suria

Datuk Shah Rukh Khan akan ikat samping harga RM3 ribu stail P.Ramlee

Ketibaan Datuk Shah Rukh Khan dinanti-nantikan oleh peminatnya di Malaysia
Ketibaan Datuk Shah Rukh Khan dinanti-nantikan oleh peminatnya di Malaysia
Ketibaan Datuk Shah Rukh Khan dinanti-nantikan oleh peminatnya di Malaysia

KUALA LUMPUR: Samping songket berharga RM3,000 bermotif bunga kesidang, berwarna hitam dan diikat stail Allahyarham P.Ramlee akan dipakai buat pertama kalinya oleh Datuk Shah Rukh Khan ketika menerima anugerah Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) Sabtu ini di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada pukul 10 pagi.

Samping songket rasmi negeri Melaka bermotif bunga kesidang itu belum pernah dipakai oleh mana-mana penerima gelaran ‘Datuk’ lagi.

Ini disahkan oleh Pengerusi Jawatan Kuasa Sumber Manusia, Kesihatan dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Kapt (B) Ab. Karim Sulaiman di sebuah sidang akhbar tengahari tadi di Pejabat Sovereign Wear Sdn Bhd, Sri Hartamas.

“Jadi, Shah Rukh Khan merupakan orang pertama yang menggunakannya kerana tahun ini kita baru mula gunakan songket tersebut untuk penerima gelaran ‘Datuk’,” kata Ab Karim mengenai samping yang berharga kira-kira RM3,000 itu.

Tambah beliau, Shah Rukh Khan akan mengenakan samping mengikut stail Allahyarham P. Ramlee dan dipakai bersama bengkungnya sekali.

Samping itu pula akan diikat oleh pihak Institut Seni Malaysia Melaka (ISMA), yang juga menaja samping itu.

Ab. Karim ditugaskan untuk mengiringi Shah Rukh Khan semasa upacara tersebut berlangsung nanti.

Shah Rukh yang dianugerahkan gelaran‘Datuk’ pada bulan Oktober tahun ini juga bakal mengenakan baju Melayu cekak musang berbutang lima.

Anugerah itu nanti akan disampaikan oleh Yang Di Pertua Negeri Melaka Tun Mohd. Khalil Yaacob di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka pada pukul 10 pagi dengan disaksikan oleh 1,000 orang tetamu kehormat.

Manakala persalinan baju Melayu disediakan oleh pereka dan penaja baju dari butik Sovereign Wear Sdn Bhd.

Menurut pengarah urusan Huzry Fionnawatty Hussein yang bertindak selaku pereka dan penaja baju tersebut, baju Melayu Shah Rukh itu akan menggunakan fabrik ‘Italian crepe’ berwarna hitam bersama songkok.

Tambahnya, harga baju Melayu tersebut dianggarkan berharga dalam lingkungan RM550 sepasang kerana fabriknya berharga dalam RM85 semeter.

Difahamkan, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rustam baru saja memaklumkan untuk menempah baju tersebut semalam ketika beliau berada di Paris.

“Saya berasa gembira dan dihargai apabila diberi peluang oleh kerajaan negeri Melaka.

"Ia merupakan cabaran buat kami untuk menyiapkan baju tersebut dalam masa yang singkat sebelum esok. Kami akan buat yang terbaik,” kata Huzry yang sudah beberapa kali menerima tempahan dari kerajaan negeri Melaka untuk upacara istiadat.

Mengenai ukuran badan Shah Rukh, Huzry berkata pihaknya membuat anggaran berdasarkan ketinggian aktor bertubuh sasa 5 kaki 8 inci.

"Itu pun kami lebihkan setengah inci pada setiap ukuran seperti di lengan dan dada kerana lebih molek begitu untuk baju Melayu," jelasnya.

Jelasnya lagi, "Insya-Allah baju Melayu itu akan siap sepenuhnya pada esok hari."

Sebelum ini, Sovereign Wear yang ditubuhkan sejak lebih dua tahun itu pernah menerima tempahan pakaian daripada menteri dan timbalan menteri seperti Datuk Seri Ali Rustam, Datuk Noh Omar dan Datuk Noraini Ahmad.

Kata Huzry, disebabkan mereka berbesar hati dengan penghormatan yang diberikan oleh kerajaan negeri Melaka ini, pihaknya akan menghadiahkan sahaja baju tersebut kepada pelakon popular filem Kuch Kuch Hota Hai itu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain