suria

Bangga Bergelar Anak 'Pomen' Kasut

DUDUK di kaki lima membaiki kasut adalah aktiviti yang akan dilakukan seorang pemuda yang juga anggota tentera Laut Diraja Malaysia (TDLM) setiap kali pulang bercuti di tempat kelahirannya di bandar ini.

Ikhwanul Muslim Trisna, 24, yang juga anak sulung dari tiga beradik ini tidak pernah menganggap jadi tukang baiki kasut satu perkara yang memalukan, malah dia bangga dibesarkan dengan hasil titik peluh bapanya yang melakukan pekerjaan itu.

Menurutnya, tiada istilah melepak dalam kamus hidupnya dan sejak zaman remaja apabila ada kelapangan dia akan membantu bapanya membaiki kasut, termasuk selepas pulang sekolah ketika di sekolah menengah.

Biarpun segelintir orang memandang sinis pekerjaan itu, namun Ikhwanul menganggap ia satu pekerjaan yang murni apabila dapat membantu orang dengan kemahiran yang tidak ramai memilikinya.

“Saya tak pernah malu baiki kasut, walaupun dah ada pekerjaan tetap namun saya tak akan melupakan pekerjaan ini kerana saya dibesarkan dengan melihat ayah membaiki kasut.

“Mungkin ramai yang menganggap ia satu kemahiran yang mudah, namun tangan sering luka tercucuk jarum tapi saya tetap menggemarinya,” katanya yang menjawat jawatan sebagai Laskar Kelas Satu TMK TLDM.

Ikhwanul yang menetap di Lumut, Perak berkata, kemahiran dimiliki itu juga memberi ruang dan peluang untuknya membantu rakan-rakannya dengan mengambil bayaran separuh daripada harga biasa, selain menjadikan aktiviti terisi ketika di atas kapal.

“Kehidupan saya susah masa kecil, dengan keadaan ayah yang terpaksa berpindah-randah baiki kasut di kaki lima sebelum dia dapat kedai Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) di Alor Gajah Sentral membuatkan saya nekad ubah nasib keluarga.

“Kesusahan yang dilalui saya membuatkan saya tak lupa asal-usul dan tak malu mengaku ayah bekerja sebagai tukang baiki kasut.

“Yang saya banggakan ayah bukan saja membesarkan kami dengan wang membaiki kasut, malah sentiasa menekankan pendidikan dan agama,” katanya.

PAHA PERNAH TERKOYAK

Ikhwanul mengakui dia mula meminati kemahiran membaiki kasut ketika berumur 12 tahun, dengan sering mencuri jarum serta benang ayahnya dan belajar menjahit sendiri di dalam bilik.

Bagaimanapun, perbuatannya itu akhirnya terbongkar setelah pahanya terkoyak ketika cuba memotong tapak kasut menggunakan pisau.

Setelah menyedari minatnya itu, katanya, ayahnya kemudian mengajarnya teknik menjahit, membaiki tapak dan sebagainya.

Keluarga bahagianya yang sentiasa menyokong dan memberi semangat padanya.

“Biasanya kasut but serta kasut yang kulit keras agak cerewet untuk dibaiki, tapi kasut yang agak reput juga memerlukan kesabaran tinggi dan lebih berhati-hati agar kos baikinya tak terlalu tinggi,” katanya.

KREATIF CIPTA MUTIARA KATA

Selain boleh membaiki kasut sejak 23 tahun lalu, ayah Ikhwanul, Trisna Sumarno, 60, turut kreatif menghasilkan mutiara kata yang dipaparkan di dinding kedainya, sekali gus menarik perhatian sesiapa sahaja yang datang ke situ.

Dia yang lebih dikenali sebagai Pak Din berkata, kata-kata itu adalah ilham darinya sendiri, dan akan menulis setiap kali idea itu terlintas di fikiran termasuk ketika membaiki kasut untuk memberi motivasi padanya serta orang lain.

Menurutnya, apa dilakukan sebagai unsur nasihat yang diharapkan dapat memberi kesan di hati orang yang membacanya.

“Sejak bekerja sebagai tukang kasut, ramai orang saya temui termasuk pelanggan yang terdiri daripada pelbagai latar belakang dan peringkat umur.

“Saya menulis kata-kata tu untuk kita sama-sama berpesan dan mengingatkan agar kita sentiasa hidup dengan mengamalkan nilai murni serta memotivasikan diri,” katanya.

Tambahnya, pekerjaan itu biarpun tidak perlu memiliki sijil kemahiran, namun seiring peredaran masa dia kini mampu memperoleh pendapat lumayan sehingga mencecah RM5,000 hingga RM6,000 sebulan.

“Berbeza dulu kehidupan dan upah kasut terlalu kecil jika dibandingkan sekarang. Wang yang saya dapat ni saya berikan pendidikan kepada anak-anak termasuk seorang yang belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) serta lepasan Politeknik Port Dickson,” katanya.- Sinar Harian

TLDM, Ikhwanul Muslim Trisna

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain