KATA lengkung dan lingkung hampir sama saja bunyinya dan kerap diertikan sama oleh sebilangan orang. Namun, kedua-dua patah kata itu sebenarnya mempunyai erti yang berlainan.
Kata lengkung bererti "keluk atau sesuatu yang berkeluk seperti busur panah", misalnya lengkung jambatan, lengkung langit dan sebagainya. Daripada kata lengkung timbullah kata melengkung yang bererti "berkeluk seperti atau berbentuk seperti busur".
Contohnya, terdapat pada ungkapan alisnya melengkung. Kemudian ada juga kata melengkungkan yang bererti "kerja menjadikan sesuatu supaya melengkung". Kata lengkungan pula bererti "bidang atau sisi yang melengkung".
Sementara itu, kata lingkung bererti "sekeliling, sekitar atau seluruh suatu lingkaran". Daripada kata itu timbul kata melingkungi yang bererti "mengelilingi", "melingkari", "mengurungi", dan "meliputi". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:
1. Pagar buluh melingkungi rumahnya.
2. Kain bersulam melingkungi lukisan itu.
3. Bintang melingkungi bulan.
4. Barisan Nasional melingkungi beberapa parti politik.
Kemudian, ada juga kata terlingkung yang bererti "termasuk dalam daerah kekuasaan dan sebagainya". Contohnya:
5. Malaysia terlingkung dalam Asia Tenggara.
Kata lingkungan pula bererti "bulatan yang melingkari sesuatu", "kalangan", "sekalian yang termasuk dalam sesuatu daerah atau kekuasaan". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:
6. Hal ini di luar lingkungan kuasa saya.
7. Perebutan kuasa berlaku dalam lingkungan parti itu sendiri.
8. Ia termasuk dalam lingkungan orang yang taat.
Sekarang, perhatikanlah contoh lain penggunaan kata yang tepat berkaitan dengan kata yang sedang kita bincangkan:
1. Bentuk lengkung menjadi pilihan pemilik rumah sekarang ini.
2. Apabila terkena panas, logam itu pun mengembang lalu melengkung.
3. Bangunan besar itu dilingkungi pagar berduri.
4. Pulau Jawa terlingkung dalam Kepulauan Indonesia.
5. Lengkungan pelangi yang beraneka warna amat menakjubkan.
6. Rotan harus dipanaskan supaya mudah dilengkungkan.
7. Para penonton melingkungi pertunjukan silap mata itu.
8. Tasik yang indah itu kelihatan seakan-akan suatu lengkunga apabila dilihat dari udara.
Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.