suria

Dah 3 bulan balik Malaysia, Ryzal Duriankimchi perjelas kenapa masih tak balik Kelantan selepas nikah di Korea Selatan - “Rindu nak cium tangan mama”

(gambar kiri) Ryzal (kanan) dan Maryam menangguhkan hasrat untuk pulang ke kampung di Kelantan. (gambar kanan) Ryzal merindui ibu di kampung. foto ihsan Ryzal Ibrahim

ORANG ramai khususnya yang menetap di zon merah dinasihatkan untuk tidak pulang ke kampung bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menasihatkan orang ramai untuk memberi kerjasama sekiranya tiada keperluan yang memaksa untuk mereka berbuat demikian.

Kerjasama orang ramai itu bertujuan untuk mengelakkan golongan berisiko seperti warga emas dan mempunyai penyakit kronik termasuk di zon hijau bebas daripada jangkitan itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Dikeji ketika live FB, pasangan Instafamous Malaysia-Korea buat laporan polis - "Tak sangka bila kami pulang ke sini, dia alami perkara sama"

ARTIKEL BERKAITAN: Sah! Jururawat dari Selangor balik kampung di Kelantan, akibatkan 4 positif Covid-19 - "Jaga-jaga kalau ada sesiapa balik dari zon merah"

Perkara ini turut diluahkan Instafamous pasangan suami-isteri Malaysia dan Korea Selatan yang popular dengan gelaran 'Duriankimchi'.

"Tolonglah rakan-rakan. Saya mahu berjumpa mak ayah sejak saya pulang ke Malaysia tiga bulan lepas. Saya tidak balik kampung untuk elak penularan wabak ini," tulis Nik Muhammad Ryzal Nik Ibrahim menerusi story di laman instagramnya.



Luahan Ryzal di laman sosial.

Nik Muhammad Ryzal, 28, berkata, dia dan isterinya, Maryam You Narae, 28, pulang ke tanah air awal September lalu sebelum menjalani kuarantin wajib selama 14 hari di sebuah hotel di Kuala Lumpur, yang merupakan pusat kuarantin wajib.

Pemuda berasal dari Kota Bharu, Kelantan itu memberitahu, dia pada mulanya berhasrat untuk pulang ke kampung sebaik selesai menjalani kuarantin wajib.

"Saya nak sangat balik kampung, tapi mesti nak duduk lama di kampung kan sebab dah lama tak balik. Namun, saya perlu menyelesaikan urusan pendaftaran perkahwinan kami di Kuala Lumpur terlebih dahulu sebab kami bernikah di Korea Selatan.

"Selepas selesai menjalani kuarantin pada 25 September, saya dan isteri perlu melakukan beberapa urusan kerja terlebih dahulu, dan kemudian uruskan pendaftaran perkahwinan kami," katanya kepada mStar.



Ryzal (kanan) dan Maryam pulang ke tanah air sejak awal September.

Ryzal berkata, urusan berkaitan pendaftaran tersebut mengambil masa sehinggalah kerajaan mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pada 14 Oktober lalu, susulan lonjakan kes Covid-19 di ketiga-tiga lokasi itu.

Dia yang menikahi Maryam di Korea Selatan pada Ogos 2019 berkata, pelaksanaan PKPB yang masih disambung sehingga kini tidak membolehkan mereka untuk merentas negeri tanpa kebenaran.

Lebih baik tak balik kampung buat masa ini, daripada menyebabkan hilang banyak nyawa... terutama orang yang kita sayang.

NIK MUHAMMAD RYZAL NIK IBRAHIM

"Kami boleh cuba minta kebenaran daripada pihak polis, tapi kami bimbang kerana berada di zon merah untuk pulang ke Kelantan," katanya sambil menambah dia dan isteri kini menetap di Kuala Lumpur.

Menurut anak sulung daripada lima beradik itu, kali terakhir dia pulang ke kampung adalah awal tahun lalu ketika negara belum dilanda pandemik Covid-19.



Ryzal dan isteri diraikan sebagai suami isteri di Korea Selatan. foto Facebook Ryzal Ibrahim

"Itu pun saya balik bersendirian tanpa Maryam. Saya dan Maryam pernah balik ke Kota Bharu pada Jun 2019, dua bulan sebelum kami berkahwin.

"Kasihan juga dengan mama (panggilan ibu) sebab dia tak dapat hadir tengok saya nikah di Korea Selatan, masa majlis resepsi pun dia tak dapat hadir.

"Kadang-kadang tu bila terlalu sibuk dengan kerja, saya boleh sebak sampai menangis bila tiba-tiba teringatkan mama di kampung. Rasa rindu sangat kat mama, perkara pertama yang saya nak buat bila balik kampung adalah cium tangan mama.

"Saya selalu berhubung dengan mama dan minta maaf sebab tak dapat balik kampung sekarang walaupun berada di Malaysia. Mama faham dan pesan jaga diri, sentiasa sihat dan selesaikan urusan penting (daftar nikah) dahulu," katanya sambil menambah ibunya berusia 46 tahun.

Sehubungan itu, Ryzal menasihatkan orang ramai supaya berfikir secara rasional dalam keadaan negara yang masih mencatatkan kes Covid-19 yang tinggi.

"Lebih baik tak balik kampung buat masa ini, daripada menyebabkan hilang banyak nyawa... terutama orang yang kita sayang. Kasihanilah juga frontliners yang tidak henti berjuang untuk kita semua," katanya.



Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain