suria

Tiada Hala Tuju Selepas Diberhentikan Kerja

Goh Chee Seng

KUALA LUMPUR: Hampir 40,000 rakyat Malaysia diberhentikan kerja pada 2016, menurut data yang dilaporkan kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Setakat Jun tahun ini, seramai 17,798 pekerja telah diberhentikan.

Bagaimanapun, ia hanyalah sejumlah kecil yang dilaporkan, dan dipercayai bilangan rakyat Malaysia yang kehilangan kerja adalah lebih tinggi.

Ini kerana banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) termasuk perusahaan mikro tidak menyedari keperluan untuk membuat laporan mengenai pengurangan pekerja kepada Jabatan Tenaga Kerja.

Salah seorang daripada ribuan pekerja yang terkesan akibat pengurangan pekerja itu adalah Goh Chee Seng, 50, yang bekerja di sebuah kilang membuat kabel di Shah Alam sebelum dia diberhentikan kerja bersama lebih 100 kakitangan yang lain.

Syarikat tersebut berdepan dengan pelbagai isu dan bertukar pengurusan beberapa kali sepanjang Chee Seng berkhidmat selama 29 tahun.

Keadaan semakin buruk selepas semua pekerja lambat dibayar gaji sejak September tahun lalu.

"Kami akan dapat gaji sebulan atau dua bulan lambat, dan ia berlaku sehingga Februari tahun ini.

"Keadaan kami tidak berapa baik dan dibayar gaji lewat hanya menyukarkan lagi tetapi selepas Februari, kami langsung tidak mendapat gaji selama tiga bulan," kata Chee Seng yang menyara keluarganya.

Dia turut menjaga ibunya yang berusia 86 tahun di rumah mereka di Kapar.

Mei lalu, syarikatnya memaklumkan kepada kakitangan mengenai tindakan untuk mengurangkan pekerja berikutan ia bakal diambil alih oleh pengurusan baharu.

"Mereka berjanji kepada kami untuk membayar tiga bulan gaji pada November tahun ini. Ia berlaku secara tiba-tiba tetapi tiada apa yang kami boleh lakukan. Kami tandatangan dan pergi.

"Kami bergelar penganggur dengan sekelip mata. Kami tiada punca pendapatan lain setiap bulan, jadi kami tak ada wang untuk makan dan bayar bil," kata Chee Seng.

Tambahnya, tiada seorang pun yang tampil untuk membantu atau sekurang-kurangnya memberi bantuan kewangan sementara atau mendapatkannya pekerjaan.

Chee Seng bernasib baik kerana dia berusia 50 tahun ke atas, membolehkannya untuk membuat pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meringankan bebannya.

Bagaimanapun apa yang membimbangkan Chee Seng adalah berapa lama simpanan KWSP itu dapat bertahan dan dia perlu mendapatkan pekerjaan secepat mungkin.

"Saya sering ditanya berapa umur saya setiap kali menghadiri temuduga atau membuat panggilan kepada syarikat untuk bertanyakan tentang kekosongan jawatan.

"Mereka berfikir dua kali untuk mengambil pekerja pada usia saya ini. Kebanyakan pekerja lain yang hilang kerja juga berumur 50-an.

"Saya masih sihat, berpengalaman dan boleh melakukan kerja dengan produktif," jelasnya.

Tambah Chee Seng, kebanyakan majikan memilih untuk menggaji pekerja asing terutama pekerjaan di kilang-kilang kerana golongan itu lebih mudah untuk diambil bekerja dengan gaji lebih rendah.

"Saya sangat tertekan dengan masa depan saya. Bagaimana saya nak terus sara keluarga?

"Ibu saya juga risau tentang saya dan sering bertanya bila saya akan kembali bekerja," kata Chee Seng.

Dia turut bimbang tekanan itu akan menjejaskan kesihatan ibunya yang uzur.

Chee Seng bersama rakan sekerjanya pergi mendapatkan bantuan dengan Kesatuan Pekerja Industri Elektrik, di bawah Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) yang mengaturkan sesi dialog bersama bekas majikan bagi memastikan gaji dan pampasan mereka akan dibayar seperti yang dijanjikan.

Namun dari segi bantuan kewangan segera, tiada apa yang boleh membantu Chee Seng.

Malah, dia juga bimbang bekas majikannya tidak membayar tunggakan gaji seperti yang dijanjikan.

Sebenarnya, lebih ramai yang mengalami nasib yang sama seperti Chee Seng, atau lebih buruk selepas diberhentikan kerja.

Walaupun terdapat syarikat yang memberhentikan pekerjanya akan membuat bayaran pampasan, tetapi ia biasanya mengambil masa berbulan-bulan, malah bertahun-tahun lamanya untuk mendapatkan bayaran tersebut.

Skim Insurans Pekerjaan (SIP) adalah berbeza di setiap negara, tetapi kebanyakannya mempunyai sistem yang terancang dalam menyediakan bantuan kewangan sementara kepada mereka yang diberhentikan kerja.

SIP, insurans

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kenali Gadis Melayu Pulau Jeju

Artikel Lain