suria

Kembara 'Rumah Hantu' Di Sunway Lagoon

Alami suasana menyeramkan sempena Nights of Fright di Sunway Lagoon setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad sehingga 31 Oktober ini.

PETALING JAYA: Lapan roller coaster dalam satu taman tema mungkin biasa tapi tidak untuk lapan 'rumah hantu', masing-masing memberikan pengalaman misteri dan mencabar.

Hiburan bertemakan 'Nights of Fright 5' (NOF5) di taman tema Sunway Lagoon ini akan memberi peluang kepada pengunjung untuk mengembara menerusi lapan tarikan 'berhantu'.

Kita sering dimomokkan dengan filem seram mahupun kisah tular mengenai hospital yang ditinggalkan yang akhirnya menjadi bangunan berhantu.

Antara karakter yang akan menghantui pengunjung di 'Dystopia Hospital Hell'.

Menerusi 'Dystopia Hospital Hell', anda akan merasai sendiri pengalaman melihat 'pesakit' meraung kesakitan, dan jeritannya mungkin membuatkan anda meremang bulu roma.

Dengan memakai kaca mata tiga dimensi (3D), deria penglihatan akan menjadi titik utama sepanjang laluan di dalam 'Day of The Dead 3D'.

Sukar untuk membezakan sama ada 'sesuatu' yang melintas di hadapan atau mengintai anda itu sekadar imaginasi atau realiti, dan ketidakpastian itu sekali lagi menimbulkan rasa seram.

Imaginasi atau realiti yang meremangkan bulu roma.

Anda mungkin beranggapan bahawa tarikan 'Zombie Apocalypse' akan memberi pengalaman dikejar zombi tetapi sebenarnya tidak.

Namun kemunculannya atau sekadar kelibat yang tidak disangka-sangka itu mampu membuatkan anda kecut perut.

'Horrorwood Studios' dan 'The Ghosbuster Adventure Live' pula menghimpunkan pelbagai jenis dan karakter hantu yang menguji ketahanan adrenalin anda.

Rumah hantu 'Ouija' pasti menjadi tumpuan kerana permainan misteri itu sering dipertontonkan dalam filem-filem seram.

Sekumpulan zombi 'mengganas'.

Suasananya mungkin menyeramkan tetapi perjalanan yang terlalu singkat dan beberapa kali perlu berhenti secara mengejut boleh membuatkan pengunjung anti klimaks.

Berjalan secara berkumpulan dengan masing-masing perlu memegang tali yang sama dalam suasana gelap dengan persekitaran yang menyeramkan bukan sesuatu yang mudah.

Tapi itulah cabaran yang terpaksa ditempuhi apabila menyusuri 'Island of The Dolls', pulau yang dikelilingi hutan dan anak patung, lebih-lebih lagi dengan kejutan yang bakal menanti.

'Budak perempuan' di kepulauan anak patung'.

Rumah hantu 'Pontianak vs Pocong' membuatkan anda terpaku dari permulaan sehingga ke penghabisan cerita.

Tumpuan anda adalah menyusuri dari satu babak ke satu babak tanpa disedari, dan anda sebenarnya diperhatikan. Sesuatu bakal berlaku di 'penghujung jalan' tapi sukar untuk dijangkakan.

Kemunculannya dalam Pocong vs Pontianak.

Bila menyaksikan sendiri ada yang terduduk dalam keadaan terkejut, anda akan terfikir bahawa mereka yang nampak gagah tidak menjanjikan dirinya juga berjiwa kental.

Kesemua rumah hantu ini merupakan tarikan utama bagi NOF5 yang bermula dari pukul 7.30 malam sehingga 11.30malam, setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad, sehingga 29 Oktober ini, termasuk 31 Oktober.

Selain itu, ia turut mempunyai lima zon 'takut', 11 permainan dan empat pertunjukan pentas.

Bagaimanapun NOF5 dengan tiket masuk berharga RM64 ini hanya untuk mereka yang berumur 12 tahun ke atas.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Keringat Wanita Waja

Artikel Lain