suria

Ahli Parlimen Batu Gajah dan Bandar Kuching digantung sidang

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Batu Gajah, Fong Po Kuan dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Chong Chien Jen digantung daripada persidangan Dewan Rakyat sepanjang hari ini kerana tidak patuh kepada arahan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia.

Keputusan penggantungan kedua-dua ahli Parlimen DAP itu dibuat oleh Pandikar Amin kira-kira pukul 3.35 petang tadi semasa sesi perbahasan Usul Anggaran Perbelanjaan Pembangunan 2009 di peringkat jawatankuasa di sini hari ini.

Fong ketika ditemui media selepas diarahkan keluar dari Dewan menyatakan yang beliau berasa sakit hari dengan arahan itu.

Fong berkata, beliau hanya ingin mendapatkan penjelasan daripada Speaker kerana mendakwa tidak diberi peluang untuk turut serta dalam sesi perbahasan peringkat jawatankuasa tersebut.

"Saya cuma ingin tahu mengapa saya tidak dipanggil dan diberi peluang untuk berucap, saya tidak dipandang.

"Saya berasa sangat aneh kerana sejak semalam malah saya pun ada tarik perhatian Speaker," katanya.

Ketegangan mula berlaku apabila Fong bangun mengemukakan Peraturan Mesyuarat 35(2) yang menyatakan bahawa apabila lebih daripada dua orang ahli Dewan yang bangun serentak maka Speaker harus memanggil ahli dahulu sekali dipandang olehnya.

Bagaimanapun Pandikar Amin memberikan alasan bahawa beliau tidak nampak Fong berdiri untuk mendapatkan peluang berhujah.

"Yang Berhormat sila duduk...terlalu ramai yang berdiri, saya tidak nampak," kata Pandikar Amin.

Fong bagaimanapun tidak boleh menerima alasan yang diberikan dan terus bercakap meluahkan rasa tidak puas hatinya dengan jawapan Speaker.

"Saya sukar terima bila Tan Sri Speaker kata 'saya tidak nampak'," katanya.

Tindakannya itu seolah-olah ingkar dengan arahan supaya duduk dan tidak terus mencetuskan kekecohan hingga memaksa Pandikar Amin membuat keputusan untuk menggantung Fong sehingga Parlimen kembali bersidang minggu depan.

Dalam pada itu, Chong yang cuba memprotes keputusan Speaker itu bangun bagi memohon penjelasan sebab Fong perlu digantung.

Namun Pandikar Amin mengarahkan Chong supaya tidak masuk campur dengan apa yang berlaku kerana perkara tersebut tiada kaitan dengannya.

"Bandar Kuching...duduk. Soal ini tidak ada kena mengena dengan Bandar Kuching," katanya.

Arahan tersebut tidak diendahkan oleh Chong yang terus bercakap dan akhirnya Pandikar Amin membuat ketetapan bahawa beliau turut menerima nasib yang sama dengan Fong.

Semasa ketegangan itu, Ketua Pembangkag, Datuk Seri Anwar Ibrahim bangun untuk membela kedua-dua ahli Parlimen Pakatan Rakyat itu.

"Tan Sri Yang Dipertua, saya kira yang salahnya ialah soal tidak nampak. Jadi kalau boleh Tan Sri pertimbangkan semula keputusan itu," katanya.

Pandikar Amin bagaimanapun kekal dengan pendiriannya dan tidak akan menarik balik keputusannya itu.

Bagi Chong, beliau sendiri hairan mengapa Speaker mengambil tindakan tersebut terhadapnya.

"Saya sendiri hairan, saya tak cakap banyak pun...hanya berdiri dan ingin dapatkan pembelaan bagi Batu Gajah.

"Sepatutnya Speaker beri dulu tiga kali amaran sebelum beliau ambil keputusan ini," katanya.

Insiden digantung daripada menghadiri persidangan adalah kali kedua berlaku dalam minggu ini selepas Tian Chua (PKR-Batu) turut digantung pada Selasa lalu kerana kesalahan yang sama iaitu ingkar dengan arahan Speaker semasa sesi ucapan penggulungan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.

Artikel Lain