suria

Beratus warga Malaysia terkandas di Bangkok

BANGKOK: Beratus-ratus warga Malaysia dipercayai terkandas di ibu negara Thai ini selepas Lapangan Terbang Suvarnabhumi dipaksa ditutup sejak Selasa malam.

Kesemua 13 penerbangan antara Bangkok dan Kuala Lumpur, serta tiga ke Pulau Pinang dan satu ke Johor Baharu dibatalkan hari ini.

Syarikat Penerbangan Malaysia (MAS) membatalkan kesemua empat penerbangan hariannya, sementara Thai Airways, Air Asia dan anak syarikat Thainya mengambil keputusan yang sama ketika lapangan terbang itu terus ditutup selepas beribu-ribu penyokong anti-kerajaan meredah masuk ke situ.

Ramai membuat rancangan alternatif untuk pulang, termasuk memilih pengangkutan keretapi Bangkok-Pulau Pinang dan bas ke Hatyai sebelum menyeberang masuk ke Malaysia.

Seorang penumpang yang terjejas, Lee Kam Hou, yang datang bersama isterinya pada Ahad, berkata ia mengambil bas ke Hatyai malam ini.

"Saya sepatutnya terbang ke Pulau Pinang dengan Thai Airways. Oleh kerana lapangan terbang ditutup, kami ke stesen keretapi dan ia penuh dan Kedutaan Malaysia cadangkan kami ambil bas...mujur saya dari Perlis," katanya.

Seorang pelajar Malaysia yang mengikuti pengajian sarjana di sini, Sairul Ifnee Othman berkata ibunya dan dua saudara lelakinya dijadual berlepas ke Kuala Lumpur esok.

"Saya telah menghubungi Air Asia dan mereka beritahu saya agar datang ke lapangan terbang esok. Kami berdoa agar lapangan terbang dibuka," katanya.

Pengurus Kawasan MAS bagi Thailand, A.Vijayakumaran berkata pihaknya sepatutnya mengangkut antara 300 hingga 400 penumpang hari ini dan kesemuanya telah diberitahu mengenai pembatalan itu.

"Kami mempunyai penumpang campuran Malaysia dan asing. Ramai menelefon kami sejak malam tadi dan kami membantu mereka membuat perancangan alternatif... sesetengah mereka pergi ke Phuket dengan van dan bas dan kami membenarkan mereka menggunakan tiket Bangkok-Kuala Lumpur untuk berlepas dari Phuket," kata beliau.

Seorang pegawai Kedutaan Malaysia berkata sekurang-kurangnya 30 warga Malaysia telah memberitahu kedutaan bahawa mereka terkandas. Sementara itu, terdapat panggilan dari saudara mara di Malaysia bertanyakan keadaan mereka.

"Mereka dihantar menginap di hotel sementara menunggu lapangan terbang dibuka semula.

"Kami juga menyediakan tempat penginapan untuk membantu beberapa pelajar yang datang bercuti di sini dan telah kehabisan wang," katanya.

Beliau berkata warga Malaysia yang terjejas boleh menghubungi kedutaan di 6626792190 bagi mendapatkan maklumat. BERNAMA

Artikel Berikut

54201 pengedar dadah tahun ini

Artikel Lain