IBU bapa mana yang tidak terkejut melihatkan serbuk tepung bertaburan di lantai di ruang tamu rumah sekali gus menjadikan keadaan huru-hara. "Ketika saya rumah, saya nampak anak saya sedang bersuka ria meratakan tepung yang baru dibeli oleh isteri tengah hari tadi, di lantai. "Dengan mainan bersepah, TV menyala dengan suara kuat, tepung baru beli berterabur, memang huru-hara la," tulis Dr Kamarul Ariffin Nor Sadan di halaman Facebook beliau. ARTIKEL BERKAITAN: "Silap, 10 minit yang berharga tu saya lalai" - Kerana susu satu tin, isteri kursus 2 hari... rosak sofa 'dikerjakan' anak-anak ARTIKEL BERKAITAN: Tak jadi balik awal sebab nampak wanita kendong anak ketuk cermin klinik, rupa-rupanya ada sesuatu Allah nak tunjuk selepas doktor ini tolak jumpa jurujual susu formula Dengan nada tegas, beliau menegur, namun anak kecilnya terus berlari sambil ketawa sebelum melompat ke atas sofa dan menyembunyikan muka dengan bantal. Keadaan itu menyebabkan beliau terpaksa meninggikan suara sehingga anaknya menangis, sekali gus mengimbas kembali zaman kanak-kanaknya yang juga pernah dimarahi ibu kerana meratakan bedak di lantai supaya licin untuk bermain luncur ais (ice skating). Keadaan di ruang tamu yang turut dipenuhi permainan. Dr Kamarul berkata, ibu bapa merupakan satu-satunya tempat untuk kanak-kanak mendapat jagaan, diberi makan dan minum serta tempat tinggal. "Malah mereka jugalah satu-satunya tempat kita mengadu dan tagih kasih sayang. Tiba-tiba, orang yang jadi tempat kita bergantung tu, naikkan suara. Muka pun bengis. "Padahal kita tak pasti pun kenapa dia marah. Kita cuma nak berseronok. Tiba-tiba orang tu dah tak sayang kita. Saya teringat perasaan tu. "Rasa macam dunia ni runtuh. Macam hilang tempat bergantung. Kita tak ada rumah lain. Kita tak ada orang lain. Bila dijerkah, takutnya separuh mati. Sebab tu ada kanak-kanak sampai terkencing bila kena tengking," katanya. Walaupun dirinya bukan seorang yang baran dan hanya memerlukan beberapa saat untuk kembali bertenang, beliau mengakui tidak seharusnya memarahi anak sebegitu. Lantaran itu, beliau cepat-cepat memohon maaf dan memujuk anak perempuannya yang lebih mesra dengan panggilan Weena sehingga mengundang situasi sebak. "Lebih sebak bila dia cakap Weena nak buat kek untuk birthday Weena. Dia cakap sambil tersedu-sedu. Terus bergenang air mata saya. "Hari lahir dia dah dekat. Sejak sambutan hari lahir adik dia tempoh hari, dia kata dia nak buat kek hari lahir dia sendiri. "Memang beli tepung tu untuk buat kek untuk dia... buat kek dengan dia. Mungkin sebab itu, dia teruja keluarkan tepung lepas kami beli sebab dia ingat nak terus buat kek," ujar beliau yang berasa terkilan dan serba salah. Dr Kamarul berkongsi kisah berkaitan keibubapaan. Menurut Dr Kamarul, anak-anak kecil memang jarang membuat sesuatu dengan niat untuk menyakitkan hati ibu bapa. "Kalau kita tegur dan mereka tak ambil peduli, biasanya itu cara kita tegur tu tak efektif. Tak efektif tu contohnya; kita beri amaran akan hukum dia kalau dia lakukan sesuatu yang salah, tetapi bila mereka buat salah tu, kita tak hukum pun. "Kalau awak tak makan, tak boleh tengok TV hari ni, kata kita. Tapi bila anak tu tak makan, kita biarkan juga dia tengok TV hari tu. Lama-lama anak tu tahu amaran kita tu sekadar main-main je. Sebab itu mereka tak dengar. Mereka dah lali dengar amaran yang tak pernah ada tindakan. Perangai anak-anak adalah cerminan perangai kita. Baik kita, baiklah mereka. Sama-samalah kita ubah diri kita. DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN "Oleh sebab dia tak dengar, kita jadi marah, jadi baran. Lepas tu kita pun tengking dia sampai menangis ketakutan. Mungkin lepas tu dia takut nak buat kesalahan tu, tapi... dia pun akan buat balik apa kita buat. "Bila dia marah, dia akan tinggikan suara, melalak kuat-kuat, memukul (kalau kita jenis memukul) atau meragam lama-lama (kalau kita jenis membebel lama-lama). Dia janji, tapi dia tak laksanakan (sebab kita beri amaran, tapi tak laksanakan)," katanya. Perkongsian Dr Kamarul di Facebook. Sehubungan itu, Dr Kamarul menasihatkan ibu bapa supaya menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti anak-anak. "Kurangkan marah yang jenis agresif. Kurangkan membebel panjang. Beri amaran sekali, dia tak dengar terus laksanakan hukuman. Hukuman pun ikutlah kesesuaian umur. "Ingat! Perangai anak-anak adalah cerminan perangai kita. Baik kita, baiklah mereka. Sama-samalah kita ubah diri kita, InsyaAllah anak-anak akan turut berubah. Jangan marah mereka sampai berparut di dalam hati," katanya. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!