suria

Mamu Popia Basah

PELUANG menikmati makanan tradisi dengan mengekalkan cara penyediaan asli menggunakan resipi turun temurun tentunya sesuatu yang sukar ditolak.

Dikenali sebagai syurga makanan dan destinasi pelancongan rantau ini, Pulau Mutiara sememangnya sarat dengan pelbagai menu yang mampu menarik perhatian ramai.

Salah satu hidangan tradisi Pulau Pinang adalah popia basah yang dihasilkan menggunakan tepung untuk menghasilkan kulit popia, ubi sengkuang, telur, bawang goreng dan udang kertas, ditambah dengan kuah istimewa untuk menaikkan selera menggunakan senduk kayu.

Bagi Noor Muhammad yang telah 40 tahun berniaga popia, kereta roda tiga yang digunakan bagaikan sesuatu yang begitu berharga buat dirinya dan keluarga.

Berusia 69 tahun, bapa kepada empat anak itu selesa menguruskan perniagaan setiap hari.

"Nak niaga ni kena sabar, budak-budak muda sekarang susah nak sabar," katanya yang mesra disapa 'mamu' sambil tangannya begitu cekap menyiapkan tempahan popia basah.

Popia yang dijual pada harga RM1.20 setiap satu itu begitu pantas digulungnya sebelum dipotong dan disapu kuah sambal hasil resipi warisan itu.

Lebih menariknya, peniaga yang beroperasi di Jalan Perak, George Town berhampiran Masjid Hashim Yahya itu turut memberikan air rebusan sengkuang untuk menambahkan kelazatan popia itu.

Bagi yang ingin merasai keenakan popia basah asli Pulau Pinang, panjangkan langkah meninjau negeri yang penuh dengan kepelbagaian hidangan itu dan bagi penggemar popia, Mamu sentiasa setia dengan kereta roda tiganya.

Popia Basah, Pulau Pinang

Artikel Sebelum

Dikerumun Kerana Ayam RM1

Artikel Berikut

Artikel Lain