suria

Adik ipar Thaksin Perdana Menteri Thai Ke-26

BANGKOK: Somchai Wongsawat, bekas hakim dan adik ipar Perdana Menteri yang digulingkan Thaksin Shinawatra, hari ini dipilih sebagai Perdana Menteri ke-26 Thailand, yang keempat dalam tempoh tiga tahun.

Pemangku Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan itu memperoleh 298 undi untuk mengenepikan pemimpin Parti Demokrat Abhisit Vejjajiva yang mendapat 163 undi semasa pengundian di Parlimen manakala lima yang lain menarik diri. Dewan Perwakilan mempunyai 480 kerusi.

Speaker Dewan Chai Chidchob kemudian mengisytiharkan Somchai, yang dicalonkan oleh Parti Kuasa Rakyat (PPP) dan disokong oleh lima lagi parti dalam gabungan parti pemerintah itu, sebagai perdana menteri yang baru.

Somchai, 61, menggantikan Samak Sundaravej, yang hanya memegang jawatan itu selama tujuh bulan selepas kelayakannya dilucutkan oleh Mahkamah Perlembagaan kerana melanggar Perlembgaan dengan menjadi hos program masakan "Tasting and Grumbling" dan "All Set at 6a.m" semasa menjadi Perdana Menteri.

Samak cuba untuk membuat kemunculan semula tetapi ditolak oleh wakil rakyat partinya sendiri, memaksa sesi persidangan Parlimen pada Jumaat ditangguhkan berikutan tidak cukup korum. Samak tidak hadir semasa pengundian pada Rabu.

"Terima kasih kepada semua anggota Parlimen yang datang dan memilih saya sebagai perdana menteri hari ini dan terima kasih kepada semua yang telah mengundi saya dan memberikan kepercayaan kepada saya untuk menjadi perdana menteri Thailand yang ke-26. Saya akan lakukan yang terbaik," kata Somchai dalam ucapan ringkas, ketika beratus penyokong prokerajaan melaungkan namanya di luar bangunan Parlimen.

Ia merupakan laluan mudah bagi Somchai hari ini selepas berhari-hari berlaku pertikaman lidah dalam PPP berikutan 73 anggota Parlimen dari timur laut itu yang pada awalnya menyokong Samak, memilih Setiausaha Agung dan Menteri Kewangan Surapong Suebwonglee.

PPP dan rakan sekutunya mempunyai kira-kira 300 anggota Parlimen.

Kumpulan itu mengikrarkan sokongan mereka kepada Somchai semalam selepas berhari-hari berunding dan rayuan daripada Thaksin, dianggap peneraju sebenar PPP walaupun tinggal dalam buangan di London.

Somchai, yang berkahwin dengan adik Thaksin, Yaowapa, adalah lulusan undang-undang dari Universiti Thammasat dan pemegang ijazah sarjana Pentadbiran Awam dari National Institute of Development.

Beliau ialah Setiausaha Tetap di Kementerian Kehakiman semasa berlaku rampasan kuasa pada 19 September 2006 bagi menggulingkan Thaksin.

Somchai melepaskan jawatannya dan pertama kali menyertai Kabinet apabila PPP memenangi pilihan raya pada 23 Disember 2007.

Pemilihan beliau untuk memegang jawatan tertinggi politik negara itu berlaku beberapa minit sebelum Bahagian Jenayah bagi Pemegang Jawatan Politik, Mahkamah Agung menyampaikan penghakiman terhadap kes tanah Ratchadaphisek Bt772 juta melibatkan Thaksin dan isterinya Pojaman.

Berdasarkan keadaan negara yang kini dilanda krisis politik yang teruk, Somchai bakal berdepan tugas sukar untuk menyatukan masyarakat yang berpecah belah dan memulihkan pelaburan asing.

Hubungan kekeluargaan dengan Thaksin menjadikan tugasnya lebih getir.

Pergolakan politik di Thailand bermula sejak 26 Ogos lepas apabila beriburibu penunjuk perasaan di bawah pimpinan Pakatan Rakyat bagi Demokrasi (PAD) merampas Pejabat Perdana Menteri di Bangunan Kerajaan.

Tidak seperti perdana menteri sebelum ini yang memulakan tugas di Pejabat Perdana Menteri dan tanpa pejabat pada hari terakhirnya sebagai perdana menteri, Somchai tidak mendapat peluang memanaskan kerusi itu berikutan PAD masih berada dalam Bangunan Kerajaan, memaksa perdana menteri baru itu mentadbir negara dari pejabat sementara di Lapangan Terbang Don Mueng.

Artikel Sebelum

Artikel Lain