suria

PASIR MAS: Seorang pemandu Grab sanggup membelanjakan wang saku miliknya semata-mata mahu menyediakan perkhidmatan pengangkutan percuma kepada golongan asnaf dan kurang bernasib baik di sekitar jajahan ini untuk ke mana-mana destinasi.

Ezuan Hadi, 40, berkata, perkhidmatan kereta percuma itu bermula sejak 1 Ramadan lalu bertujuan meringankan beban dan memudahkan golongan berkenaan untuk ke satu-satu destinasi.

Menurutnya, dia berbuat demikian selepas tersentuh dengan kesusahan seorang warga emas yang terpaksa berpanas lebih dua jam untuk mendapatkan perkhidmatan teksi.

“Ketika itu saya sedang mengambil dua penumpang yang merupakan pelajar sekolah di Kampung Tal Tujoh.

“Tiba-tiba datang seorang warga emas bertanya adakah saya pemandu kereta plate (prebet sapu). Saya beritahu warga emas berkenaan ini perkhidmatan Grab,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Pauh di sini.

Ezuan berkata, warga emas itu kemudian merayu kepadanya supaya menghantarnya pulang selepas lebih dua jam berpanas.

Ezuan bersama salah seorang penumpang yang cacat penglihatan.

Katanya, setelah mendapat persetujuan daripada dua penumpangnya sebelum itu, dia menghantar warga emas berkenaan pulang ke rumahnya di Kampung Padang Embun, Tendong.

"Apa yang membuatkan saya tersentuh apabila mendapati warga emas itu hidup dalam keadaan daif.

“Bertitik tolak dari situlah saya nekad untuk menggerakkan perkhidmatan kereta percuma kepada golongan yang kurang berkemampuan," katanya.

Menurut Ezuan, dia turut merekodkan setiap pengguna yang menggunakan perkhidmatannya bagi memudahkan penyaluran bantuan pada masa akan datang.

“Kebanyakan pengguna perkhidmatan ini adalah golongan yang memerlukan,” katanya.

Golongan yang kurang berkemampuan boleh menghubungi Ezuan di talian 016-5877788.-SinarHarian

Ezuan, Grab, asnaf

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain