UMPAMA bumi dan langit. Agaknya itulah perumpamaan yang tepat bagi menggambarkan pertembungan budaya antara komuniti Norway dan masyarakat Melayu. Sifat semulajadi penduduk Norway yang begitu menjaga privasi dan suka mengasingkan diri daripada orang yang tidak dikenali adalah berlawanan dengan budaya masyarakat di rantau ini. Baru-baru ini penulis berkesempatan bertemu dengan keluarga Viking yang berkampung hampir tiga minggu di Kampung Binjai, Jerantut untuk menikmati pengalaman kali pertama menyambut Aidilfitri. Keluarga Viking menikmati lemang dan rendang yang siap dimasak untuk majlis rumah terbuka pada sebelah malam. Vivian Oestreich Bakke, 45, yang berasal dari Bergen berkunjung ke Malaysia bersama suami, dua anak kembar dan ibu bapanya sudah lama berhasrat untuk melihat sendiri keunikan adat ketimuran yang ada di negara ini. "Daniel (adik lelaki Vivian) memberitahu bahawa ramai orang yang akan datang pada majlis rumah terbuka. Tetapi, saya terkejut dan langsung tidak jangka ia seramai ini. "Orang Norway tidak menjemput orang luar atau yang baru dikenali datang ke rumah, apa lagi mengajak mereka tinggal bersama untuk beberapa hari. "Keluarga mentua Daniel di sini juga mengambil masa sehingga enam jam untuk membuat dodol, saya rasa ia sedikit 'menakutkan'," ujarnya ketika ditemui baru-baru ini. Sehari sebelum majlis rumah terbuka yang dianjurkan keluarga adik iparnya, Ardiana Abdul Azam, Vivian dan ahli keluarganya tidak melepaskan peluang belajar menyediakan pelbagai juadah hari raya. Antara hidangan yang disediakan adalah lemang, rendang dan sate ayam. "Selepas habis jamuan, tiba-tiba semua tetamu hilang. Di Norway, kami akan makan dan berbual bermula pada waktu petang sehingga awal pagi terutamanya pada sambutan tahun baru. "Bagi keluarga kami, cukup saya, suami dan anak-anak yang meraikannya di rumah. Sebaik masuk malam tahun baru, kami akan keluar melawat rumah kawan-kawan yang tinggal berdekatan pula," kata Vivian kepada mStar Online. Ibu kepada Maria dan Stina, 13, itu berkata, dia menggemari sate ayam, lemang dan rendang daging, namun mengakui tidak sabar untuk menyediakan semua juadah itu selama berjam-jam. Bapa Vivian, Jarle Garmann Oestreich mencuba pengalaman mengacau dodol pada malam sebelum majlis rumah terbuka berlangsung. Tambahnya, selepas melihat kemesraan penduduk setempat dan kemeriahan sambutan Aidilfitri di kampung tersebut, Vivian akhirnya memahami mengapa adik iparnya itu begitu mencintai kampung halamannya. Dalam pada itu, Vivian memberitahu mStar Online, mereka sekeluarga turut berkunjung ke beberapa destinasi menarik seperti Bandaraya Melaka, Pulau Tioman, Taman Negara dan Kuala Lumpur sepanjang bercuti di negara ini.