suria

Warkah Terbuka Buat Rakyat Malaysia Sempena 100 Hari Perkhidmatan KP SPRM

Datuk Dzulkifli Ahmad. -fotoTHESTAR
WARKAH TERBUKA BUAT RAKYAT MALAYSIA


Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Terlebih dahulu izinkan saya menzahirkan rasa insaf dan syukur yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT, Tuhan sekelian alam, yang telah mengurniakan limpah rahmat, nikmat dan kasih sayang kepada sekelian hambaNya. Tiada kekuatan dan daya melainkan dari Allah yang Maha tinggi lagi Maha Mulia.

Ternyata masa itu bergerak melewati kita dengan begitu pantas sekali. Kira-kira seratus hari yang lalu, bersamaan 1hb Ogos 2016, saya telah diberi amanah dan kepercayaan bagi memikul tanggungjawab sebagai Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru. Di dalam menerima amanah tersebut, saya menginsafi tanggungjawab dan cabaran besar yang bakal dihadapi oleh saya. Alhamdulillah, setelah hari demi hari berlalu, saya merasai tugas tersebut hampir mampu untuk dilaksana, kerana amat merasai penerimaan, keikhlasan dan sokongan yang tidak berbelah bagi, dari keluarga besar saya di SPRM ini.


Namun begitu, saya menyedari, bahawa tugas suci dan amanah bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa yang zahirnya terletak di pangkuan SPRM ini, seharusnya didukungi bersama oleh masyarakat dalam segenap lapisannya.

Atas kesedaran itu, izinkan saya menukilkan warkah terbuka buat rakyat Malaysia, agar ia kekal subur menjadi peringatan dan panduan buat kita bersama. Andainya warkah terbuka ini mengundang keresahan, maka saya terlebih dahulu menyusun jari memohon kemaafan.

Buat para ayahanda dan bonda ketua dan pendidik keluarga -

Anak-anak adalah mutiara yang diamanahkan oleh Tuhan kepada kita. Lahirnya mereka ke dunia ini, adalah dalam keadaan fitrahnya yang bersih dan suci. Ayahanda dan bondalah yang menjadi penentu dalam mencorak dan mewarnai nilai jiwa dan keperibadian mereka. Peliharalah mereka dan perbaikilah urusan hidup mereka. Jadilah sahabat kepada anak-anak ini dan dengari isi hati dan impian mereka. Besarkan mereka dengan kasih sayang dan didikan agama. Agar mereka tidak lemah dan kabur dengan pujukan dunia dan sogokan kuasa. Biar mereka mengenal nikmat keberkatan harta. Jangan racuni mereka dengan kegilaan terhadap harta dan kuasa, semata-mata untuk memenuhi hidup yang bersifat sementara. Jangan khianati mereka dengan suapan rezeki hasil kerakusan harta. Kelak ia kan tumbuh menjalari tubuh menjadi racun yang berbisa, membutakan hati mencemari jiwa.


Buat guru-guru insan pendidik – 

Kalian insan mulia yang menyalai cahaya ilmu buat anak-anak nusa harapan bangsa. Kalian bagai pelita dalam kegelapan, laksana embun penyejuk dalam kehausan. Didiklah anak bangsa kita bukan sekadar mengenal nombor, abjad dan kalimat, tetapi sulamilah mereka dengan didikan agama penuh makna, agar nilai kemurnian kekal tersemat di dalam dada. Taburkanlah benih-benih ilmu yang menerbitkan keimanan dan ketaqwaan, biar terpadam keinginan mereka kepada pujukan dunia dan keenakan harta. Semarakkan ke dalam jiwa-jiwa mereka kebencian terhadap kebobrokan rasuah dan salah guna kuasa. Biar mereka jauh dari kemabukan harta dan ketamakan dunia. Agar mereka siap siaga menghadapi dunia dan masa depannya.


Buat anak muda harapan nusa dan bangsa –

Sudah sampai masanya kalian mengorak langkah, menekad arah, memaksi perjuangan dengan penuh kejujuran dan kematangan. Bukan hanyut dengan melaung pemberontakan murahan dari luaran, tetapi sebaliknya bijak berbahas dengan nada kesopanan, agar tampak lebih pintar dan tidak janggal persis keanakan. Melontar kritikan riuh rendah nun di luar sana sememangnya mudah. Namun realitinya, hanya anak jantan sahaja, yang benar-benar berani menjadi pejuang dan bertempur dari dalam gelanggang, menepis tumbukan dan menongkah arus meraut perubahan. Oleh itu ayuhlah anak muda! Sambut cabaran perjuangan yang telah dilontarkan dan dihamparkan. Majulah kehadapan saf! Kita gempur dan perangi bersama, kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa.


Buat para kakitangan awam dan anggota penguatkuasa undang- undang pengkhidmat rakyat –

Amanah dan kuasa bukan perkara mainan untuk diinjak dan dijual buat lacuran. Amanah dan kuasa ini kurniaan Allah SWT yang dituntut kejujurannya buat mengabdi kepada rakyat dan negara. Sedarlah bahawa khazanah dan harta negara itu adalah hak rakyat dan bukan milik peribadi buat memenuhi nafsu kepentingan diri. Apatah lagi untuk dikhianati dan dijual beli. Hentikanlah meragut hasil duniawi dan lunaskanlah khidmat serta janji sebagai hamba rakyat yang sejati. Lewat ini semakin banyak anak-anak mata yang memerhati. Hati-hati saudaraku, hati-hati.


Buat Yang Berhormat ahli politik dan pemimpin masyarakat -


Jangan kamu khianati amanah rakyat. Jangan hanya mahu didendang dan dijulang di persada takhta, sedang pertimbangan dan kepentingan rakyat dibiar alpa. Segala janji yang ditaburkan, harus dijelmakan menjadi lebih dari sekadar harapan. Hentikanlah membuai para marhaen dengan ciptaan dan dongengan yang mengaburi kebenaran, sedang jari jemarimu terus rakus meragut habuan. Laksanakanlah 5 amanah yang dituntut dan perjuangkanlah nasib rakyat yang dahagakan pembelaan dan perjuanganmu. Yakinkanlah kami dengan menentang kebejatan rasuah dan salah guna kuasa. Agar lenyap dan hilang di dunia, segala racun yang menjadi pemusnah merobek nilai-nilai bangsa.

Buat para hakim yang arif lagi bijaksana –

Umbul-umbul kehakiman adalah kibaran megah simbol keadilan. Tegaknya berdiri menjadi benteng terakhir buat rakyat berteduh mencari kebenaran. Maka yang arif lagi bijaksana, adililah hukum dengan iman dan keberanian. Usah biarkan anai-anai kebatilan menerobos pintu keadilan, sehingga
lohong diracuni kemungkaran. Kelak nanti tercemar keadilan sehingga terseleweng segala kebenaran. Hukumlah mereka yang masih tegar dan hanyut melakukan rasuah dan salah guna kuasa. Biar menjadi teladan dan amaran kepada mereka yang memerhati diluar sana. Agar meremang kecut dan ketakutan si perasuah dan pemabuk kuasa. Biar lenyap semuanya terkubur, hilang tidak bertanda.

Buat seluruh rakyat Malaysia yang dikasihi –

Ibu pertiwi ini bersusah hati tanpa sembunyi, kerna semakin hari semakin kelihatan air matanya berlinangan di pipi. Ibu pertiwi ini bermuram hati, kerana kekayaan buminya dilelong di sana sini. Tanahnya dinodai, buminya dicemari dan lautnya nan indah dikotori. Mengapa ini terjadi? – Ia terjadi kerana rakyatnya yang durjana semakin lemas dalam rasuah dan korupsi. Sampai bila harus terjadi? - Ia akan terus terjadi selagi rakyatnya terus hina selaku jelata, yang terus haloba bertuhankan harta. Bangkitlah dari lena mu wahai rakyat negara! Jangan biarkan tanah air ini tersungkur dalam kehancuran. Bangkitlah merungkai kekusutan dan ayuh kita perangi kemungkaran rasuah dan salah guna kuasa habis-habisan. Biar rapuh dan hancur segala kepalsuan, yang memayungi segala kebatilan dan ketidakadilan. Agar bisa kita renung sebuah harapan dan impian, untuk hidup dalam kedamaian dan kebahagiaan.


Buat saudara seperjuangan ku warga SPRM yang dikasihi dan dicintai –


Masa hadapan sering kelihatan getir, menakutkan dan tiada kepastian. Namun, hari demi hari kita masih teguh berdiri dalam kebersamaan, menempuh kejayaan dalam sela hujan, yang kerap menggila dalam kesuraman cahaya. Di antara kegusaran, keghairahan dan kesunyian, kita harus kekal dalam iltizam untuk meneruskan usaha ke arah memerangi kebejatan rasuah dan salah guna kuasa. Selagi tubuh dilayari nyawa berbekal kudrat, relalah mengabdi kepada negara dan rakyat, sebagai pahlawan yang tidak bernama dan tanpa sebarang tanda mengenang jasa. Berjuanglah atas nama kebenaran,jujurlah dalam segala tindakan dan bertanggungjawab atas segala perbuatan. Berkhidmat tanpa mengharap sebarang pujian dan balasan. Biarlah rakyat menjadi neraca pengadilan, kepada panji keikhlasan perjuangan kita, asal nikmat pembangunan dan kemakmuran itu menjadi milik mereka akhirnya.


Ayuhlah saudara-saudara ku sekelian!

Melangkahlah dengan gagah dan tanpa gentar, biar habis musuhmu rebah dalam geletar. Berjuanglah tanpa rasa resah dan gementar, biar panji-panji kita mekar dalam sejarah, terus megah dan berkibar.

Buat mereka yang masih mabuk dan lemas dalam suapan -

Dengarkanlah laungan amaran ini. Buat kali yang sekiannya, hentikanlah segala pengkhianatan yang berumbikan rasuah dan salah guna kuasa! Tunduk dan menyerahlah! Janganlah terus dangkal mendabik dada, kelak terancam nyawa dan raga, tersembam rebah ditimpa bala.

Awaslah! Api perjuangan ini semakin hangat membara. Gendang tempurnya semakin lantang bergema, gegak gempita menggegar angkasa. Biarku gugur melayang nyawa mempertahankan nusa, pastiku rempuh si durjana pengkhianat bangsa!


Wabillahitaufik Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi
Wabarakatuh.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain