KUALA LUMPUR: Perbuatan meragut adalah kesalahan serius dan pelaku akan menerima hukuman berat sungguhpun ia melibatkan jumlah wang yang sedikit.Hakikat itulah yang dipelajari oleh dua sahabat apabila mereka dikenakan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini setelah mengaku bersalah meragut beg tangan seorang wanita pada Ogos lepas. Beg tangan itu bagaimanapun hanya mengandungi wang tunai RM10.Peniaga Mahadzir Ahmad, 31, dan rakannya Hasmizan Zakaria, 33, seorang penjaga stor mengaku bersalah terhadap tuduhan meragut seorang kerani wanita Mariany Alias, 32, di Dewan Serbaguna, Taman Desa Bakti, di sini pada kira-kira pukul 8.50 malam, 16 Ogos lepas.Mereka didakwa mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau keduaduanya sekali jika sabit kesalahan.Majistret Faizi Che Abu memerintahkan Mahadzir dan Hasmizan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 16 Ogos lepas.Terdahulu, Pegawai Pendakwa Cif Insp Afandi Kasiman meminta mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat kerana tertuduh berani melakukan samun walaupun di tempat awam dan menambah bahawa kedua-dua tertuduh mempunyai kesalahan lampau. BERNAMA