suria

Rumah Gamit Nostalgia Komik, Kartun Malaysia

Tulang belakang Rumah Kartun dan Komik Malaysia, (dari kiri): Mohd Desa Omar (pengasas), Tazidi Yusof (kurator) dan Azhar Adnan (pengurus galeri).

RUMAH Kartun dan Komik Malaysia yang baharu dibuka di Taman Botani Perdana di Kuala Lumpur bakal menjadi tarikan utama buat peminat buku komik.

Bangunan itu kini menjadi tempat untuk karya kartunis tanah air memenuhi segenap dinding dengan gambaran buku komik yang asal, kartun editorial, lakaran papan cerita termasuk majalah-majalah lama yang dedikasikan untuk sejarah dan budaya buku komik Malaysia.

“Tidak ada kekurangan bahan untuk dipamerkan apabila menyentuh tentang komik dan kartun tempatan. Persoalannya adalah bagaimana kita mahu mempersembahkannya dalam bentuk seni yang sebelum ini tidak diambil begitu serius atau terlepas pandang,” kata kurator Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Tazidi Yusof, 58 mengenai inisiatif rumah berkenaan, baru-baru ini.

“Kini, wujud penghargaan yang lebih baik untuk nama-nama kelahiran Malaysia yang membentuk komuniti kartun dan komik. Nama-nama berpengaruh seperti Allahyarham Rejabhad, Datuk Lat, pengasas majalah Gila-Gila, Jaafar Taib dan Ujang (Ibrahim Anon), antara yang begitu dikenali.

“Penubuhan Rumah Kartun dan Komik Malaysia turut bertujuan untuk memperkenalkan dan meraikan komuniti ini secara keseluruhan dari perintis awal, legenda, artis-artis dan mereka yang bersandarkan ‘one hit wonder’,” katanya.

Karya Datuk Lat (kiri) dan Ali Sanat (kanan).

Pengurus galeri, Azhar Adnan, 45, berkata, idea menubuhkan Rumah Kartun dan Komik Malaysia untuk mewujudkan tumpuan orang ramai terutamanya pengumpul komik, pengikut budaya pop, pelajar dan juga menarik pelancong di kawasan sekitar.

“Kita mahu mewujudkan persekitaran yang selesa, damai dan menyeronokkan di galeri, dan saya merasakan kami dapat merealisasikannya. Kami perlu mencari keseimbangan untuk menjadikannya sesuatu yang bermaklumat dan menghiburkan, dengan ruang yang agak terhad,” kata Azhar.

“Di dalam galeri, anda mungkin merasakan seperti melalui sebuah buku komik saiz A5, manakala sudut-sudut lain dipenuhi dengan khazanah terbaik dan nostagia yang tidak ternilai,” tambahnya.

Lebih 500 karya komik dan kartun yang diterbitkan dari 1930-an sehingga lewat 1990-an kini dipaparkan di galeri itu, dan Tazidi mendedahkan kurang 10 peratus daripada bahan-bahan berkenaan dipamerkan kepada orang awam.

Kebanyakan karya asli dipinjamkan daripada pengumpul koleksi persendirian termasuk Creative Enterprise Sdn Bhd (penerbit Gila-Gila) dan Balai Kartun Rossem, sebuah muzium di Kota Bharu, Kelantan.

Komik Musang Puaka di dalam majalah Rina (kiri) dan kulit majalah Murni yang dilukis oleh Jaafar Taib. 

Tazidi berkata, Rumah Kartun dan Komik Malaysia mula dirancang pada 2015 (seiring dengan anugerah komik, Anugerah Kampung Boy). 

Kerja-kerja arkib dimulakan dengan menghimpunkan komuniti kartunis, pelukis komik dan pengumpul koleksi bagi mendapatkan sumber-sumber editorial, kartun, buku komik, novel grafik, animasi dan karikatur.

“Kerja-kerja penyelidikan dan pemuliharaan komik disempurnakan di studio kami di Petaling Jaya. Proses membaik pulih turut dilakukan. 

“Kita perlu berdepan dengan halaman yang kekuningan, komik yang rosak, salinan majalah Rina yang berusia 40 tahun yang terkoyak.

“Bagaimanapun, kerja-kerja dokumentasi yang akhirnya menjadi kerja-kerja ‘siasatan’ secara besar-besaran agak rumit kerana terlalu banyak kartun dan komik tanpa tarikh atau tandatangan (artis)... jadi kami cuba untuk mengingatinya,” kata Tazidi.

Pengasas Rumah Kartun dan Komik Malaysia, Mohd Desa Omar (juga kartunis Juragan), 52, berkata, galeri itu ditubuhkan dengan memberi tumpuan kepada kartun cetakan semula editorial Melayu dari 1930-an dan 1940-an. 

“Kami meletakkan karya-karya awal di hadapan galeri bagi menekankan kepentingan mereka, dan menunjukkan kepada orang ramai bahawa jurang budaya kartun tempatan tidak terlalu jauh sebagaimana yang mungkin anda fikirkan,” kata Mohd.

Majalah Gila-Gila.

Kartun-kartun yang sarat dengan satira politik dan kritikan sosial amat popular di dalam akhbar Melayu seperti Warta Jenaka dan Utusan Zaman.

Sumber kartun yang lain adalah akhbar Majlis pada 1940-an, manakala kemunculan Berita Harian pada 1957 sebagai petanda berkembangnya penggunaan kartun dalam halamannya.

“Karya-karya nukilan kumpulan kartunis dan sumbangan orang ramai menjadikan kartun editorial begitu banyak suatu ketika dahulu,” kata Tazidi.

Pameran mengambil zaman 1950-an dan 1960-an dengan komik-komik bebas hasil karya Saidin Yahya, Halim Teh, Raja Hamzah, Sulaiman Awang dan Osman Baru.

Di tengah-tengah pameran terdapat dinding yang memaparkan legenda-legenda seperti Rejabhad, Lat, Zainal Buang Hussein, Jaafar Taib, Mishar, Nan (Zainal Osman), Rossem (Rosidi Semail) dan Azman Yusof, yang disertakan sekali dengan ringkasan biografi lengkap dan paparan karya-karya mereka.

Sementara itu, sudut Gila-Gila  menjadi tarikan utama, manakala bahagian era lewat 1960-an dan 1970-an pula sarat dengan pelbagai komik serius, fantasi ringan, cerita rakyat, jenaka, sains fiksyen, pengembaraan, raksasa dan adiwira.

Artikel Sebelum

Siput & Kerang Serang Kedah

Artikel Berikut

Artikel Lain