[DIKEMAS KINI] KUALA PILAH: Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, 60, hari ini dimasyhurkan sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.Istiadat pemasyhuran itu dilakukan oleh Undang Luak Sungai Ujong Datuk Klana Petra Datuk Mubarak Dohak di Balairong Seri, Istana Besar Seri Menanti pada 3.45 petang. Upacara itu disiarkan secara langsung menerusi Radio Televisyen Malaysia (RTM).Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan ke-11 dilakukan berikutan kemangkatan Tuanku Ja'afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman.Pelantikan Yang Dipertuan Besar itu dilakukan mengikut Adat Perpatih Negeri Sembilan.Tuanku Muhriz dilantik sebagai Yang Dipertuan Besar daripada antara Putera Yang Empat menurut perlembagaan negeri dalam satu majlis ringkas di sini.Tiga putera lagi, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar turut hadir.Semalam, empat Undang iaitu Undang Luak Sungai Ujong, Undang Luak Johol, Undang Luak Jelebu dan Undang Luak Rembau bersama-sama Tunku Besar Tampin mengadakan persidangan tertutup bagi memilih Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.Dilahirkan pada 14 Jan 1948, Tuanku Muhriz menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah King George V, Seremban dan meneruskan pengajiannya di Aldenhem School, United Kingdom.Tuanku Muhriz memperoleh Sarjana Muda Undang-undang dari University College of Wales, Aberystwyth, United Kingdom. BERITA TERDAHULUPemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan hari iniSEREMBAN: Pemasyhuran Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan akan diadakan pada jam 2.30 petang ini, demikian menurut Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Norzam Mohd Nor.Pengganti Yang Dipertuan Besar yang baru masih belum diketahui sehingga lewat petang semalam memandangkan persidangan Undang Yang Empat masih belum memutuskan siapa antara Putera Yang Empat yang bakal menaiki takhta.Persidangan berhubung perkara itu telah diadakan pada jam 5.30 petang semalam di kediaman rasmi Menteri Besar.Pemilihan bakal Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru berbeza dengan cara pemilihan pengganti raja dan sultan di negeri-negeri di Semenanjung Tanah Melayu.Pemilihan pengganti dibuat antara Putera Yang Empat iaitu Tunku Besar Seri Menanti Tunku Mukhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir, Tunku Laxamana Tunku Naquiyuddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar, Tunku Muda Serting Tunku Imran Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar dan Tuanku Panglima Besar Tunku Nazaruddin Ibni Almarhum Tuanku Ja'afar."Dari keempat-empat mereka ini, seorang akan dipilih sebagai Yang Dipertuan Besar Negeri Besar Sembilan yang baru. Kaedah pemilihan ini dibuat oleh Undang Yang Empat," kata Tiang Kerajaan (Pakar Rujuk Adat Perpatih) kepada Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Maharaja Khalid Bonget, 69.Khalid berkata pemilihan bakal Yang Dipertuan Besar ini adalah mengikut adat yang diucap dan dipakai seperti kata adat "Yamtuan Mangkat, Yamtuan Menanam", begitu juga dengan "Undang Mangkat", Undang Menanam" yang bermaksud mengumumkan pengganti Yang Dipertuan Besar Negari Sembilan sebelum Almarhum disemadikan.Cara pelantikan ini dipakai mengikut Adat Perpatih dari dahulu hingga selama-lamanya.Beliau berkata, kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar telah dimaklumkan kepada Undang yang Empat dan Tunku Besar Tampin oleh Datuk-Datuk Lembaga Yang Empat Luak Ulu Muar iaitu Datuk Paduka Besar, Datuk Seri Maharaja, Datuk Senara Muda dan Datuk Orang Kaya Bongsu."Kemudian Undang Yang Empat dan Tunku Besar Tampin akan menziarahi jenazah Almarhum baginda, setelah itu mereka akan mengadakan rundingan secara tertutup bagi memilih bakal Yang Dipertuan Besar Negeri yang baru," katanya.Istiadat pemakaman jenazah Almarhum baginda akan diadakan esok selepas solat asar. Tempoh berkabung berikutan kemangkatan baginda ialah selama 40 hari sejak semalam.