suria

Jam Tangan Rakam Detik 60 Tahun Merdeka

Meer Sadik Habib bersama jam tangan edisi terhad Ice Merdeka. Foto NORAFIFI EHSAN

IMEJ ikonik Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj mengangkat tangan melaungkan kata-kata keramat ‘Merdeka’ bagaikan sebati dalam jiwa rakyat Malaysia.

Walaupun sekadar video dan gambar hitam putih, laungan Bapa Kemerdekaan ini sentiasa terngiang-ngiang di telinga sesiapa sahaja tanpa mengira umur, latar belakang dan generasi.

Figuranya yang berpakaian baju Melayu serba hitam lengkap bersampin dan tengkolok ini membangkitkan semangat patriotisme dalam diri masing-masing.

Tarikh 31 Ogos 1957 merupakan hari kemerdekaan buat Malaysia dan sehingga kini pelbagai cara dilakukan bagi mengenang detik bersejarah itu.

Bagaikan menyusuri mesin masa, Ice Watch Malaysia memperkenalkan koleksi jam tangan yang membawa pemakainya mengimbau kembali era kemerdekaan negara.

Jam tangan edisi terhad memaparkan imej ikonik Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj.

Pengerusi Ice Watch Malaysia, Datuk Seri Meer Sadik Habib berkata, tarikh keramat 31 Ogos 1957 itu merupakan detik penting dalam sejarah negara.

Seperti jam tangan, katanya, ia merupakan signifikan tentang masa yang merakamkan waktu setiap saat tetapi mengamit memori zaman berzaman.

Sehubungan itu, Ice Watch Malaysia memperkenalkan jam tangan edisi terhad dengan memilih detik bersejarah Tunku Abdul Rahman melaungkan kemerdekaan negara.

“Uniknya bukan sahaja pada paparan imej ikonik Bapa Kemerdekaan di permukaan jam tangan, malah angka 12 yang merujuk kepada 60 minit dan 60 saat ditukarkan kepada angka 60 sebagai lambang sambutan Jubli Berlian kemerdekaan negara tahun ini,” katanya kepada mStar Online.

Meer Sadik berkata, jika jam tangan tersebut dipakai lima tahun akan datang, ia masih menunjukkan angka 60 tetapi ingatan pemakai atau pemiliknya akan membangkitkan memori tentang signifikan 60 tahun kemerdekaan negara.

“Sebab itu ia sesuai menjadi koleksi peribadi, hadiah, cenderamata atau tanda kenang-kenangan,” katanya yang juga Pengarah Urusan Kumpulan Habib. 

Jam tangan edisi terhad ini hanya dijual sebanyak 1,957 unit.

Paparan imej siluet Tunku Abdul Rahman pada keluli tahan karat dan rekaan hitam, jam tangan edisi terhad ini membawa jiwa klasik tetapi elegan dan kontemporari.

Rekaan jam tangan Ice Merdeka juga ringkas kerana bagi Meer Sadik, rekaan dan artistik yang terbaik adalah gaya sederhana atau ‘simplicity’.

“Kita mahu jadikan jam tangan ini sebagai perakam detik bersejarah maka rekaannya perlu mudah untuk diingati yang tidak ditelan masa,” katanya yang turut memakai salah satu daripada jam edisi terhad Ice Merdeka.

Segak berbaju kot biru corak petak klasik dan kemeja putih, jam tangan yang dipakai kemas pada pergelangan tangan kiri tokoh perniagaan ini membawa signifikan tersendiri iaitu tarikh lahirnya, 16 Januari.

“Kita hanya mengeluarkan 1,957 unit sahaja khusus di pasaran Malaysia dengan setiap satu daripadanya diukir nombor siri di belakang jam pada permukaan keluli tahan karat. Sekarang anda dah tahu tarikh lahir saya!,” katanya secara berseloroh.

Ice Watch Malaysia buat pertama kali memperkenalkan edisi terhad berbanding sebelum koleksi dan edisi khas.

Meer Sadik berkata, 1,957 unit itu memberi gambaran kepada edisi terhad paling istimewa sinonim dengan tarikh kemerdekaan negara pada 1957.

“Buat pertama kalinya kita memperkenalkan edisi terhad berbanding jam tangan Ice Watch sebelum ini adalah edisi khas,” katanya. 

Sehubungan itu, beliau berharap jam tangan edisi terhad itu bakal menjadi koleksi yang besar dan paling bernilai buat penggemar aksesori itu.

“Bayangkan lima tahun akan datang, ada yang mahu membeli jam tangan ini, mereka akan tahu ia hanya dikeluarkan pada 2017 semasa negara menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-60. Jadi, harganya akan melonjak naik!,” kata Meer Sadik.

Beliau turut berharap jam tangan mewah mampu milik Ice Watch yang membawa ikonik Tunku Abdul Rahman itu dapat menanam semangat perpaduan dalam diri si pemakai untuk melihat Malaysia bukan sahaja sebagai negara berbilang kaum tetapi aman dan harmoni.

Jam tangan edisi terhad Ice Watch yang berkonsepkan minimalis dengan talinya diperbuat daripada kulit dijual pada harga RM699 seunit, boleh didapati di seluruh rangkaian Ice Watch seluruh negara.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain