KEDUA-DUA patah kata - pojok dan pujuk - kadangkala mengelirukan pengguna bahasa disebabkan bentuk dan sebutannya hampir-hampir sama. Namun, maknanya lain sama sekali.
Kata pojok bererti "sudut" atau "penjuru", dan dapat juga bererti "ruang di sudut akhbar yang berisi karangan pendek yang lucu tetapi pedas". Contoh penggunaannya adalah seperti yang berikut ini:
1. Pemuda itu berdiam diri saja di pojok sana.
2. Di pojok dewan itu berkumpul beberapa orang yang mengira undi.
3. Penulis pojok dalam akhbar Utusan Melayu menggelar namanya Bajang.
Sehubungan dengan itu, orang yang menulis atau mengucapkan ayatayat tersebut sebagai Pemuda itu berdiam diri saja di pujuk sana; atau Di pujuk dewan itu berkumpul beberapa orang yang mengira undi; atau Penulis pujuk dalam akhbar Utusan Melayu menggelar namanya Bajang jelas telah terperangkap dalam kekeliruan yang dimaksudkan tadi.
Kata pujuk pula bererti "kata-kata manis untuk memikat hati atau untuk melembutkan hati seseorang". Oleh itu, kata tersebut dapat digunakan seperti yang berikut ini:
1. Pujuk rayunya menyebabkan saya serba salah.
2. Lina memujuk adiknya yang sedang menangis.
3. Ia sudah merajuk dan tidak mungkin dapat dipujuk lagi.
Sekarang, perhatikanlah beberapa contoh lain penggunaan kata yang tepat berkaitan dengan kedua-dua patah kata yang sedang kita bicarakan:
1. Orang itu seolah-olah mencuba menyisihkan dirinya duduk di pojok dewan.
2. Kerusi lama itu bolehlah kamu letakkan di pojok sana.
3. Janganlah mudah mengalah kerana dipujuk.
4. Dia memang terkenal sebagai orang yang pandai memujuk.
5. Biar dipujuk bagaimana sekalipun saya tidak akan tertarik.
6. Iklan sekarang lebih berupa pujukan.
7. Pojok dalam akhbar itu menarik minat membaca.
Sebagai renungan, anda mungkin dapat memujuk pembaca menerima pendapat anda melalui pojok yang anda tulis. Tetapi jangan pula menyisihkan diri di pojok kerana belum tentu ada orang yang akan memujuk anda.
Sumber: Awang Sariyan, 2008, Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar, Edisi Kedua, Petaling Jaya; Pearson Longman.
Ruangan ini diselenggarakan dengan kerjasama DBP.