PRESIDEN Pusat Kepimpinan Oxford (Oxcel) bagi rantau Asia-Pasifik, Prof Dr Azahari Othman kini dalam usaha untuk mengenal pasti calon dari negara ini dan serantau yang layak untuk mendapat anugerah berprestij Oxcel. “Saya akan mempelawa calon tertentu dan menawarkan mereka untuk menjadi Felo Oxcel. "Calon yang disenaraikan kemudian dikehendaki memenuhi enam daripada sembilan kualiti kepimpinan serta grid penilaian Oxcel,” tambahnya. Selain penganjuran forum, seminar dan bual bicara, acara kemuncak Oxcel adalah Anugerah Khas Kepimpinan yang akan berlangsung di The Royal Over-Seas League, London pada 1 Oktober 2017. Pemilihan calon untuk anugerah tersebut kini menjadi antara tugas utama Dr Azahari yang dilantik sebagai Presiden/Ketua Eksekutif Oxcel yang baharu pada 30 Mei lalu. Oxcel Asia Pasifik sebelum ini diketuai Dr Saiful Bahri Musa yang juga pengasasnya bagi rantau ini. Dr Azahari (gambar) dilantik berikutan kematian Dr Saiful. Oxcel adalah sebuah organisasi kepimpinan unggul yang berpangkalan di United Kingdom dan ditubuhkan bagi memberi peluang kepada ahlinya membangunkan dan mempergiatkan lagi kemahiran kepimpinan mereka di peringkat global. Di peringkat antarabangsa, presidennya adalah Profesor John Kersey, yang juga Presiden Universiti Eropah-Amerika (EAU) di Dominica. Ketika Dr Saiful memegang jawatan tersebut, badan itu dikenali sebagai Pusat Kecemerlangan Oxford atau Oxcell. Selepas ketiadaan beliau, ahli lembaga badan itu berpendapat namanya perlu diubah semula kepada Pusat Kepimpinan Oxford atau Oxcel bagi mencerminkan aspek kepimpinan yang menjadi teras kegiatannya. Mengenai latar belakang Dr Azahari, beliau adalah jurulatih profesional yang banyak melibatkan diri dalam program motivasi dan bina semangat dalam negara dan peringkat antarabangsa dan mempunyai peminatnya tersendiri. Mungkin ramai lagi masih ingat peranan beliau sebagai kaunselor dalam program ‘Akademi Fantasia’ yang dianjurkan oleh Astro di mana beliau dikenali sebagai ‘Dr Luv’. Dr Azahari yang juga dikenali sebagai 'Dr Luv' menunjukkan majalah Oxcel kepada penulis ketika ditemui baru-baru ini. Beliau juga sering dijemput sebagai tetamu dan panel perbincangan dalam program televisyen di TV3, ASTRO, RTM dan program bual bicara internet ‘Power Talk’, selain menjadi hos untuk program ‘Hello Malaysia’ menerusi Bernama TV dan program ‘Bicara Cinta Bersama Dr Luv’ melalui Radio 24 Bernama. Bercakap kepada mStar, Dr Azahari berkata, hasrat badan tersebut adalah bagi mewujudkan pemimpin bertaraf dunia, menyebabkan usaha untuk mencari calon berkaliber itu perlu dilakukan dengan teliti. Keahlian Oxcel, tambahnya, bukan sahaja memberi peluang kepada pesertanya mendapat pengiktirafan di peringkat global, tetapi juga membuka ruang kepada mereka terlibat sama di dalam rangkaian kesaling hubungan dengan ahli lain yang berprofil tinggi. “Sudah tentunya Oxcel dapat menambahkan lagi keyakinan dan menambahbaik kemahiran kepimpinan pesertanya dan memberi peluang menimba pengalaman kehidupan sebenar daripada tokoh dunia yang berjaya,” kata Dr Azahari. Calon yang terpilih nanti adalah daripada pelbagai latar belakang sama ada bisnes, korporat, kemasyarakatan dan lain-lain, tegasnya. Anuar Zain turut mendapat pengiktirafan kerana kegigihannya memartabatkan dunia muzik. Sejak beberapa tahun lalu, beberapa tokoh dari Malaysia yang pernah memperoleh anugerah ini termasuk Yusry Abdul Halim daripada KRU Berhad, Anita Sarawak, Anuar Zain, Ghazali Mat Noh, Naib Presiden, RHB Bank, Datuk Abd Ghani Yusof, Naib Pengerusi Eksekutif, Metronic Global Berhad dan Dr Mohd Azman Aziz Mohd, Pengurus Besar Kanan Operasi, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).