suria

10,000 biji telur penyu seludup dirampas

SANDAKAN: Kira-kira 10,000 biji telur penyu yang diseludup masuk dari negara jiran untuk dijual secara haram di daerah ini dirampas di kawasan pantai Kampung Forest semalam.

Ia merupakan jumlah rampasan telur penyu terbesar setakat ini tahun ini oleh polis marin.

"Kesemua telur penyu tersebut dianggarkan bernilai RM28,000 berdasarkan harga sebiji telur yang dijual secara haram di sini yang mampu mencapai RM2.80 sebiji," kata Pemangku Pegawai Pemerintah Polis Marin Sandakan, ASP Muhammad Sallam Spawi kepada pemberita.

Beliau berkata kegiatan menyeludup dilakukan oleh sindiket yang memperolehi telur penyu tersebut dari beberapa pulau yang terletak di perairan Filipina dan bersempadan dengan perairan Malaysia.

"Sindiket ini dipercayai didalangi oleh warga asing dan penduduk tempatan yang menjual telur penyu secara haram di kawasan Bandar Sandakan," katanya.

Muhammad Sallam berkata sebelum telur tersebut dirampas pada 8.15 malam, empat orang dikesan sedang memunggah barang dari bot ke kawasan pantai.

Apabila menyedari kehadiran polis, mereka melarikan diri dengan sebuah bot laju dan meninggalkan 20 guni karung yang mengandungi telur penyu, katanya. BERNAMA

Artikel Lain