suria

Aditya: Bukan sekadar serangga perosak!

KETIKA industri hiburan Malaysia kecoh dengan cerita tentang artis yang berbogel dan beraksi mengghairahkan tersebar sehingga ke pelusuk kawasan melalui Internet yang dikenali tidak berbatas, tiada banyak tindakan susulan oleh pihak berwajib termasuk persatuan yang menaungi artis.

Tidak perlu bercakap tentang role model kerana ada sesetengah artis tidak suka status itu dilabelkan kepada mereka walaupun secara tradisinya, role model dan mereka yang menjadi perhatian masyarakat adalah sinonim. Biarpun mereka tidak suka tetapi masyarakat tetap dengan melihat label teladan terhadap golongan artis.

Aditya di sini bukan berniat menghukum sesiapa tetapi pandangan seperti ini dirasakan perlu ditampilkan selalu memandangkan kemodenan dunia hari ini bagaikan tidak mempeduli sangat perangai-perangai terlampau seseorang artis atau selebriti yang menjadi tumpuan mata masyarakat.

Keterlampauan aksi tidak masuk akal golongan artis semakin menjadi-jadi. Antara mereka yang tidak segan silu mengakui yang mereka terlibat di dalam aktiviti yang amat bercanggah dengan moral manusia dan agama Islam itu. Lebih memalukan ia dilakukan oleh artis yang berstatus Islam.

Malangnya tiada tindakan atau setidak-tidaknya teguran sehingga mereka sedar dilakukan. Bukan sekali tetapi sudah banyak kali kita dikejutkan dengan kes-kes terlampau ini. Masih ingat kes yang membabitkan salah seorang anggota kumpulan rap popular dengan seorang anggota kumpulan vokal wanita?

Biarpun kes itu sudah ‘tenggelam’ tetapi masyarakat masih membabitkan sejarah itu setiap kali bercakap isu yang berkaitan.

Bagaimanapun tiada pengakuan bersalah dibuat tetapi sekarang ada artis yang terang-terangan mengatakan kesilapan mereka. Inilah moral yang harus kita bangkitkan di dalam persoalan dunia hari ini kerana mereka seolah-olah mengakui kesilapan hanya pada dada media. Sedangkan mereka tetap dengan kerenah terlampau itu sebab ‘dunia sudah moden’.

Selalu juga orang kata yang industri kita sudah jadi macam Hollywood. Bukan kerana kehebatan lakonan atau persembahan anak seni kita yang setanding dengan kewibawaan bakat mereka tetapi perbandingan dan persamaan itu dilakukan berdasarkan cara artis kita menampilkan diri. Kadang-kadang mengalahkah artis di sana yang kita tahu berduit.

Bagaimanapun dalam soal perbandingan ini, Aditya sebenarnya lebih menjurus kepada topik perangai artis kita yang tidak senonoh dan memalukan industri keseluruhan. Dek kerana nila setitik dua ini, rosak susu setangki.

Bukan orang tidak bercakap tentang hal ini, malah berbuih tetapi segolongan artis ini gagah dengan pendirian masing-masing kerana itu cara hidup mereka – berpeleseran di kelab-kelab hiburan, arak bagaikan air mineral, soal teruna dara tidak dipedulikan dan tidak segan silu untuk merakam aksi lucah mereka yang kemudiannya dengan bangga ditayangkan kepada rakan-rakan yang selepas itu kita tahu natijah buruk yang mampu disalah laku daripada kemajuan teknologi semasa.

Aditya tidak rasa, sesetengah artis ini insaf dan bertaubat dengan apa yang didedahkan media dan para penggodam Internet. Bukan ‘judgmental’ tetapi hakikatnya itulah yang kita nampak berlaku di kalangan mereka.

Contoh terdekat, biarpun terang-terangan gambar tidak manis mereka dilihat dunia, keinsafan mereka seketika saja. Tidak lama kemudian, hal yang sama berlaku lagi.

Itukah cara insaf mereka? Mereka insaf di depan media, ‘memujuk’ dan meraih simpati masyarakat percaya itu adalah kesilapan lampau mereka dan mereka sudah insaf. Namun sebenarnya, itu hanya lakonan kerana mereka sudah terbiasa hidup liar yang telah lama menjadi habitat penghidupan mereka.

Bukannya kita mahu melihat mereka terus memakai tudung, menutup litup (kalau terjadi betul melalui hidayah Allah, alangkah bagusnya) tetapi sekurang-kurangnya mereka menampakkan keinsafan itu. Silap, kerana mereka tetap dengan cara hidup mereka. Kalau ibu bapa mereka tidak kisah, siapa kita yang mahu menegur?

Sebenarnya kita tidak perlukan sangat memikirkan hal dan kehidupan mereka tetapi sebagai pemerhati dunia seni, mahu atau tidak, kita perlu juga ambil tahu. Lainlah kalau mereka bukan orang di dalam dunia seni, kes mereka boleh kira perdengarkan dalam gelanggang lain – mungkin politik, sosial atau ekonomi.

Sayangnya kita kena ambil berat sebab mereka kini memegang status artis. Biarpun baru atau lama, mereka sebenarnya perosak nama dunia hiburan yang selama ini kita tahu sudah lama tercemar dengan pelbagai kekotoran tangan manusia.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain