suria

Baju Melayu Teluk Belanga serlah identiti Bangsa Johor

JOHOR BAHRU: Ramadan baru menjelma dan kini umat Islam mula meluangkan masa bagi menjalani ibadah puasa, selain membuat persiapan Aidilfiti.

Bagi kalangan lelaki Bangsa Johor, tentu sekali sinonim dengan baju Melayu Teluk Belanga yang menjadi pilihan untuk digayakan pada pagi raya nanti.

Hijau tentera, rona keemasan, biru diraja dan kuning biji sawi atau mustard dikatakan antara yang popular untuk Aidilfitri ini.

"Majoriti Melayu di Johor masih memilih baju Melayu Teluk Belanga di mana kelim dijahit dengan tangan dan hanya kelepet atau lipatan sahaja yang menggunakan mesin bagi memastikan kekemasan busana itu.

"Paling sukar adalah untuk memotong bahagian leher yang dipanggil bulan dan menjahit tulang belut dan itulah keistimewaan pada baju Melayu Teluk Belanga," kata pemilik Teluk Belanga Design, Jamil Sukaimi.

Baju Melayu Teluk Belanga dipakai dengan hanya satu butang yang dikenali sebagai sebuku garam, berbeza dengan gaya cekak musang yang lengkap dengan tiga atau lima butang.

Katanya, setiap tahun tempahan bukan sahaja dalam kalangan penduduk Johor, malahan juga dari negeri lain hingga negara jiran seperti Singapura dan Riau.

Premis yang beroperasi di Danga City Mall itu juga menerima tempahan kerabat diraja termasuk Sultan Johor, Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Iskandar, Menteri Besar, Datuk Osman Sapian dan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta ahli politik lain.

Mengikut fakta sejarah, baju Melayu Teluk Belanga adalah hasil rekaan Sultan Abu Bakar Ibni Temenggong Daeng Ibrahim sempena perubahan lokasi pentadbiran Johor pada 1866 dari Teluk Belanga di Singapura ke Tanjung Puteri yang ketika ini dikenali sebagai Johor Bahru

Sultan Abu Bakar adalah moyang kepada Sultan Johor sekarang dan turut mendapat jolokan sebagai Bapa Pemodenan Johor.




Teluk Belanga, Sultan Johor, Jamil

Artikel Sebelum

Artikel Lain