SIAPA tak gembira menerima bungkusan yang mengandungi barang yang dibeli secara dalam talian, lebih-lebih lagi penghantaran dibuat dari luar negara. Namun, timbul tanda tanya dalam diri seorang pemuda apabila menerima parcel tetapi yang tertera namanya yang 'panjang daripada biasa'. "Muhd Al Fateh Usyuk Asyam." ARTIKEL BERKAITAN: Remaja terkejut lihat baju raya impiannya selepas terima bungkusan jam 10 malam - "Saya rasa macam pontianak" ARTIKEL BERKAITAN: Bungkusan 'free gift' ada seluar dalam 'opah', kaki shopping online tak jadi nak teruja - "Ada ke orang nak beli?" Demikian nama tambahan penerima parcel itu menerusi sekeping foto yang dikongsikan di laman Twitter sehingga diulang kicau lebih 11,000 kali, merujuk kepada panggilan manja bagi 'Busuk Masam' yang kebiasaannya digunakan dalam kalangan ahli keluarga. Parcel yang dihantar dari China. Pemuda berkenaan yang nama sebenarnya Muhammad Al-Fateh Azmi berkata, parcel tersebut merupakan pengecaj bateri kamera yang dibeli secara dalam talian untuk dirinya. Namun, anak muda berusia 19 tahun itu memberitahu, dia meminta bantuan kakaknya untuk membuat pesanan kira-kira dua minggu lalu kerana masih berada di luar kawasan. "Saya minta bantuan kakak untuk beli online untuk terus hantar ke alamat rumah keluarga di Kuching, Sarawak kerana ketika itu saya masih di Semenanjung. "Tambahan pula kakak saya yang selalu membeli online, dapat memilih barang yang berkualiti dan dijual pada harga murah," katanya kepada mStar. Lebih mesra disapa Al-Fateh, dia pada mulanya tidak menyedari nama yang tertera parcel itu sehingga foto tersebut dihantar oleh kakaknya. Kakak Al-Fateh memberi isyarat 'busuk' merujuk pada nama tambahan di parcel. Pelajar di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan itu berkata, ini bukanlah pertama kali kakaknya yang berusia 22 tahun itu membuat gurauan atau prank pada dirinya. "Sebelum ini, banyak kali nama-nama pelik yang kakak letak atas nama saya sebagai penerima. Tapi kebiasaannya nama tambahan yang diletakkan adalah 'busuk'," ujar pelajar ijazah sarjana muda jurusan undang-undang itu. Biasanya dia yang tolong buat pembelian secara online untuk kami adik-beradik, jadi dia akan letak nama penerima yang pelik-pelik MUHAMMAD AL-FATEH AZMI Bagaimanapun kata Al-Fateh, hasrat kakaknya untuk membuat prank tidak kesampaian kerana dia tidak berada di rumah ketika penyerahan parcel dibuat. "Kakak beli online dua minggu lalu sebab dia tahu saya akan pulang ke Kuching minggu ini dan parcel diterima dari China, beberapa hari lepas. Tapi dia terlupa sekarang ni setiap orang yang masuk ke Sarawak perlu menjalani kuarantin wajib di pusat kuarantin yang ditetapkan terlebih dahulu. "Walaupun saya dah balik ke Kuching tapi saya tak terus pulang ke rumah kerana perlu menjalani kuarantin di hotel. Jadi prank tak menjadi, dan dia sendiri yang kena ambil daripada abang posmen," katanya yang merujuk kepada negeri Sarawak mengeluarkan arahan kuarantin wajib 14 hari itu sebagai langkah penularan Covid-19. Al-Fateh (kanan) bersama kakaknya yang suka mengusik. Menurut anak keempat daripada lima beradik itu, selain dirinya, kakaknya yang terkenal kerana suka menyakat itu turut gemar menjadikan adik-beradik lain sebagai 'mangsa'. "Bukan saya je jadi mangsa, kakak saya seorang lagi dan adik perempuan juga pernah kena setiap kali dapat barang atau bungkusan yang dihantar ke rumah. "Biasanya dia yang tolong buat pembelian secara online untuk kami adik-beradik, jadi dia akan letak nama penerima yang pelik-pelik. Dia memang suka bergurau," tambahnya. Walau bagaimanapun, dia memberitahu bahawa nama yang sengaja ditambah itu tidak menjadi isu besar kerana apa yang lebih penting adalah alamat penghantaran adalah betul dan lengkap. "Apa yang menjadi persoalan adalah parcel kami je ada nama 'busuk'. Tapi kalau parcel kakak sendiri, mesti dia letak nama tambahan 'cantik'... itu taktik dia nak suruh abang posmen panggil dia cantik bila parcel sampai ke rumah," ujarnya secara berseloroh. Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!