suria

Yim Pek Ha dijatuhi hukuman penjara 18 tahun cederakan Nirmala Bonat

KUALA LUMPUR: Suri rumah Yim Pek Ha hari ini dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas dia didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini terhadap tiga tuduhan dengan sengaja mencederakan pembantu rumahnya warga Indonesia empat tahun lepas.

Mahkamah memerintahkan supaya Yim menjalani hukuman penjara itu mulai hari ini.

Yim, 40, bekas pramugari, didapati bersalah mencederakan Nirmala Bonat menggunakan seterika dan air panas di Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April 2004.

Bagaimanapun, dia dilepaskan dan dibebaskan daripada tuduhan keempat iaitu mencederakan Nirmala, 23, menggunakan sebiji cawan besi di tempat yang sama pada 17 Mei 2004.

Hakim Akhtar Tahir dalam penghakimannya berkata kesalahan itu, yang dilakukan beberapa kali oleh tertuduh, adalah kejam dan menunjukkan tingkah laku penyeksa yang tidak dapat diterima dalam masyarakat.

"Untuk melakukan (menyebabkan kecederaan teruk) sekali adalah kejam, lebih daripada sekali adalah lebih kejam. Awak sepatutnya menjalani hukuman penjara berturut-turut tetapi ia akan menjadi kejam jika saya menghantar awak (ke penjara) selama 54 tahun, oleh itu hukuman akan berjalan serentak," kata Akhtar.

Yim telah menyimbah air panas terhadap Nirmala dan menyeterika payu dara pembantu rumahnya itu menggunakan seterika panas sehingga mengakibatkan kecederaan teruk pada payu daya, paha dan belakang mangsa.

Ibu kepada empat anak itu menitiskan air mata dan ditenteramkan oleh suaminya selepas mahkamah menyampaikan keputusan.

Di sebalik tangisan, beliau kedengaran berkata: "Kenapa, kenapa semua ini berlaku kepada saya?"

Pada 22 Mei 2004, Yim didakwa dengan empat tuduhan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan teruk kepada Nirmala, ketika itu berusia 19 tahun, dengan seterika dan air panas serta mencederakannya menggunakan sebiji cawan besi di rumahnya di 33B256, Villa Putera, Jalan Tun Ismail di sini pada Januari, Mac dan April serta pada 3 petang, 17 Mei, 2004.

Yim bagaimanapun dilepaskan daripada tuduhan keempat memandangkan mahkamah mendapati terdapat keraguan mengenai sama ada kecederaan itu berlaku pada 17 Mei 2004.

Terdahulu, Akhtar dalam penghakimannya berkata Yim adalah orang yang menyebabkan kecederaan kepada Nirmala dan kesimpulan mengenai kemungkinan yang dibangkitkan oleh pembelaan bahawa Nirmala telah mencederakan dirinya sendiri tidak boleh diterima.

"Tidak ada sesiapapun dalam rumah itu yang nampak Nirmala mencederakan dirinya sendiri, ia hanya satu kemungkinan yang ditimbulkan oleh pembelaan. Saya tidak bersetuju bahawa hanya dengan seseorang itu menghentak kepala ke dinding akan membawa kepada kesimpulan bahawa dia boleh mengakibatkan beberapa kecederaan serius pada dirinya sendiri.

"Saya perhatikan bahawa keterangan tertuduh dimulakan dengan menyatakan perkara tidak baik tentang Nirmala dan masih ada kemarahan yang terpendam terhadapnya selepas tiga tahun, jadi saya tidak terperanjat jika dia yang menyebabkan kecederaan itu. Dia juga memberikan keterangan bahawa dia ada menampar mangsa, dia mempunyai keupayaan untuk bertindak kasar.

"Daripada keterangan yang dikemukakan, tertuduh memperbesarbesarkan kekurangan Nirmala dalam menjalankan tugasnya di rumah, bagi saya itu bukanlah alasan untuk bersikap kejam," kata Akhtar.

Akhtar berkata keterangan penuh Nirmala, yang disokong oleh keterangan lain, menunjukkan bahawa dia tidak bercakap bohong.

Ketika mengemukakan rayuan, peguam Jagjit Singh yang mewakili Yim, berkata beliau tidak dapat mengemukakan rayuan supaya hukuman diringankan atas alasan anak guamnya berasa kesal memandangkan Yim bertegas bahawa dia tidak bersalah.

Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran pula berkata tahap kecederaan yang dialami oleh Nirmala menggambarkan kekejaman dan sikap tidak berperi kemanusiaan tertuduh.

Yim akan menjalani hukuman penjara mulai hari ini memandangkan peguamnya masih belum memfailkan rayuan dan permohonan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain