suria

30 tahun berumah dalam beca usang, nyamuk pun ada... jejaka ikhlas hulur bantuan dikecam sebab bagi beras - “Dia duduk situ sejak saya belum lahir”

Paparan skrin video pertemuan Aiman dengan warga emas itu.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul bebanan.

Begitulah gambaran kehidupan seorang lelaki dipercayai berusia lingkungan 70 tahun yang hidup dalam sebuah beca di Kota Bharu, Kelantan.

Video mengenai kehidupan lelaki sebatang kara itu tular setelah dia menerima kunjungan seorang lelaki yang mahu menghulurkan bantuan pada Jumaat malam.

ARTIKEL BERKAITAN: “Penderhakaan yang tidak boleh dimaafkan, ada sebab tak lapor polis” - Uncle Kentang dedah kisah bapa malang... anak perempuan, teman lelaki jual kerusi roda elektrik

ARTIKEL BERKAITAN: peniaga jagung rabun kronik akui bahagia dapat jumpa Ustaz Ebit - “Pakcik ni tak nak apa-apa”

Menurut pemilik video, Muhammad Rofiqi Aiman Muhammad Rosid, 20, dia melalui platform kebajikan 'Prihatin Kelantan' yang diasaskannya sendiri pergi bertemu warga emas itu untuk memberi sumbangan makanan.

"Pakcik ni sebenarnya dah duduk dalam beca sejak saya belum lahir lagi. Mungkin dah lebih 30 tahun. Dari saya kecil dia dah ada.

"Mengikut kepada pertanyaan saya, dia kata ada anak. Tapi anaknya ada di Terengganu. Saya pun tak tanya lebih, takut orang kata tak sensitif.

Aiman bertemu lelaki itu pada Jumaat malam sebelum menyerahkan makanan dan minuman untuknya.

"Saya sedih tengok pakcik ni, dia kata kadang-kadang tak makan. Mengharapkan orang bagi je," ujarnya kepada mStar.

Mesra disapa Aiman, dia mengakui itu bukanlah pertemuan pertamanya dengan lelaki berkenaan.

Malah katanya, dua kali kunjungan untuk memberi sumbangan kepada warga emas itu turut disulami komen-komen jahat oleh segelintir netizen.

Dia kata nak duduk situ je. Saya pun tak mahu salahkan mana-mana pihak.

AIMAN

"Sebelum ni saya pernah bagi sumbangan seperti beras, biskut dan sebagainya. Netizen kecam kata saya tak berfikir.

"Ada yang kata kenapa bagi beras, tapi tak bagi duit? Biasalah bagi saya, ada yang komen baik, ada juga yang negatif," katanya lagi.

Menurut Aiman, dia juga ada mempelawa lelaki itu untuk mendiami sebuah rumah yang lebih besar dan selesa, namun ia ditolak.

Kata Aiman, dia sedih akan nasib menimpa lelaki itu dan ikhlas memberi bantuan untuknya.

"Dia duduk betul-betul dalam bandar Kota Bharu, tepi stesen bas. Saya pelawa dia untuk duduk di satu rumah, dia kata tak nak.

"Dia kata nak duduk situ je. Saya pun tak mahu salahkan mana-mana pihak," katanya lagi.

Tambah Aiman, dia juga percaya bahawa penarik beca itu sudah tidak mampu bekerja seperti biasa memandangkan keadaannya yang kini tidak bermaya.

Kata Aiman, dia turut menerima banyak mesej yang mahu menyalurkan bantuan kepada lelaki itu.

Aiman turut mempelawa lelaki itu untuk ditempatkan di sebuah kediaman, namun ia ditolak.

Namun katanya, dia enggan menerima wang secara terus ke akaun peribadi miliknya kerana bimbang timbul isu di kemudian hari.

Sebaliknya, dia mengalu-alukan jika ada mana-mana pihak yang mahu berjumpa sendiri dengan lelaki itu dan dia juga boleh membantu untuk membawa mereka ke lokasi tersebut.

Selain lelaki dalam beca itu, Aiman turut menyantuni lebih 20 gelandangan lain pada malam tersebut dengan menghulurkan bantuan berupa makanan dan minuman.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain