IJAZAH kedua untuk lebih mudah dapat kerja? Adakah ini satu saranan berteraskan kajian sahih dan berdasarkan realiti keperluan pasaran tenaga kerja atau adakah ia sekadar satu pandangan rambang dan teori semata-mata? Namun inilah saranan yang dilontarkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh. Beliau mahu para pelajar pusat pengajian tinggi berusaha memiliki ijazah kedua bagi menambah nilai kebolehpasaran dalam menghadapi saingan memasuki pasaran pekerjaan. Saranan ini nampak mudah iaitu dengan memiliki dua ijzah (double degree) seseorang boleh lebih mudah mendapat kerja. Mungkin dari segi teori pandangan ini munasabah kerana mereka yang memiliki ‘ilmu tambahan’ dianggap mempunyai kelebihan untuk berjaya. Namun jika sekali pun teori ini boleh diterima pakai, ia mungkin tidak akan bertahan untuk satu jangka masa yang lama. Ini kerana apabila lulusan pusat pengajian tinggi mengambil ijazah kedua dan terbukti mereka mudah menembusi pasaran kerja, maka semakin ramai akan mengambil ijazah kedua. Apabila jumlahnya semakin ramai maka persaingan mencari kerja kembali menjadi sengit, apatah lagi jika peluang pekerjaan itu sendiri tidak berkembang. Maka masalah mencari kerja berbangkit semula. Adakah ketika ini kita akan menggesa pelajar mengambil ijazah ketiga pula? Prosesnya juga bukan mudah bagi pelajar. Menamatkan ijazah pertama mengambil masa tiga atau empat tahun (perubatan lima tahun). Bermakna jangka masa yang sama perlu diambil untuk menamatkan ijazah kedua. Jangka masa yang lama ini pasti mencabar, khususnya bagi mereka yang benar-benar memerlukan kerja untuk menyara diri dan keluarga. Untuk mengambil ijazah kedua, bidang apa pula yang harus diambil? Haruskah pelajar mengambil bidang menurut gerak hati sendiri atau dipimpin dalam menentukan bidang apa yang perlu diambil? Perlu diingat keperluan pasaran kerja juga sentiasa berubah. Mengambil ijazah kedua yang lain daripada bidang ijazah pertama juga bukan mudah. Misalnya pelajar yang beroleh ijazah pertama dalam bidang sastera tentulah menghadapi masalah jika hendak mengambil ijazah kedua dalam bidang kewangan atau sains. Begitu juga seterusnya. Pandangan ini bukan bertujuan untuk tidak menggalakkan pelajar mengambil ijazah kedua. Tetapi jika tujuannya semata-mata untuk mudah memasuki pasaran kerja ia masih boleh diperdebatkan. Ini kerana, dari segi realiti, penyelesaian masalah mencari kerja bukanlah semudah dengan hanya memiliki dua ijazah, hatta dengan ijazah lanjutan sekalipun. Setiap tahun, ribuan lulusan dihasilkan oleh Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pengajian Tinggi Swasta (IPTS). Jumlah yang semakin ramai tahun demi tahun ini menyaksikan jumlah yang ramai juga memburu peluang pekerjaan yang sedikit. Ramai lulusan universiti yang masih menganggur setelah beberapa tahun tamat pengajian. Ini bukan seperti zaman tahun 60-an atau lewat 70-an di mana lulusan universiti tidak ramai dan peluang pekerjaan menanti mereka. Ramai pelajar universiti ditawarkan kerja sekalipun masih belum menamatkan pengajian. Bukan pula tanggungjawab IPTA atau IPTS menyediakan peluang pekerjaan kepada para graduan mereka. Mereka sekadar menyiapkan pelajar dengan ilmu. Namun IPTA atau IPTS tetap bertanggungjawab menyediakan pelajar dengan pendidikan yang sesuai, iaitu menyediakan kursus-kursus yang selari dengan keperluan semasa. Ini mesti diawasi dan dipantau oleh pihak berwajib. Penawaran kerja umumnya terletak di bahu sektor awam dan swasta, dua sumber utama penawar kerja. Jika ada pun yang memilih untuk bekerja sendiri, jumlahnya adalah kecil dalam konteks negara kita. Namun, dengan semakin ramai pencari pekerjaan, peluang di kedua-dua sektor awam dan swasta semakin menguncup. Kerana itulah gejala pengangguran kian lama kian serius yang memerlukan perhatian serius pula untuk mengatasinya. Penyelesaiannya bukan semudah dengan hanya memiliki ijazah kedua. Sebaliknya, usaha mesti dibuat untuk memastikan sektor awam dan swasta terus berkembang bagi membolehkan kedua-duanya menyediakan peluang pekerjaan yang berterusan. Bagi membolehkan kedua-dua sekor ini berkembang, ekonomi perlu berkembang pesat. Selain perkembangan melalui sektor dalaman, sektor luaran seperti pelaburan asing mesti sentiasa dipertingkat. Pelaburan asing penting dalam membantu menggerakkan ekonomi negara. Bersama-sama, ia membolehkan kerajaan melaksanakan projek-projek yang mencetuskan pekerjaan, begitu juga di sektor swasta. Oleh itu, usaha menarik pelaburan asing mesti sentiasa berterusan. Jangan berpuas hati dengan apa yang ada. Lebih sedih jika kita hanya memejam mata membiarkan pelabur-pelabur asing yang sudah lama bertapak di negera ini memindahkan operasi ke negara lain dan meninggalkan ramai pekerja tempatan menjadi penganggur. Jangan biarkan ini berterusan. Langkah kerajaan menaikkan had umur persaraan kepada 60 tahun juga dilihat sebagai satu faktor yang mengekang peluang mendapat kerja. Dengan umur persaraan ditingkatkan, peluang untuk tenaga kerja baru memasuki pasaran pada masa yang sama juga terhad. Begitu juga peluang untuk naik pangkat. Dalam keadaan ini pun CUEPACS mencadangkan umur persaraan kakitangan kerajaan dinaikkan kepada 62 tahun. Cadangan ini tidak sepatutunya dilayan. Lupakan sahaja kerana ia hanya akan menutup peluang anak-anak muda memasuki sektor awam. Sekarang sudah menjadi perkara biasa jika seorang bakal guru yang telah tamat pengajian belum dapat penempatan (posting). Malah bidang kedoktoran yang dianggap berprestij pun menghadapi masalah penempatan pelajar untuk menjalani latihan (houseman). Semuanya kerana peluang yang makin terhad. Difahamkan, lulusan daripada peringkat pertengahan (Diploma) yang menekankan kepada pendidikan berteraskan kemahiran, didapati lebih mudah mendapat kerja. Ini kerana aspek kemahiran dianggap memenuhi citarasa keperluan pasaran kerja. Jika ini benar, barangkali aspek ini perlu diutamakan dalam sitem pendidikan. Pusat pengajian tinggi juga mesti memberi pendidikan daripada aspek sahsiah dan keterampilan diri, bukan akademik semata-mata. Telah terbukti ramai pelajar yang cemerlang ketika di kampus tetapi gugup dan gagap apabila hadir temu duga kerja sekaligus mengagalkan mereka memasuki pasaran kerja. Aspek ini penting kerana dalam mengintai peluang pekerjaan, selain ilmu yang ditimba di pusat-pusat pengajian tinggi, para lulusan mestilah mempersiapkan diri dengan keterampilan yang menyakinkan majikan dan dan mampu memikat hati bakal majikan. Ingat, semua calon pada dasarnya berkelulusan sama. Yang mmbezakan antara mereka ialah keyakinan diri dan keterampilan yang menyakinkan. Biasanya hanya mereka yang nampak ada ‘kelainan’ dengan personaliti menarik, mantap dan tegas akan mempunyai peluang lebih cerah diterima majikan. Janganlah terlalu bimbang jika tidak ada ijazah kedua.