ANGGOTA Bomba dan Penyelamat memeriksa kecederaan yang dialami pemandu kenderaan Toyota Harrier, Muhamad Hisham Iskandar Mohamad, 33, yang cedera parah apabila terlibat dalam kemalangan di Kilometer 21 Jalan Gua Musang-Kuala Krai dekat Kampung Gua Sejuk di Gua Musang, malam tadi. - fotoBERNAMA GUA MUSANG: Dua beradik maut manakala dua lagi parah apabila dua kenderaan bertembung di Kilometer 21 Jalan Gua Musang Kuala Krai dekat Kampung Gua Sejuk, di sini, malam tadi.Timbalan Ketua Polis Daerah, DSP Aziz Hassan berkata mereka yang terbunuh ialah pemandu kereta yang dikenali sebagai Mohammad Zakuan Abdul Aziz, 18, dan kakaknya yang juga penuntut di Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Saadiah, 21. Rakan Mohamad Zakuan yang juga penumpang tempat duduk belakang, Wan Nor Aznim Wan Afandi, 17 pula cedera parah.Pemandu sebuah kenderaan lain yang juga seorang ahli perniagaan berasal dari Kota Bharu, Muhamad Hisham Iskandar Mohamad, 33, juga cedera parah.Mohamad Zakuan dan Saadiah meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke Hospital Gua Musang (HGM) akibat kecederaan di kepala dan badan manakala Wan Nor Aznim dan Muhammad Hisham pula menerima rawatan di hospital yang sama.Aziz berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 8.15 malam ketika Mohamad Zakuan sedang dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Limau Kasturi ke Rancangan Tanah Felda Chiku 5 untuk menghantar rakannya.Beliau berkata, Muhammad Hisham pula sedang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Kuala Lumpur dipercayai tidak dapat mengawal kenderaan ketika cuba memotong kenderaan lain tetapi gagal lalu bertembung dengan kenderaan yang dipandu Mohamad Zakuan.Aziz berkata, 10 anggota Bomba dan Penyelamat dari Balai Gua Musang di diketuai Che Rusli Che Sulaiman bergegas ke tempat kemalangan bagi mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam dua kenderaan yang remuk itu.Katanya, mayat Mohamad Zakuan dan Saadiah dibawa ke HGM untuk bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarganya untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Kampung Limau Kasturi. BERNAMA