suria

Rahsia Sungai Batu Yang Belum Terungkai

SUNGAI PETANI: "Pergilah mana-mana sahaja di Kompleks Arkeologi Sungai Batu, pasti akan menjumpai 'tuyere' (peniup angin), iaitu peralatan penting dalam industri kuno peleburan besi.

"Ia berbentuk bulat panjang bersaiz lapan inci dan ada lubang di tengahnya yang digunakan oleh masyarakat purba Sungai Batu ketika itu untuk mengepam udara di relau (furnace) semasa proses peleburan.

"Kami menjumpai lebih dua juta tuyere di sini. Jadi, dengan jutaan tuyere dan 12 tapak peleburan serta kehadiran begitu banyak bijih besi, bayangkan bagaimana sibuknya industri peleburan besi di sini ketika itu," kata Prof Datuk Dr Mokhtar Saidin.

Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global (PPAG) Universiti Sains Malaysia (USM) ini, ia dipanggil tuyere kerana dijumpai kali pertama di Perancis tetapi jumlahnya tidak begitu banyak, hanya 20 unit sahaja.

Demontrasi menggunakan furnace pada Festival Kedah Tua di Sungai Batu, baru-baru ini.

Berbanding Sungai Batu, yang mana jumlahnya berjuta malah terbukti sebagai industri peleburan besi terawal di Asia Tenggara iaitu pada kurun ke-enam sebelum Masehi ataupun 535 BCE.

"Kalau tidak, ia (peniup angin) sudah dinamakan Sungai Batu bukan tuyere.

Tetapi, disebabkan Perancis memulakan kajian logam lebih awal dan mereka menjumpainya dahulu, ia dinamakan 'tuyere'" katanya sambil berseloroh.

DI MANA PRODUKNYA?

Kajian PPAG USM di kawasan ekskavasi Sungai Batu yang terletak di ladang kelapa sawit di jalan raya baharu Merbok-Semeling ini sejak 2009, telah membuktikan tapak itu adalah tamadun terawal dan tertua di Asia Tenggara.

Ia berdasarkan ujian pentarikhan yang ditemui di tapak jeti, peleburan besi dan syahbandar (monumen pentadbiran), berusia 2,600 tahun berikutan kewujudannya pada 535 sebelum Masehi.

Dengan penemuan itu, Sungai Batu yang menjadi sebahagian daripada tamadun kerajaan Kedah Tua ini didapati sistem ekonominya berteraskan kepada industri peleburan besi. Biarpun demikian, Mokhtar berkata kumpulan penyelidikannya berhadapan kesulitan dalam melengkapkan kajian perusahaan kuno itu.

Mokhtar

"Selepas tiga bulan proses ekskavasi, kami tidak menjumpai produk siap.

Misalnya, pedang, parang atau apa-apa jenis pisau. Kalau ada pun, hanyalah pisau kecil yang kami percaya ia milik persendirian.

"Jadi, di manakah produknya? Sedangkan, kami telah menemui 'pusat peleburan besi' di kawasan itu," ujarnya.

Sesuatu yang sangat mustahil apabila langsung tidak menjumpai satu pun produk besi sedangkan terdapat lebih 10 pusat peleburan, serta jutaan tuyere di situ, sekali gus merungsingkan kumpulan penyelidik PPAG.

JONGKONG BESI

Dalam merungkai kemelut tersebut, Mokhtar bersama pasukan arkeologinya mengambil pendekatan mengkaji balik segala yang berkaitan dengan industri logam lama.

Pelbagai bahan bacaan berhubung topik tersebut telah diselidiki dan mereka mendapati bahawa produk yang dihasilkan oleh masyarakat purba Sungai Batu ketika itu bukanlah sepertimana yang difikirkan selama ini.

"Selepas mengkaji industri besi tamadun awal, kami menyimpulkan produk yang dihasilkan oleh masyarakat zaman tersebut adalah jongkong besi (ingot)," ujarnya.

Biarpun gembira dengan penemuan itu, perjalanan kajian PPAG sekali lagi berdepan masalah apabila gagal menemui satu pun jongkong besi berupa sedemikian semasa proses ekskavasi seluas 4 kilometer (km) dilakukan di ladang itu.

"Seperti biasa, apabila kita memikirkan mengenai 'jongkong', ramai termasuk pakar arkeologi akan menggambarkan ia berbentuk segi empat sempurna," tambahnya.

Walhal, tidak ada satu pun tamadun awal ketika itu yang terlibat dalam perusahaan berkenaan menghasilkan jongkong besi sempurna dan ia berdasarkan kepada bukti-bukti sejarah dunia.

Selain, PPAG mengenalpasti perbezaan jongkong besi semasa tempoh pembinaan awal tamadun Timur Tengah bagi mencari jawapan kepada permasalahan itu," jelas Mokhtar.

"Segala yang terhasil daripada proses peleburan dan mengalir keluar daripada relau, tidak kiralah apa bentuk sekali pun, ia adalah jongkong besi. Biasanya, ia berbentuk seperti sisa besi tetapi selepas dilakukan eksperimen, sah itulah jongkong besi pada zaman tersebut," katanya.

LOKASI PENTING

Dengan penemuan itu, beliau yakin bahawa ia dihasilkan untuk dieksport keluar dari kawasan tersebut. Ini bermakna, Sungai Batu ketika itu sudah pun memainkan peranan cukup besar dalam perkembangan tamadun rantau Asia Tenggara.

Selain, merupakan lokasi amat penting dalam peta dunia suatu ketika dahulu.

Menurut Mokhtar, terdapat beberapa hasil penulisan sejarah yang telah menceritakan akan kepentingan Sungai Batu purba dalam perusahaan besi serta keunggulan kerajaan tamadun Kedah Tua yang pernah wujud di tapak berkenaan.

"Dalam satu puisi Tamil, 'Pattinappalai' ada menyatakan pedagang India telah mengimport besi dari 'Kataram' untuk membuat pedang. Ia berasal daripada perkataan 'kazh' iaitu besi hitam yang merujuk Kedah Tua.

"Sebenarnya, banyak nama yang digunakan oleh pedagang-pedagang bagi merujuk kerajaan purba itu sebagai 'lubuk besi'. Ini termasuklah, Kataha yang bermaksud 'the bowl of iron' di dalam bahasa Sanskrit," katanya.

KEDUDUKANNYA STRATEGIK

Berdasarkan bukti yang ditemui, sekurang-kurangnya Sungai Batu telah menjadi hub mengeksport besi kuno sejak kurun ke-lima sebelum Masehi, tetapi ia masih lagi memerlukan data dan kajian lebih lengkap.

"Inilah menariknya, kerana tidak pernah tercatat dalam sejarah bahawa tanah Melayu ketika itu ada mengeksport besi. Yang kita tahu, hanyalah sebagai pengeluar emas dan timah," katanya.

Kedudukan Sungai Batu yang strategik kerana terletak berdekatan dengan Gunung Jerai, telah membantu para pedagang untuk berlabuh di sini dengan menjadikan puncak gunung tersebut sebagai panduan.

Ini terbukti dengan penemuan 12 buah jeti berhampiran Sungai Batu Kuno yang pernah mengalir di tapak bersejarah itu, lima buah kapal purba yang masih lagi di bawah tanah, sekali gus memberikan gambaran kawasan ini pernah menjadi sebuah pelabuhan sangat pesat.

"Semasa sebelum Masehi dan awal Masehi, aras laut di sini lebih tinggi, menyebabkan Sungai Batu berada di tepi laut ketika itu. Sekarang, lebih kurang 12km ke Tanjung Dawai baharu nampak laut.

"Ia mengecil disebabkan perubahan struktur muka bumi dan alam semulajadi.

Sungai yang dahulunya selebar 100 meter dan sedalam 30 meter semakin cetek setelah ribuan tahun menyebabkan kapal-kapal besar tidak dapat masuk," katanya.

Susulan itu, ia menjadi antara sebab utama kejatuhan Sungai Batu sebagai pusat pelabuhan apabila mereka mula pindah ke kawasan lain yang menghampiri laut seperti Pengkalan Bujang dan Sungai Mas.

SIAPAKAH PEMILIK KERAJAAN INI?

Biarpun demikian, pasukan arkeologi Mokhtar masih lagi belum menjumpai sebarang bukti mengenai manusia dan pemilik kerajaan ini. Namun, beliau yakin masyarakat purba Sungai Batu ketika itu telah pun memulakan satu tamadun yang hebat dan pastinya mereka bukanlah calang-calang orangnya.

"Industri peleburan besi di sini telah wujud sejak kurun ke-enam sebelum Masehi sehinggalah kurun ke-17 Masehi dan kami percaya teknologi yang digunakan mereka adalah lokal.

"Berdasarkan suhu yang digunakan untuk melebur besi iaitu 1,200 darjah celcius, senibina, jeti pelabuhan, bengkel peleburan besi, dan adanya perdagangan di sini, jelas menunjukkan betapa tingginya susunan masyarakat Sungai Batu dan pastinya mereka mempunyai sistem geologi," katanya.

Akan tetapi, siapakah pemilik kerajaan ini? Adakah ia dimulakan oleh orang Melayu, persoalan yang masih misteri dan ini antara misi utama pasukan arkeologi Mokhtar untuk terus merungkai rahsia yang masih tersisip rapi di Sungai Batu. 

Sungai Batu, Arkeologi

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain