suria

Dr Wahbah, Harussani tokoh Maal Hijrah 1430

PUTRAJAYA: Cendekiawan Islam dari Syria Dr Wahbah AlZuhaili dan Mufti Perak Datuk Seri Harussani Zakaria hari ini diumum tokoh Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan bagi tahun 1430 Hijrah.

Wahbah, 79, yang juga tenaga pakar di Akademi Antarabangsa Fiqh AlIslami di Syria, dipilih berdasarkan sumbangan beliau dalam dunia Islam menerusi karya-karya tulisannya yang banyak digunakan sebagai rujukan oleh universiti-universiti di negara ini selain dijadikan sumber rujukan ahli ekonomi di bidang perbankan.

Harussani,69, pula dipilih bukan sahaja berdasarkan sumbangan beliau sebagai mufti Perak tetapi juga dalam badan-badan Islam termasuk sebagai Pengerusi Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Percetakan Teks al-Quran.

Kedua-dua tokoh itu menerima hadiah wang tunai RM100,000 termasuk wang tunai RM20,000 sumbangan Yayasan Ubaidi, pingat dan plak yang disampaikan Timbalan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada sambutan Ma'al Hijrah peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini.

Turut hadir pada majlis itu Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan isteri Datin Seri Jeanne Abdullah serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pada sidang akhbar kemudian, Wahbah melalui seorang jurubahasa berkata, penganugerahan itu adalah satu bentuk penghormatan yang besar daripada pemimpin dan rakyat negara ini kepada ulama.

"Ia menunjukkan kejayaan Malaysia dalam membentuk satu keserasian dan hubungan yang harmoni antara pemimpin, rakyat dan ulama," katanya.

Beliau berkata, wang tunai yang dianugerahkan itu pula akan digunakan untuk menampung keperluan sekolah yang sedang diusahakan olehnya bagi mendidik belia dalam usaha melahirkan generasi Islam sejati.

"Bukan nilai wang menjadi ukuran tetapi apa yang lebih penting ialah menerusi penganugerahan itu secara tidak langsung menunjukkan sumbangan besar Malaysia dalam membantu melahirkan generasi muda Islam sejati di Syria," katanya.

Wahbah juga kagum dan memuji persembahan muzikal yang menarik pada majlis itu yang menampilkan wanita dan lelaki bercampur tetapi dalam keadaan yang begitu islamik dengan menutup aurat.

Harussani pula berpendapat penganugerahan yang diterimanya adalah terlalu besar serta tidak setanding dengan apa yang disumbangkan.

"Terima kasih atas pengurniaan yang diberikan...ternyata pendapat dan pandangan yang disuarakan selama ini dihargai dan sudah tentu anugerah itu akan dijadikan penguat semangat untuknya meneruskan perjuangan yang masih jauh dan belum selesai," katanya. Ditanya apakah yang akan dilakukan selepas ini, beliau yang sememangnya dikenali sebagai seorang mufti yang tegas berkata, tegas atau tidak bukan persoalan.

"Saya hanya menyatakan yang benar kerana saya takut sekali kalau menyatakan perkara yang tidak benar dan jika sesuatu perkara itu salah, saya akan kata ia salah tak kira dengan siapa saya berdepan walaupun terpaksa menerima kecaman kerana itu adalah tugas dan tangunggjawab saya," tegas beliau. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain