KELIBAT seorang wanita bertubuh kecil dan berkulit kuning langsat menolak troli berisi barangan jualan dengan ditemani empat ekor kucing sering kelihatan berlegar di daerah ini. Malah, gambar wanita yang berusia 55 tahun yang menjual patung permainan kanak-kanak ‘Tom Cat’ dengan gelagat bermain dengan kucing kesayangannya di Pantai Teluk Chempedak mencuit hati pengunjung di pusat peranginan itu sehingga tular di laman Facebook beberapa hari lalu. Siti Endon Ismail yang berasal dari Kemaman, Terengganu mendapat perhatian dari netizen selepas posting mengenai dirinya diuar-uarkan dan ramai yang prihatin mengambil kesempatan menemuinya serta turut menghulurkan sedekah kepada wanita terbabit. Seawal jam 8 pagi, wanita itu akan menolak troli berisi barangan jualannya dengan ditemani empat ekor kucing kesayangan akan berada di sekitar Pantai Teluk Chempedak menunggu pelanggan. “Makcik akan berada di sini sepanjang hari untuk jual barangan permainan dan barangan kucing. “Bila dah lewat malam dan tiada lagi pengunjung di kawasan ini, barulah makcik cari tempat untuk berehat,” katanya ketika ditemui di Pantai Teluk Chempedak di sini, semalam. Terpaksa hidup gelandangan Siti Endon berkata, itulah rutin yang dilaluinya selepas berhijrah ke sini dan hidup sebatang kara serta bergelandangan sejak beberapa tahun lalu. Menurutnya, dia tidak pernah minta untuk hidup begini, namun disebabkan desakan hidup memaksa dia hidup bergelandangan. “Sebelum ini, makcik pernah sewa bilik di sebuah bangunan rumah kedai di Jalan Beserah di sini, tapi ada kejadian yang buruk berlaku apabila bilik makcik hampir di pecah masuk pencuri. “Selepas kejadian tu makcik trauma untuk terus tinggal di situ. Sebulan makcik bayar sewa RM230. Tapi tempatnya tak selamat jadi makcik tak mahu dah tinggal di situ,” katanya. Jelasnya, selepas selesai berniaga kebiasaannya dia akan mencari tempat untuk beristirehat. “Biasanya makcik pilih surau atau kaki lima restoran segera berdekatan untuk dijadikan tempat makcik melelapkan mata,” katanya ringkas. Pengunjung turut meluangkan masa untuk bermain dengan kucing milik Siti Endon. Teruskan hidup dengan berniaga kecil-kecilan Siti Endon memberitahu, dia bukan tak mahu bekerja makan gaji, tetapi dia lebih bimbang akan kucing-kucingnya yang tiada siapa yang menguruskannya. Jelasnya, sekiranya dia bekerja, kemungkinan dia perlu berada di tempat kerja kira-kira tujuh hingga lapan jam sehari. Atas alasan itu, Siti Endon mengambil keputusan untuk menjual barangan berkaitan dengan kucing bagi menampung kehidupan sehari-harinya. Menurutnya lagi, dia pernah berkahwin dan mempunyai empat anak, namun terputus hubungan dengan mereka selepas bercerai kira-kira 10 tahun lalu. Selain berniaga di Teluk Chempedak dia juga berulang-alik berniaga di beberapa tempat lain di daerah ini. “Kadang-kadang makcik berniaga di Taman Kerang dan Esplanade Benteng. Tapi makcik lebih suka berada di Teluk Chempedak kerana ramai orang. “Hasil jualan memang tak banyak, namun ada pengunjung yang baik hati beri sedekah atau beri kucing makcik makan terutama pelancong asing,” katanya yang berhijrah ke negeri ini selepas kematian abangnya beberapa tahun lalu. Ditanya mengenai bantuan yang diterima, Siti Endon memaklumkan dia penerima bantuan daripada Pusat Urusan Zakat Terengganu (Maidam) sebanyak RM300 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM150 sebulan. Kutip kucing jalanan untuk dipelihara Walaupun hidup serba kekurangan, namun sifat cintakan dan sayangkan kucing dalam dirinya mendorong mengutip kucing jalanan untuk dipelihara. Haiwan manja itu akan dibawa ke mana sahaja bersamanya pada setiap masa, selain memastikan kucing-kucingnya berada dalam keadaan sihat dan bersih. “Kucing-kucing inilah jadi peneman dan penghibur hati makcik. Malah orang ramai juga gemar bermain dengannya sewaktu berniaga terutama kanak-kanak dan peminat kucing,” katanya. Dia turut berhasrat untuk membina taman kucing sekiranya ada individu yang sudi memberi peluang untuk dia menguruskan haiwan tersebut. - Sinar Harian