suria

Geng Nicky: 12 pegawai kanan polis termasuk superintendan, SPRM jadi tali barut direman 28 hari

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

SERAMAI 12 pegawai kanan polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dipercayai menjadi tali barut kumpulan jenayah terancang 'Geng Nicky' berjaya diberkas.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, kesemua suspek ditahan dalam beberapa siri serbuan menerusi fasa dua Ops Pelican 3.0.

Ops Pelican 3.0 dilancarkan di sekitar Kuala Lumpur, Selangor, Melaka dan Negeri Sembilan bermula 21 April hingga pagi Selasa.

Kesemua suspek berusia antara 36 hingga 49 tahun itu ditahan dalam operasi yang dilakukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, ujarnya.

"Dua suspek yang bertugas di Bukit Aman ditahan melibatkan seorang superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan seorang inspektor yang bertugas di Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS).

"Empat pegawai dari kontinjen Selangor turut ditahan melibatkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, seorang pegawai cawangan khas berpangkat asisten superintendan dan dua inspektor yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah dan ketua polis balai," katanya dalam sidang akhbar khas di IPK Johor pada Selasa.

Sementara itu tangkapan di kontinjen Melaka pula melibatkan seorang pegawai berpangkat deputi superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah.

Dua pegawai berpangkat asisten superintendan yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Komersial dan Jabatan Siasatan Jenayah dari kontinjen Kuala Lumpur dan seorang inspektor yang bertugas di Pulapol Air Hitam di kontinjen Negeri Sembilan turut ditahan dalam operasi berkenaan.

"Dua orang pegawai SPRM yang berpangkat penolong pesuruhjaya dan penguasa juga ditahan untuk membantu siasatan," katanya.

Kesemua suspek kini direman selama 28 hari dan akan disiasat di bawah Seksyen 130V Kanun Keseksaan hingga Seksyen 130ZB Kanun Keseksaan Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan dan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Dengan tangkapan terbaharu itu menjadikan jumlah tangkapan keseluruhan membabitkan kes 'Geng Nicky' kini berjumlah 64 orang.

[Sertai fan club Telegram mStar Rojer. Kita boleh borak-borak DI SINI]

"Polis Johor akan terus menjalankan siasatan susulan untuk mengenalpasti saki baki mana-mana individu yang terlibat dengan 'Geng Nicky'," tegasnya. - SINAR HARIAN

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Artikel Lain