dan radar. Mengulas mengenai perspektif itu, Dr Mohd Harridon berkata ia adalah munasabah untuk penyiasat menggunapakai teori lain termasuk teori pilot penyangak jika teori itu dapat memberikan gambaran jelas tentang situasi semasa. "Buat masa ini, kita menganggap bahawa pesawat itu berada dalam mode automatik semasa kemalangan, justeru kita membuat perkiraan matematik bahawa pesawat berada dalam lingkungan si selatan Lautan Hindi. "Jika kita menerima pakai teori lain, seperti teori pilot penyangak, kita akan mewujudkan satu lagi pengiraan matematik yang mengetengahkan kawasan lain untuk mencari," katanya. Dr Mohd Harridon berkata, sebagai tambahan kepada kedua-dua teori, penyiasat mungkin cuba mencari teori kapal terbang kawalan remote apabila pesawat dikawal dari luar dan oleh itu, mereka perlu membuat pengiraan matematik yang baharu untuk mengesan kelajuan dan mungkin keberadaan pesawat. Mengulas perspektif yang sama, Abdul Rahmat juga berkata ada kemungkinan bahawa para penyiasat mempunyai teori sendiri dan hanya boleh membuat andaian tanpa apa-apa bukti. Tempoh had dua tahun di bawah Konvensyen Montreal, yang membabitkan MH370 berakhir pada 8 Mac 2016. Dan cuba teka apa menurut MAS, pada masa berita ditulis, hanya kurang daripada 60 tuntutan pampasan telah diselesaikan berhubung 227 penumpang dan 12 anak kapal yang menaiki penerbangan, manakala setakat ini, 169 keluarga telah memulakan proses menuntut pampasan. MAS dalam emel kepada Bernama berkata syarikat terus komited untuk terus melibatkan para waris anggota keluarga (NOK) untuk memastikan pembayaran pampasan yang adil dan saksama. "MAS mempunyai perlindungan insurans untuk memenuhi obligasinya membayar pampasan kepada waris selaras dengan obligasinya di bawah Konvensyen dan Undang-undang Antarabangsa yang terpakai," katanya. Oleh kerana sesetengah saudara-mara 239 penumpang dan krew pesawat telahpun memperoleh pampasan, ada pihak lain yang bergelut dengan kerumitan undang-undang dan emosi yang menyelubungi kehilangan pesawat tersebut yang masih menjadi misteri. Oleh kerana tempoh akhir telah berlalu, mereka tidak boleh memfailkan apa-apa lagi tuntutan dan tidak akan dilayan. Menurut Perkara 35 Konvensyen untuk Penyatuan Peraturan Tertentu bagi Pengangkutan Udara Antarabangsa (Konvensyen Montreal) 1999, hak untuk menuntut ganti rugi terhadap MAS akan terhapus jika tindakan tidak dikemukakan dalam tempoh dua tahun bemula dari tarikh pesawat sepatutnya tiba di Beijing, pada 8 Mac.-- Bernama