suria

Pengalaman Rasai Keseronokan Ketika Makan Angin Di Turki

Sultan Ahmet Mosque atau lebih terkenal dengan nama Masjid Biru antara tarikan jika anda mahu mengunjungi Turki.
OLEH:  NUR HANANI AZMAN
(Pembaca mStar)

TURKI sering kali dikaitkan dengan bandar popular Istanbul mahupun Cappadocia. Negara yang kaya dengan sejarah itu memiliki banyak khazanah yang tidak ternilai. 

Peluang menikamati kedamaian di bumi Turki adalah satu pengalaman yang begitu berharga dan tidak dapat dilupakan.

Penulis diberi peluang menjejakkan kaki di Turki pada 23 November lalu. Destinasi pertama yang dijejaki merupakan Istanbul iaitu bandar terbesar di Turki.

Menurut statistik, populasi di Istanbul merekodkan lebih 11,174,257 penduduk.

Sejurus menjejakkan kaki di Istanbul, kami menuju ke jambatan Galata yang popular dalam kalangan kaki pancing. Kami menikmati sajian tempatan yang cukup enak.

Selepas itu, penulis dan ahli rombongan dibawa ke Bursa dan antara tempat menarik di situ termasuk Ulu Cami Grand Mosque dan Cumalikizik village.


Antara barangan yang boleh dibeli sebagai buah tangan.
Pada hari seterusnya, kami ke Ancient City of Ephesus yang merupakan bandar tinggalan purba bersejarah. Di kawasan bandar tinggalan purba itu, kami di bawa melihat The Gate of Heracles State Agora dan Library of Celsus.

Sepanjang perjalanan di bandar-bandar di Turki, kami menaiki bas yang cukup selesa dan dilengkapi dengan kemudahan internet tanpa wayar atau Wifi bagi memudahkan ahli rombongan sentiasa berhubung dengan keluarga.

Kami meneruskan perjalanan ke Pamukkale, kawasan pergunungan terkenal dengan tarikan Cotton Castle. Ia adalah teres-teres kolam air panas berwarna putih di lereng bukit, di mana kami berpeluang untuk merasai kenyamanan air panas dengan merendamkan kaki.

Keesokan harinya, kami bertolak ke Konya yang terkenal dengan upacara Wherling Dervish dan hikayat ahli sufi Nasreddin Hoca.

Penulis melawat Mevlana Museum yang dahulunya merupakan pusat keagamaan Islam dan pembelajaran ahli sufi di Turki ketika era pemerintahan Seljuk Turks dan Uthmaniyyah.

Selepas itu, kami meneruskan perjalanan ke Cappadocia. Cappadocia antara destinasi yang menjadi lokasi paling ditunggu-tunggu oleh penulis. Selain tarikan utama belon udara panas yang dikenakan bayaran AS$200 atau hampir RM900, Cappadocia menyajikan pelbagai keindahan yang tidak dapat diungkapkan dengan kata-kata.

Cotton Castle, merupakan kawasan berbentuk lembah sungai mineral berkarbonat seolah-olah hamparan salji garam melatari muka buminya.
Antaranya ialah Pigeon Valley yang mana batuan-batuan di sini diukir lubang bagi burung merpati dan Camel Valley yang terdapat banyak batu-batu besar yang pelbagai bentuk antaranya menyerupai unta.

Kami meluangkan masa di Cappadocia selama tiga hari dua malam. Terbukti bandar ini memiliki banyak tarikan. Kami seterusnya dibawa melihat hasil kerja tangan tradisional orang Turki iaitu membuat tembikar di Avanos Pottery Village, butik barangan kemas berasaskan batu turquoise dan Silk Carpet Factory yang terkenal dengan seni halus dankualiti karpet buatan tangan Turki.

Kami meneruskan perjalanan ke Ankara, sebuah kota yang sibuk. Ini kerana ibu pejabat tentera, parlimen dan beberapa bangunan kerajaan terletak di Ankara.

Ia juga pusat pemerintahan kerajaan Mustafa Kamal Ataturk iaitu pemerintah yang menukarkan Turki daripada sebuah negara Islam kepada sekular. Kami seterusnya bermalam di Bolu.

Keesokan paginya, kami bertolak kembali ke Istanbul. Melalui gabungan seni budaya dan sejarah, Istanbul muncul sebagai bandar yang mempersona dan menawarkan banyak keunikan kepada para pengunjung dari seluruh dunia.

Permandangan indah di Kusadasi sebuah bandar peranginan di perairan Aegean.

Pengalaman menaiki Bosphorus Cruise membolehkan kami melihat tempat persinggahan kapal besar dan panorama indah kawasan sekitar.

Kami seterusnya ke tempat wajib dilawati. Tidak lain dan tidak bukan, Masjid Biru atau disebut dalam bahasa Turki sebagai Sultanahmet Camii.

Ia adalah masjid bersejarah di Istanbul, dibina di antara 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Ahmed I.

Ayasofya atau Hagia Sophia yang dahulunya pada zaman Byzantium merupakan sebuah gereja namun diubah menjadi masjid oleh Sultan Fatih Mehmed II selepas menakluk Constantinople dan istana kediaman sultan-sultan empayar Uthmaniyyah, Topkapi Palace yang begitu gah.

Rombongan ke Turki pasti tidak lengkap tanpa aktiviti membeli-belah di Grand Bazaar yang telah wujud seja 1455 lagi.

Kini ia menempatkan lebih 3,000 buah lot kedai. Kami juga dibawa ke Spice Bazaar dan di sini anda perlu bersedia ditawarkan pelbagai manisan oleh setiap kedai seperti Turkish Delight, kekacang dan Baklava.

Kepada kaki 'shopping', jangan ketinggalan untuk singgah di Grand Bazaar yang wujud sejak tahun 1455 lagi.

Begitulah sedikit perkongsian catatan perjalanan penulis ke Turki yang memberi banyak pengalaman dan juga keseronokan.

Pembaca pasti tertanya bagaimana untuk ke Turki dengan bajet yang tidak terlalu banyak bukan?

Sekiranya anda bercadang untuk pergi sendiri, penulis rasa anda mungkin akan berbelanja lebih berbanding mengambil pakej yang ditawarkan oleh agensi perlancongan.

Penulis nasihatkan anda buat perbandingan pakej-pakej yang ditawarkan. Bagi percutian di Turki, penulis memilih pakej yang ditawarkan oleh Kowamas Holidays Sdn. Bhd., yang baru-baru ini menaja hadiah bagi program realiti Gegar Vaganza.

Agensi pelancongan muslim itu menawarkan pakej khas muslim berkumpulan, pengangkutan bas yang selesa, penginapan hotel selesa bertaraf tiga ke lima bintang, tour leader  terlatih, makanan sesuai muslim dan penjagaan solat jamak semasa perjalanan.

*** Jika anda mempunyai artikel pelancongan yang menarik dan sedia untuk berkongsi dengan mStar, e-melkan catatan perjalanan anda berserta gambar kepada: [email protected]


Turki

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain